Tuesday 14 September 2010

TUTUP PARIT, TIDAK ATASI MASALAH!



Oleh : IBRAHIM TABIR

TINDAKAN pihak kontraktor yang mengambil jalan singkat dengan menutup parit utama di tepi jalanraya berhampiran Taman Kunak Kaya, Kunak bukan dilihat sebagai tindakan mengatasi masalah banjir, malah memburukkan lagi keadaan kerana saliran air sama sekali disekat, menyebabkan air bergenang dan menjadi seperti 'sungai' di atas jalanraya setiap kali hujan turun.

Perkara itu disedari oleh salah seorang penduduk Taman Kunak Kaya yang menghubungi wartawan sambil menyeru pihak media agar melaporkan perkara itu sebagai bahan berita yang perlu diambil perhatian oleh Jabatan Kerja Raya dan Pejabat Daerah Kunak.

Pengadu berkata, keadaan itu sudah berbulan-bulan lamanya namun tiada sebarang inisiatif yang berkesan dan konkrit diambil untuk mengatasi masalah parit tersumbat di situ.

"Lebih mengecewakan kami, pihak kontraktor telah menutup serta-merta parit tersebut sebagai langkah drastik mereka mengatasi masalah saliran parit tersumbat di sana selepas beberapa aduan lisan dilaporkan kepada pihak berkuasa yang berkenaan", katanya dalam satu kenyataan.

Parit utama itu terletak di bahu jalan dan air sering kali membanjiri jalanraya sehingga menyebabkan seperti 'sungai' apabila hujan lebat turun dan mengambil masa yang lama untuk surut.

Menurut pengadu, masalah sebenar di situ ialah air seringkali tersumbat di kawasan parit tersebut kerana tersekat. Namun, apabila aduan dilaporkan mengenai masalah itu, pihak kontraktor pula mengambil jalan mudah menutupnya serta merta dan tindakan itu tidak menyelesaikan masalah malah memburukkan keadaan kerana air akan bergenang dan membanjiri jalanraya.

"Pihak kontraktor sepatutnya mencari jalan penyelesaian yang konkrit dan padu dengan mengenalpasti bagaimana aliran air dari kawasan itu dapat disalurkan ke sungai berhampiran atau tempat yang sesuai," kata pengadu sambil menjelaskan beliau mendapat maklum bahawa pihak kontraktor terlibat sewenangnya memberi alasan kononnya 'duit projek sudah diterima, parit sudah siap' yang antara lain jelas menunjukkan sikap tidak bertangggungjawab kontraktor yang berkenaan dalam menyelesaikan masalah itu.

Kawasan tersebut yang sering digenangi air, juga terletak berhampiran sebuah pasaraya di sini.

No comments:

Post a Comment