Friday, 6 February 2015

Tun M nasihat Ismail Sabri berhati-hati



KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak bersetuju cara boikot digunakan untuk menurunkan harga barang.

Menurutnya, boikot adalah penyelesaian negatif dalam menyelesaikan masalah harga barang yang mahal.


Sebaliknya, beliau berkata, punca berlaku kenaikan harga barang perlu dicari.

Katanya, harga barang masih tidak diturunkan walaupun harga minyak turun kerana kos perniagaan melibatkan bahan api itu hanya 10 peratus daripada kos keseluruhan.

“Pengangkutan adalah satu elemen dalam sesuatu perniagaan. Peratusnya bukan terlalu tinggi, mungkin hanya 10 peratus sahaja. Kalau harga minyak turun yang melibatkan 10 peratus penurunan, ia adalah jumlah kecil,” ujarnya.

Beliau juga tidak bersetuju dengan cadangan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya memboikot peniaga Cina yang majoritinya memegang sumber bekalan dalam pasaran.

“Ini bukan soal Cina (atau) Melayu, ini soal barang. Barang yang harga naik itu bukan sahaja dijual oleh Cina. Barang yang dijual Melayu juga ada yang tidak turun harga,” kata beliau.

Dr Mahathir turut menasihati seseorang menteri supaya berhati-hati mengeluarkan kenyataan.

“Agaknya dia (Ismail Sabri) tidak terfikir apa yang dia kata, kita mesti berhati-hati,” katanya.

Sementara itu, mengulas dakwaan rakyat Malaysia sendiri yang dikatakan mensabotaj ekonomi negara, beliau menyarankan supaya kerajaan melakukan siasatan.

“Jatuhnya nilai mata wang adalah akibat penjualan mata wang itu secara mendadak dan kerap. Baru jatuh mata wang. Kita kena kenal pasti betulkah dia (Pengerusi Eksekutif Kumpulan The Edge Media, Datuk Tong Kooi Ong) jual mata wang.

“Jadi kita buat kajian betulkah dia ada hubungan baik dengan (jutawan pelaburan, George) Soros?,” katanya.

Kooi Ong sebelum ini didakwa cuba menjatuhkan nilai ringgit melalui kaedah short-selling namun beliau telah menafikan tuduhan itu.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, beliau mengesyaki Kooi Ong didakwa mensabotaj ekonomi negara kerana akhbar milik syarikatnya banyak melaporkan isu masalah dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Apabila dia (Kooi Ong) buat kritikan pasal 1MDB, dia kena tuduh sebabkan jatuh mata wang.


“Buat kajian betul atau tidak, dia ini (Kooi Ong) mempunyai akhbar (perniagaan berbahasa Inggeris) yang banyak sentuh pasal 1MDB, jadi balasannya dialah yang jatuhkan nilai mata wang. Kalau dia tidak tegur 1MDB, kalau jatuh mata wang pun tidak apa,” katanya.

1 comment:

  1. MCA-GERAKAN MIC LDP UPKO PBS DAN PBRS BERSATULAH KAMU MENINGGALKAN BN SEBELUM PRU14 NANTI KTA SOKONG KENYATAAN TUN DR MAHATHIR SUPAYA ISMAIL SABRI SEHARU BERHATI-HAT KALAU HENDAK MENGELUARKAN SEBARANG KENYATAAN TAKUT-TAUT CNA MERAJUK SUSAH BN NANTI JADNYTA

    ReplyDelete