Saturday 4 September 2010

TIDAK TIMBUL ISU MURUT TOLAK DR JEFFREY



Oleh: JACKSON LU

MUNGKIN juga ada kelogikan idea penulis apabila menyatakan masyarakat Murut Pensiangan tidak mahu pemimpin orang luar jika ungkapan itu datangnya daripada ribuan masyarakat Murut Pensiangan dan sebaliknya bukan pendapat seorang dua yang diadun idea itu yang kemudiannya seolah-olah ia terhasil suatu pendapat keseluruhan Murut Pensiangan.

“Percayakah kita bahawa pendapat itu datangnya dari keseluruhan masyarakat Murut Pensiangan? Atau mungkin sengaja diwar-warkan untuk kepentingan politik peribadi seseorang yang sudah hilang kepercayaan daripada masyarakatnya sendiri, kerana sudah gagal mencapai matlamat perjuangannya untuk membela kebajikan masyarakat Murut sekian lama,” tegas Timbalan Ketua Cabang PKR Pensiangan Affendy Hasbollah.

“Kami masyarakat Murut Pensiangan inginkan perubahan kepimpinan PKR di sini yang lebih bertenaga, bertanggungjawab, agresif dan berketrampilan seperti Naib Presiden PKR Kebangsaan, Datuk Dr Jeffrey Kitingan meskipun dia bukan pemimpin Murut tetapi beliau sudah memahami selok-belok pelbagai masalah kami di sini sewaktu beliau berada dalam beberapa kerajaan yang lalu,” tambah Affendy lagi.

Affendy menegaskan bahawa, adalah tidak adil bagi seseorang pemimpin Murut bangun mendabik dada lalu menidakkan kehadiran pemimpin kesukuan lain seperti Datuk Dr Jeffrey sebelum beliau sempat diberi peluang untuk membantu memimpin masyarakat Murut Pensiangan yang kini amat dahagakan kepimpinan yang dinamik.

Namun di sebaliknya tegas Affendy lagi, apakah untung dan lebihnya jika mengharapkan pemimpin Murut dalam PKR yang hanya sekadar mampu berlegar-legar berpolitik di kedai-kedai kopi setiap hari, tetapi tidak pernah turun padang melawat kawasan akar umbi; apatah lagi menziarahi mereka yang mengalami pelbagai kesusahan dan menghulurkan bantuan atau sumbangan.

“Kita bukan ketandusan pemimpin yang berkeupayaan dan berpengalaman tetapi malangnya gred pemimpin Murut yang sebegitu semuanya berada dalam BN. Sisa sisa yang ada pun mereka yang ala kadar dan hanya mempunyai semangat juang. Ada pula yang bermasalah lain itu dan ini yang tidak perlu disebutkan. Jadi, macam mana mahu memimpin rakyat Pensiangan dengan berkesan,” tegas Affendy.

Beliau tanpa berselindung bahawa kehadiran Datuk Dr Jeffrey Kitingan untuk bertanding Ketua Cabang PKR Pensiangan amat dinanti-nantikan oleh masyarakat Murut Pensiangan, malah hasrat dan persetujuan beliau itu telah pun dibincang terlebih dahulu yang meliputi di peringkat kepimpinan PKR akar umbi untuk mendapatkan restu mereka sebelum Dr Jeffrey menyatakan penerimaannya ke atas pelawaan itu.

Tegasnya, Datuk Dr Jeffrey bukanlah seorang pemimpin yang baru muncul di kawasan Pensiangan malahan beliau telah banyak menyumbangkan khidmat bakti beliau kepada masyarakat Murut di sini sewaktu beliau masih bergelar ‘Yang Berhormat’ ketika era kerajaan PBS dahulu pimpinan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Selain itu, ketika Dr Jeffrey menyandang jawatan Timbalan Menteri Persekutuan, beliau sering melawat dan berdialog dengan masyarakat di sini.

No comments:

Post a Comment