Thursday 23 September 2010

PAIRIN TETAP BERKARISMA



BERTEMU…. Pairin (kiri) bersalaman dengan kawan lama, Haji Maribin Rugin.

Oleh: MAIL MATHEW

Mantan Ketua Daerah Tenom (KD), Haji Maribin Rugin, 67, menyifatkan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan di antara beberapa pemimpin yang berkarisma sebaris dengan ketokohan pemimpin terdahulu seperti Allahyarham Tun Fuad Stephen, Tun Mustapaha dan mendiang Datuk Peter Mojuntin kerana ketegasan dan kelantangannya menyuarakan sesuatu hak rakyat di Sabah.

Tegasnya, meskipun beliau (Pairin) ada kalanya (suatu ketika dulu) kurang disenangi pemimpin-pemimpin Kuala Lumpur kerana ketegasannya mempertahankan sesuatu demi rakyat Sabah, namun Pairin tetap cekal untuk menyuarakannya.

“Saya bersetuju dengan kenyataan Datuk Radin sebentar tadi dalam ucapan alu- aluannya yang berterus terang tentang perjuangan Pairin yang tidak jemu-jemu memperjuangkan hak keseluruhan rakyat Sabah sejak tahun 1985,” kata beliau ketika ditemubual Sabahkini.net di luar Dewan Serbaguna Lagud baru-baru ini.

Haji Maribin yang juga merupakan salah seorang pemimpin pengasas Parti Berjaya bersama-sama dengan Tan Sri Pairin yang diterajui mantan Ketua Menteri Sabah Datuk Harris Salleh (setelah Tun Fuad terkorban dalam nahas kapal terbang) sekitar tahun 1975, optimis bahawa rakyat Sabah akan terus menempah banyak kemajuan selagi beliau terus memimpin PBS dan kekal dalam Barisan Nasional (BN).

“Kelibat kepimpinan Pairin amat disenangi rakyat khususnya masyarakat KDM dan sebab itu sekitar tahun 2007 saya tidak ragu-ragu lagi menyertai PBS bersama beberapa rakan yang lain,” tegas Maribin.

Maribin seterusnya berkata, sudah tiba masanya anak-anak muda yang berpengalaman dan berpendidikan tinggi harus bangkit dari lamunan mereka untuk menceburkan diri dalam arena politik yang menfokuskan ke arah perjuangan pembelaan masa depan Negara dan generasi muda sebagai pewaris kesinambungan perjuangan Pairin yang dicetusnya dan pernah dilaluinya lebih 40 tahun lalu.

“Syukurlah kalau kita boleh menguasai minda dan kebolehan Pairin 50 peratus tetapi untuk menjadi Pairin 100 peratus sudah pasti tiada kemungkinan,” kata Maribin dengan nada serius.

Haji Maribin merupakan salah seorang bekas kakitangan PDRM berpangkat Sarjan yang meletakkan jawatan sekitar tahun 1975 untuk menceburkan diri dalam politik dan menyertai Parti Berjaya yang diasaskan oleh Allahyarham Tun Fuad Stephen bersama sama yang lain khususnya Pairin untuk menumbangkan kerajaan USNO pimpinan Allahyarham Tun Mustapha.

Pada Pilihanraya Umum di Sabah sekitar tahun 1976, kerajaan USNO telah tumbang ditangan Parti Berjaya dan seterusnya membentuk kerajaan baru dan Pairin telah dilantik Pembantu Menteri.

Apabila Ketua Menteri Sabah pada ketika itu Allahyarham Tun Fuad terlibat dalam satu kemalangan nahas kapal terbang terhempas dekat Sembulan yang turut mengorbankan enam orang menteri kabinet, Pairin kemudiannya dilantik menjadi Menteri penuh dalam penyusunan semula kabinet Menteri di bawah teraju Datuk Harris Mohd Salleh sebagai Ketua Menteri Sabah yang baru.

No comments:

Post a Comment