Wednesday 25 February 2015

127 PELAJAR SK SERI MANIS GUM-GUM TERIMA BANTUAN KEWANGAN PELAJAR TERMISKIN


OLEH: SHAIMON S JUMADI



GAMBAR KELIHATAN.....Zakaria bersama para pegawai sekolah, pemimpin masyarakat dan sebahagian daripada penerima KWAPM


GUM-GUM : Seramai 127 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Manis dalam kawasan Dewan Undangan NegerI (DUN) Gum Gum menerima  bantuan daripada Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM).

Para pelajar menerima bantuan tersebut pada majlis yang disempurnakan oleh ADUN kawasan Gum Gum Datuk Haji Zakaria Haji Mohd Edris.

Turut bersama dalam majlis itu ialah Guru Besar Bistari Asoi, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Abas Haji Labassa, wakil Pegawai Pendidikan Daerah, pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan Malaysia, guru-guru, ibubapa pelajar, Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Gum Gum Kamal M Said dan pemimpin masyarakat yang lain.

Zakaria yang juga Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri turut mengumumkan peruntukan untuk membeli 200 buah kerusi plastik sebagai kegunaan sekolah berkenaan selepas pemohonan dikemukakan kepada beliau oleh pihak sekolah.

Dalam ucapan beliau, Zakaria berkata penglibatan serta kerjasama  antara guru dan ibubapa pelajar bukan sahaja dilihat mewujudkan pembelajaran berkualiti untuk murid malah meningkatkan kesedaran ibu bapa dalam membantu pembelajaran murid.


Sehubungan itu, Zakaria mahu peranan ibu bapa perlu diperluas sebagai rakan sekolah dalam meningkatkan keberhasilan pendidikan anak-anak.

Menurutnya, sumber pembelajaran pelajar tidak semata-mata daripada guru sebaliknya boleh berlaku melangkaui kawasan sekolah sama ada di rumah mahupun di peringkat komuniti.

Seiring transformasi negara, peluang pendidikan harus digunakan sepenuhnya bagi menguasai ilmu, kemahiran selain membina personaliti cemerlang, tambah Zakaria.

Zakaria telah menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Pantang Undur Tahun 6, Penyampaian Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM), Perasmian Bilik Darjah Program Linus  serta Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) SK Seri Manis.

Program Pantang Undur Tahun 6 merupakan program membawa maksud tidak sesekali mengalah sebaliknya sebagai motivasi diri dalam meneruskan usaha untuk berjaya dalam menghadapi peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

No comments:

Post a Comment