Thursday 23 September 2010

PBRS N.47 KUAMUT DILANCARKAN



BANGGA…. Kurup berbangga melihat kesungguhan AJK Bahagian PBRS N.47 Kuamut yang baru ditubuhkan.

Oleh: ROZIE JUMAT

PRESIDEN Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup mahu ahli-ahlinya terus memainkan peranan dan sama-sama turun padang mendekati masalah rakyat bagi membantu wakil rakyat dan parti komponen Barisan Nasional (BN) di sesuatu kawasan, biarpun parti itu tidak mewakili kawasan berkenan.

Ini kerana kata Kurup, tanggungjawab mendekati rakyat adalah tugas kolektif yang bersepadu sesama parti komponen sesuai dengan konsep BN.

Kurup berkata demikian di majlis Pelancaran Bahagian Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) N.47 Kuamut, di Dewan Serbaguna, Pejabat Daerah Tongod di sini.

Turut hadir Naib Pengerusi Pemuda BN Malaysia, Vincent Lee yang juga Ketua Pemuda EXCO PBRS dan Barisan EXCO Pemuda PBRS Pusat serta wakil Datuk Bung Mohktar dari UMNO.

Menurut Kurup, penambahan satu lagi kawasan baru PBRS di Kuamut menandakan parti itu sentiasa relevan kepada penduduk luar bandar dan mahu keahlian parti itu dipertingkatkan bagi memperkukuh serta memantapkan lagi kekuatan BN di kawasan itu.

"Kita mahu ahli-ahli kita serta bahagian-bahagian parti PBRS sentiasa bergerak aktif , menambah keahlian dan mendaftar pengundi baru,serta mendekati dan turun padang membantu rakyat," kata Kurup yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia.

Di Majlis itu, Ketua Bahagian Penaja, Dasim Jikah, berkata, penubuhan PBRS di Bahagian Kuamut adalah atas permintaan rakyat di kawasan itu yang tertarik dengan perjuangan parti berkenan.

Sempena majlis itu, sebanyak 600 borang keahlian diserahkan kepada Presiden.

"Kehadiran PBRS di kawasan ini bukanlah mahu bersaing dengan mana-mana pihak tetapi PBRS mahu memainkan peranannya selaku parti komponen BN dalam mendekati rakyat yang sememangnya tanggungjawab kita semua," kata Dasim.

Beliau berkata, AJK Bahagian PBRS N.47 Kuamut sentiasa berganding bahu dengan pemimpin di kawasan itu dalam memastikan kemenangan BN pada pilihanraya yang akan datang.

No comments:

Post a Comment