Wednesday 29 September 2010

PROJEK INTEGRITI, BAHANA KORUPSI?


PATI....Selamat datang ke Bandar PATI!

Oleh: MUTALIB M.D

KETIKA mengikuti Seminar Serantau Ke 10, ‘Menjenayahkan Rasuah’ di Sri Kembangan, Selangor baru-baru ini, saya bagaikan terpukau oleh usaha murni Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang telah bersetuju secara total untuk menjadikan Lahad Datu sebagai perintis ke arah jaminan ketelusan projek kerajaan.

Lebih menceriakan lagi, Kabinet Malaysia telah mempersetujui perlaksanaan inisiatif tersebut pada 24 Ogos 2010 dengan menjadikan ‘projek mimpi di siang hari selama 47 tahun menjadi realiti‘ iaitu Projek Pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Lahad Datu sebagai katalis untuk meningkatkan tahap Integriti dan ketelusan projek kerajaan yang selama ini menjadi senda gurau pembangkang dengan istilah ‘Top-Up’.

Menurut taklimat di Seminar Mega tersebut, Projek Lapangan Terbang Lahad Datu adalah yang pertama dalam sejarah pembangunan negara yang mempunyai Perjanjian Integriti.

Melalui perjanjian itu, pihak terbabit dalam projek itu akan bersetuju menjaga nilai integriti, ketelusan dan bertanggung jawab kerana mereka akan dipantau pihak berwajib supaya patuh kepada perjanjian itu.

Perlaksanaan Perjanjian Integriti boleh memulihkan persepsi rakyat dan pelabur terhadap komitmen kerajaan memerangi rasuah dan penyelewengan sebagi musuh nombor satu Negara.

Sekalipun ‘Projek Sulung’ Perdana Menteri, Loji Janakuasa Arang Batu di Sinakut ditolak majoriti rakyat Sabah, apatah lagi Jabatan Alam Sekitar menolak EIA yang disediakan oleh juruperunding yang dilantik, namun Projek Lapangan Terbang Antarabangsa Lahad Datu ini mampu menyeka air mata penduduk yang gembira dengan pembatalan pembinaan loji ‘Sakaratul Maut’ berkenaan di Sinakut.

Dengan keupayaaan lebih tujuh kilang FELDA mengeluarkan tenaga hijau ‘Biomass’ dan pembinaan Loji Nuklear bagi menggantikan beberapa projek Loji Arang Batu; sudah semestinya ‘Fixed Deposit’ akan semakin bertambah di pantai Timur Sabah yang selama ini menjadi Kubu Kuat UMNO.

Sekalipun tapak bagi Pembinaan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Lahad Datu belum disahkan secara muktamad, namun kesepakatan semua pihak yang terlibat untuk memilih Tungku sebagai destinasi lokasi lapangan terbang berkenaan memberikan nafas lega kepada ‘Warga Kelapasawit’ yang selama ini terpaksa menggunakan Lapangan Terbang di zaman Jepun yang agak mundur, 47 tahun ke belakang kerana tercicir daripada arus perdana pembangunan negara.

Lapangan Terbang Lahad Datu yang diberi jolokan ‘Zaman Kuda Makan Tembaga’ kerana tidak mempunyai kemudahan asas penerbangan seperti lampu landasan, perkhidmatan kargo, kapasiti terhad dan pelbagai kemudahan lain; menyebabkan punca kelembapan pembangunan Lahad Datu kerana terpaksa bergantung penuh kepada Lapangan Terbang Tawau yang letaknya lebih 160 kilometer daripada ‘Pekan Koboi’ yang dipenuhi sampah sarap.

Sebagai warga Lahad Datu, saya turut berbangga dengan keprihatinan Perdana Menteri sekalipun tapak Lapangan Terbang tersebut diterbangkan ke Tungku yang pernah dan masih lagi menjadi ‘Daerah Pelanunan’; sedangkan ketika Datuk Samsu Baharun Haji Abdul Rahman menjadi Ahli Parlimen Silam, beliau mempunyai visi untuk memajukan Pulau Sakar sebagai Bandar Nukleus yang mempunyai Lapangan Terbang Antarabangsa seperti Bayan Lepas, di Pulau Pinang.

Visi yang tidak tercapai ini gagal diterjemahkan oleh Haji Salleh Kalbi, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur dan Ustaz Suhaili Mohd Said yang bersepakat menerbangkan Lapangan Terbang ‘Pipit’ yang terletak di tebing Sungai Pancuran ke Ladang Seberang milik SLDB.

Dengan pemilihan Ladang Seberang sebagai tapak Lapangan Terbang Antarabangsa Lahad Datu, maka Ustaz Suhaili akan disumpah laknat kaum Idahan tulen kerana Ladang Seberang adalah Merendung iaitu Tapak Warisan Idahan Tua yang tidak diketahui generasi muda Idahan yang masih leka bergaduh merebut hak memungut sarang burung di Gua Madai.

Kesan-kesan sejarah masih terdapat di keseluruhan Ladang Seberang sehingga ke Kilang Kelapa Sawit yang pernah menjadi pekan kecil lebih 700 tahun lalu yang dikenali sebagai Tag Bangi, Temunung Gagil, Lung Maniud, Litok Gimbang, Busug Niug dan Sengayun.

Penemuan peralatan alat pemotong tercanggih zaman batu berusia lebih 30,000 tahun di Merendung menunjukkan bahawa Tapak Tamaddun Awal Manusia yang pernah dipohon oleh Pewaris Madai sudah mula dilupakan Suhaili yang satu masa lalu turut bersama para pewaris; yang kini kelihatan salih tidak tumpah seperti Persatuan Pengguna Sabah (CASH) yang telah diharamkan kerana gagal mengemukakan penyata.

Dalam keadaan hidup segan tetapi mati tidak mahu, Pewaris yang diterajui oleh ‘Itik Tempang’ gagal menyelesaikan masalah Gua Madai dan Salsilah Pewaris sebenar yang hanya bergantung kepada nama ‘Nenek Moyang’ untuk merompak hak saudara mara yang berpaksikan kepada Salsilah Songsang yang disimpan di Arkib Negeri Sabah.

Mungkinkah Maharaja Gabag yang tidak diterima bumi dan kini bertapa di Sungai Tabin akan kembali ‘mengamuk’ selaras dengan Legenda yang mengamalkan Budaya ‘Pantang Marau’?

Suhaili harus mengkaji semula kesesuaian tapak berkenaan setelah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Malaysia Airport Berhad kini menghadapi SLDB seperti ‘Kisah Belanda Minta Tanah’ seluas ‘Belulang Kerbau’.

Namun setelah Lapangan Terbang Baru Tawau di Balung siap, pelbagai levi dan bayaran yang harus dijelaskan sedangkan DCA tidak mempunyai peruntukan yang besar; seluas lubang hidung Suhaili yang kembang kempis setiap kali masuk kampung kerana obesiti.


SESUAI....POIC Fasa 3A adalah tapak paling sesuai untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Lahad Datu.


Satu-satunya tapak paling sesuai ialah POIC Fasa 3A yang sebelum ini hutan bakau, kini menjadi Padang Jarak Padang Terkukur; namun lebih kelihatan seperti ‘Projek Gajah Putih’ yang tidak memberikan sebarang manfaat langsung kepada warga Lahad Datu; apatah lagi projek tersebut dilaksanakan oleh ‘Penjenayah Alam Sekitar’ daripada Keningau, Sri Jutaya Sdn Bhd dengan kos RM442 juta.

Entah darimana Kerajaan Negeri Sabah yang sudah muflis secara total mencari wang kerana sebelum ini mereka terpaksa memfaraidkan Sabah Medical Centre untuk menyelesaikan hutang menebusguna tapak KKIP kerana Kerajaan tidak mempunyai wang untuk menyelesaikan hutang kepada kontraktor.

Kos menimbus tapak POIC Fasa 3A mungkin boleh membina sebuah lapangan terbang yang lengkap dengan peralatan canggih dan menjadi ‘Pintu Gerbang BIMP-EAGA’ yang sebelum ini diwar-warkan, bagaikan Lagenda ‘Puteri Gunung Ledang’ namun tenggelam selepas kemunculan POIC dan Koridor Sabah yang sirna bersama Pak Lah!

Jika Pulau Pinang dan Hong Kong boleh membina sebuah lapangan terbang di sebuah pulau, mustahil Kerajaan Negeri Sabah tidak dapat membina lapangan terbang di Pulau Sakar; sedangkan ada pihak yang mahu menjadikan Pulau Gaya sebagai Kasino terbesar di Asia.

Walau di manapun Lapangan Terbang Antarabangsa Lahad Datu akan dibina, namun hakikatnya di Parlimen Silam yang tidak mempunyai Bandar Pusat seperti Tawau; melainkan Gunung Silam yang pada bila-bila masa akan runtuh diletupkan oleh satu lagi Penjenayah Alam Sekitar, Fordeco Contruction Sdn.Bhd yang menjalankan operasi Kuari Haram sejak 20 tahun lalu.

Sewajarnya, jika Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan di Sabah tidak mampu untuk membangunkan Bandar Silam, seharusnya nama Parlimen Silam ditukarkan kepada nama Parlimen Lahad Datu kerana hanya Lahad Datu sahaja yang mempunyai bandar setaraf dengan ‘High Chaparral’ dalam cerita Koboi.

Walaupun Lahad Datu mempunyai Pelabuhan dan Dermaga yang serba canggih di POIC yang dibina dengan kos RM94 juta sehingga mendapat jolokan ‘Rotterdam of The East’; namun belum ada kapal dagang yang berlabuh untuk memakmurkan pelabuhan tersebut yang kelihatan seperti Pelabuhan Tag Bangi di Abad ke 13!

No comments:

Post a Comment