Tuesday, 10 February 2015

WAHAI KPN, JANGAN LABELKAN 9 SUSPEK SSKM SEBAGAI ‘DERHAKA’ SELAGI BELUM BERSALAH


Oleh: Darrel Mat Salong



KENINGAU : Naib Presiden Angkatan Perubahan Sabah (APS) Paul Kadau, kurang bersetuju dengan kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berhubung dengan perkataan ‘derhaka’ merujuk kepada penangkapan sembilan suspek yang disyaki mengedarkan risalah berkaitan Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) dan kenyataan itu agak keterlaluan.


Beliau berkata, sedangkan isu pemberian kad pengenalan palsu kepada pendatang asing tanpa izin (PTI) atau dalang disebalik ‘PROJEK IC’ tidak pernah dilabelkannya sebagai ‘penderhaka’ kepada negara malah dilindungi.

“Saya berpendapat bahawa penangkapan sembilan suspek yang disyaki itu berkemungkinan besar mereka hanya mahu meluahkan perasaan mengenai dengan tuntutan hak Sabah selama ini dan belum sampai ke tahap menderhaka.

“Buktinya jelas, mereka (sembilan suspek) hanya disoal dan dirakamkan percakapan mereka sahaja malah mereka bukan ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah undang undang yang harus dinyatakan.

“Dia harus tahu bahawa jika seseorang suspek itu belum disabitkan kesalahan oleh Hakim Mahkamah bermakna tertuduh itu belum bersalah dan ianya tidak boleh dilabelkan dengan berbagai jenama keji untuknya. Menurut mana-mana undang pun menyatakan konsep bahawa 'The person is inncocent until proven guilty'

“Berbanding dengan perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab mencetak dan memberi kad pengenalan palsu kepada PTI oleh pihak tertentu, adakah mereka ini penderhaka atau pun sebaliknya? ” tegas Paul ketika memberitahu media pada Rabu.

Dalam pada itu, Paul turut mengungkit beberapa laporan yang pernah dibuatnya  sebelum ini termasuk pengakuan jelas seorang bekas Ketua Anak Negeri (KAN) Haji Hayang Andawai yang membongkar penglibatannya berhubung pemberian Kad Pengenalan kepada PTI yang mana sehingga hari ini laporan itu tidak pernah disiasat.

Perbuatan mereka jelas terbukti dan laporan demi laporan yang telah dibuat tetapi sehingga hari ini belum ada tangkapan yang dijalankan olel pihak PDRM.

Mereka lah sepatutnya dianggap penderhaka oleh kerana membawa masuk PTI ke Sabah tanpa menghiraukan keselamatan penduduk asal di Sabah, tegas Paul.

Paul yang juga Pengerusi APS Keningau berpendapat, bahawa pihak PDRM seharusnya bertanya diri mereka sendiri, mengapa mereka berbuat sedemikian sedangkan untuk merealitikan SSKM bukannya suatu perkara yang mudah, kerana mungkin ada sesuatu sebab yang perlu diselesaikan.

Selain itu, APS juga ingin bertanya status Ibrahim Ali yang sering mengeluarkan kata kata hasutan membabitkan sentimen kaum dan keagamaan tetapi sehingga kini dia tidak ditangkap. 


Rakyat Sabah ingin tahu pendirian KPN berhubung dengan dua isu itu.

No comments:

Post a Comment