Tuesday 21 September 2010

SDC TIDAK SISIHKAN TENOM



TERIMA…. Pairin sedang menerima borang keahlian PBS yang diserahkan Yusop Tawayon mewakili para pengikutnya.

Oleh: MAIL MATHEW

TIMBALAN Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan menekankan bahawa wilayah Pedalaman dalam program Sabah Development Corridor (SDC) yang merangka pembangunan pesat selama 18 tahun tidak akan menyisihkan Tenom, malah rakyat akan terus menikmati pembangunan yang lebih pesat.

Katanya, kebergantungan keberhasilan program itu banyak bersandar kepada sokongan dan komitmen dua hala antara rakyat dengan kerajaan untuk merealisasikannya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Dewan Serbaguna di Kg Lagud pada Isnin kira-kira 8 kilometer dari pekan Tenom yang dihadiri lebih kurang 300 penduduk.

Dewan Serbaguna tersebut yang berharga kira-kira RM150,000 merupakan peruntukan di bawah Kementerian beliau yang lalu (Kementerian Pembangunan Luar Bandar) yang telah diluluskan semasa lawatan beliau pada tahun 2008.

Tegasnya, misi dan visi kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah teraju Perdana Menteri Dato’Seri Najib Tun Razak, merupakan pemimpin yang terbaik pada ketika ini kerana selain mencetuskan idea kesamarataan semua kesukuan dalam konsep 1Malaysia; malah turut menseriuskan usaha mengeluarkan rakyat dari garis kemiskinan tegar khususnya di kawasan luar Bandar, yang beliau sendiri dapat saksikan ketika misi turun padangnya.

Beliau berkata, pelbagai kemajuan telah dirancang dalam program SDC yang antaranya merangkumi penyediaan institusi pendidikan tinggi seperti Universiti atau Kolej di Pedalaman dalam misi menyediakan modal insan yang berwibawa dan berketerampilan memacu pembangunan Negara.

“Sekarang kita sudah terlepas daripada kepompong penjajah British beberapa puluh tahun dahulu. Lantaran itu kita tidak harus berdiam diri tetapi kita hendaklah memecut terus kehadapan untuk membangunkan Negara dan bangsa kita agar terus menikmati pembangunan yang lebih pesat lagi,” tegas Pairin disambut dengan sorakan hadirin.

Dalam pada itu, Pairin mengingatkan penduduk di situ, khususnya sekitar Kg Lagud yang beliau sifatkan sebagai telah melakar satu sejarah kerana sudah memiliki sebuah bangunan yang tersergam indah Dewan Serbaguna yang boleh memusatkan pelbagai aktiviti rutin mereka, sama ada dari aspek kemasyarakatan mahupun aktiviti lain yang berfaedah untuk masyarakat di situ.

Terdahulu, Datuk Radin Malleh selaku Adun kawasan Melalap menegaskan bahawa kini tidak dapat dinafikan hak rakyat khususnya untuk menikmati pembangunan yang dihajati sebelum ini terus terbukti apabila PBS pimpinan Tan Sri Pairin kembali rujuk kepangkuan BN lebih 10 tahun lalu.

“Kerana rakyatlah kita kembali kepada BN, kalau tidak Dewan Serbaguna Lagud kita tidak dapat lihat bangunannya yang tersergam indah pada hari ini,” tegas Radin.

Radin yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah seterusnya berkata, beliau tidak hairan sekiranya ada segelintir rakyat yang melabelkannya sebagai pemimpin lembab dan sebagainya kerana kelewatan beberapa pembangunan yang telah dijanjikan sebelum itu namun di sebaliknya beliau terus ‘berkakai’ mengusahakannya tanpa disedari rakyat.

“Kita tidak ada kuasa ajaib atau lebih dikenali tongkat sakti yang boleh menunaikan kehendak seseorang itu dengan sekelip mata, sebaliknya pembangunan yang kita rancang perlu melalui proses dan prosedur kerajaan malah banyak lagi kekangan lain yang perlu diatasi sebelum sesuatu pembangunan itu dilaksanakan,” kata Radin lagi.

Selain itu, Radin turut menyentuh pembangunan yang telah dan sedang dirancang dikawasannya tetap akan dilaksanakan mengikut perancangan. Bagaimana pun beliau merasa lega kerana pekan kecil Melalap dan jambatan baru Binaie kini dalam proses pelaksanaan.

Diakhir majlis itu, beberapa individu telah menyerahkan borang keahlian untuk menyertai PBS di antaranya Yusop Tawayon, Majikon Ngangat, Rantin Surangking dan Fred Gintod.

Turut hadir, mantan Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Bernard Maraat, OKK Haji Maribin Rugin, PKR Melalap Blasius Masuning, ADO Clarence Puin Pinduruh, dan para pemimpin masyarakat tempatan.

No comments:

Post a Comment