Wednesday 25 February 2015

Sabah Artist United menentang Sabah Red Devils di Stadium Likas, 27 Feb jam 7 malam



PENGANJUR .... Othoe (duduk tiga kiri), mengabadikan kenangan bersama pihak Sabah Red Devils sudah bersedia untuk perlawanan pada 27 Februari ini.


Orang ramai dijemput untuk memberi sokongan padu kepada program amal perlawanan persahabatan bola sepak yang bakal mempertemukan pasukan Sabah Artist United (SAU) menentang Sabah Red Devils (SRD) pada 27 Februari ini bermula jam 7 malam. 


Sebelum ini, SAU pernah mengadakan program sama menentang pasukan seperti SPRM, Keningau, Sabah Legend, Papar, Kota Marudu dan Power Play.

Pengerusi Penganjur program, Stephen George@Tiwon berkata, pada perlawanan amal itu nanti, kutipan-kutipan derma akan akan disalurkan kepada badan kebajikan yang dipilih, yang mana juga merupakan sebahagian pengisian mereka sepanjang tahun 2015 sempena Tahun Baharu Cina iaitu, ‘SRD CNY Get Together’ pada hari esoknya.

Presiden SRD, Bart Jingulam, berkata, selain dapat memeriahkan suasana di Stadium Likas nanti, kehadiran para peminat juga menandakan sokongan mereka sebagai warga Sabah yang prihatin terhadap badan kebajikan yang memerlukan.

Menurutnya, SRD merupakan sebuah kelab sukan yang kerap melibatkan diri dalam mempromosikan masyarakat penyayang, dan sebarang aktiviti sihat melalui sukan. 

Bart menambah, pada Sabtu ini (28 Februari) akan diadakan acara makan malam untuk SRD yang mana akan diadakan bagi ahli sebagai pengakhiran program ‘SRD CNY Get Together’ tersebut. 


PARA penghuni Rumah Jagaan Orang Kurang Upaya (OKU) Tolumis Tuaran telah dipilih untuk disalurkan sumbangan pada program amal kali ini.


“Sebarang keterangan lanjut mengenai CNY Get Together boleh menghubungi Presiden SRD, Bart Jingulam (013-5547777) atau Pengerusi Penganjur, Tiwon (017-8629982).

Dalam pada itu, penganjur bersama, yang juga Pengurus SAU dan penyampai radio KKFM, Othoe, sentiasa mengalu-alukan mana-mana pasukan untuk menjemput mereka bagi mengadakan perlawanan yang diadakan berbentuk amal.

“SAU ditubuhkan untuk tujuan kebajikan, oleh itu kepada mana-mana pasukan yang mahu mengajak kami untuk perlawanan ‘Charity Match’ atau menganjurkan program bersama untuk tujuan kebajikan seperti yang dilakukan oleh pihak SRD ini, akan kami sokong, jika pasukan bola sepak Sabah sekalipun yang menjemput, kami sahut cabaran itu,” katanya dengan nada bergurau. 

Bagi perlawanan kali ini, SAU bakal diketuai oleh Naib Juara Akademi Fantasia Musim Kelima, Ebi Kornelis.


KAMI SEDIA .... Inilah antara pemain pasukan Sabah Artist United yang bakal bertemu Sabah Red Devils pada 27 Februari ini.

Antara beberapa pemain yang bakal beraksi malam itu nanti adalah penyampai radio SuriaFM, Farish, Juara Suara Emas Bintang RTM 2007, Rey Kimara, Nizz (KKFM), Othoe (KKFM), S.Welly, Malvin (Juara Sugandoi Kaamatan Negeri 2008), Janrywine J.Lusin (Macam Di KK), As Bow, E-Elmar (Main Tapuk-Tapuk) dan penampilan sulung Ateng dan LP Raphiel Pinus (Sayang Bah Itu Masa) buat julung-julung kalinya. 

Katanya, jurulatih SAU, Justin Saning telah memaklumkan beliau bahawa kemungkinan besar pasukan artis itu juga akan diperkuatkan dengan kehadiran seorang pemain jemputan iaitu Naib Presiden 3 Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Jahid Jahim, yang akan bermain sebagai Midfielder. 

Beliau mewakili SAU dan SRD mengambil kesempatan itu untuk berterima kasih kepada pihak Lembaga Sukan Negeri Sabah terutamanya pihak pengurusan Stadium Likas yang senantiasa memberikan ruang kepada mereka untuk mengadakan Charity Match di situ.

Othoe juga memaklumkan bahawa badan kebajikan yang dipilih untuk disalurkan sumbangan pada program amal kali ini adalah Rumah Jagaan Orang Kurang Upaya (OKU) Tolumis, Tuaran. 

“Untuk sebarang ‘update’, jangan lupa LIKE Page Sabah Artist United di Facebook, dan jangan lupa datang beramai-ramai untuk melihat sendiri artis tempatan Sabah beraksi dalam Charity Match tersebut, kalau boleh datanglah seawal jam 6.30 petang, jumpa anda di Stadium Likas,” kata Othoe.

No comments:

Post a Comment