Friday 6 February 2015

SUKAN MSS ZON TIMUR KOTA BELUD




Musbah(tiga kiri) sambut tabik hormat daripada kontinjen SK Piasau pada MSS Zon Timur


KOTA BELUD : Sukan pada hari ini bukan setakat satu aktiviti hobi dan riadah bahkan telah menjadi gaya hidup sihat dan merupakan pelaburan terhadap kesihatan dan ekonomi yang menguntungkan, kata Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Musbah Haji Jamli.


Musbah berkata, dalam lain-lain faktor,  sama ada dalaman atau luaran, sukan juga dapat  membentuk seorang murid untuk patuh dengan aturan dan secara tidak langsung mendidik seorang atlet berhemah tinggi, bertanggungjawab dan berdisiplin bagi  membina jati diri ke arah kepimpinan.

Katanya, adalah tidak mustahil jika hari ini, murid berkaki ayam di atas trek lumpur,  tetapi pada suatu hari nanti dengan bimbingan dan tunjuk ajar serta bakat yang ada pada murid itu,  akan berlari di persada trek antarabangsa mengibarkan bendera Negara.

“Selalunya juara menjadi kebanggaan semua pihak sama ada menerusi ujian dan pemberian insentif  kesinambungan untuk mencipta nama di peringkat lebih tinggi,  perlu disemat di hati sanubari setiap murid untuk menjulang nama sekolah.

“Untuk mencipta nama, perlu adanya usaha yang gigih dan sepenuh tumpuan pada latihan yang padu dalam hal ini,  atlet Malaysia amat beruntung kerana kerajaan sentiasa memberi pelbagai imbuhan dan kemudahan.”katanya

Musbah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tempasuk berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah-sekolah Zon Timur, Kali Ke-42, 2015,  bertempat di Kompleks Sukan Botung, di sini, pada Khamis.

Turut hadir, Guru Besar Sk Rosok, Haji Mohd Taufik Abdullah@Munis Gumpoh dan 12 ketua kontinjen yang masing-masing daripada  Sk Rosok, Sk Lasau Podi, Sk Nahaba, Sk Piasau, Sk Tambulion, Sk Tarintidan, Sk Tampasuk 1 dan Sk Tampasuk 2, Sk Tengkurus, Sk Sayap dan Sk Bangkahak Baru yang telah mengambil bahagian menjayakan MSS itu.

Musbah berkata, dalam konteks sekolah pula,  semua murid amat bertuah kerana pihak sekolah sentiasa memberi galakan dan dorongan yang berterusan serta memberi peluang yang seluas-luasnya kepada murid untuk bergiat dalam bidang sukan.

Katanya, sememangnya aktiviti sukan sama ada sukan permainan atau sukan olahraga, adalah penting kepada rakyat dan Negara, khususnya generasi anak bangsa pewaris nusa yang tercinta.

“Selain dapat menjamin kecergasan minda dan kesihatan, aktiviti sukan yang  melibatkan murid  daripada pelbagai kaum dan agama juga dapat memupuk semangat kesukanan dan perpaduan sekaligus mengeratkan tali silaturahim dan muhibah.

“Aspek-aspek yang saya sebutkan ini amat penting sekali dalam usaha kerajaan kita untuk membina Negara bangsa, membangunkan modal insan dan melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan selaras dengan falsafah pendidikan kebangsaan dan pelan induk pembangunan pendidikan.”katanya

Menurut Musbah,  dulu trek  Kompleks Sukan Botung itu tidak begitu baik, tetapi kini kelihatan sudah dinaiktarafkan.

Katanya,  masih ingat lagi pada tahun 2010, beliau telah membawa Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ke kompleks itu, untuk melihat sendiri keadaan kompleks berkenaan dan meminta supaya dapat dinaiktarafkan seperti kompleks-kompleks lain yang ada di Negara ini.

“Dan alhamdullilah kita telah di beri peruntukan oleh kerajaan negeri Sabah dan kita telah melihat begini cantiknya pada hari ini, saya difahamkan bahawa, kementerian mempunyai perancangan lebih daripada ini lagi di masa-masa akan datang.

“Kita bersyukur kerana kita mempunyai kerajaan yang prihatin terhadap masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat, khususnya anak-anak kita yang masih berada di bangku sekolah, sudah tentulah usaha kerajaan ini kita perlu bersyukur dan kita perlu ingat akan  jasa-jasa yang diberikan oleh kerajaan yang memerintah pada hari ini.”katanya.

Galeri Acara : 


Datuk Musbah Jamli



Musbah(empat kanan) menyampaikan cenderahati kepada Ketua Kontinjen SK Tampasuk 11




Musbah(kiri) terima cenderahati daripada MSSM Zon Timur, disampaikan oleh Taufik Abdullah




Salah satu aksi persembahan  oleh murid-murid Sk Rosok pada akhir acara berkenaan

No comments:

Post a Comment