Sunday 1 February 2015

PMS SAMBUT BAIK KEPUTUSAN KABINET MANSUH 'LAIN LAIN' DALAM BORANG KERAJAAN


Oleh: Darrel Mat Salong

Gambar RUDY S MAIRI – Presiden PMS


Presiden Pertubuhan Mamagun Sabah (PMS) Rudy Sulaiman Mairi, menyambut baik keputusan Kabinet Sabah yang bersetuju memansuhkan perkara “Lain Lain” dalam borang kerajaan menunjukkan isu tersebut akan selesai dalam masa beberapa ketika lagi.


Beliau berkata, meskipun isu tersebut telah tergantung beberapa ketika sebelum ini malah telah menjadi buah mulut setiap masyarakat bukan Bumiputra khususnya di negeri ini sejak sekian lama, namun bersyukur kerana akhirnya isu tersebut kini berada diambang penyelesaian.

“Selepas ini, ianya tidak harus diperdebatkan lagi khususnya masyarakat Mamagun baik di media mahupun di mana-mana saluran lain kerana kerajaan telah pun mengambil tindakan seperti yang diperlukan masyarakat Mamagun.

“Bagaimana pun, PMS berharap agar ianya diselesaikan secara mutlak dan bukan sekadar ia menjadi permainan bibir, jika tidak, masyarakat Mamagun akan terus membuat bising masalah tersebut,” katanya ketika memberitahu Sabahkini.net pada Jumaat.

Rudy berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Sabah Tan Sri Sukarti Wakiman pada baru-baru ini berhubung persetujuan Kabinet Sabah memansuhkan ruangan “Lain Lain” dalam borang kerajaan.

Isu “Lain Lain” memuncak selepas Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem mengumumkan telah memansuhkan ruangan itu dalam borang kerajaan di negeri Sarawak pada minggu lepas lalu mendapat reaksi daripada Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan selain parti pembangkang dan beberapa NGO di Sabah.

Dalam pada itu, berhubung dengan masalah banjir yang melanda di beberapa kawasan di negeri ini lewat beberap hari lalu, Rudy menggesa kerajaan agar jumlah bantuan yang diberi kepada mangsa mangsa banjir di Semenanjung diseragamkan ke Sabah.

“Apa yang kita lihat bahawa setiap keluarga mendapat RM1,000 iaitu sebanyak RM500 bantuan daripada kerajaan Persekutuan dan RM500 diberikan oleh kerajaan negeri,” tegasnya.

Banjir baru baru ini telah membawa kesan lebih buruk terhadap ekonomi masyarakat luar bandar terutama sekali kawasan Pedalaman iaitu penduduknya majoriti masyarakat Mamagun (orang asal) menjadi sasaran bencana alam tersebut.


Difahamkan beberapa perkampungan terutamanya mereka yang tinggal di pesisir sungai mengalami penderitaan itu kerana kehilangan harta benda bernilai, rumah dan juga tanaman pertanian bernilai ratusan ribu ringgit, tegas Rudy. 

No comments:

Post a Comment