Wednesday 25 February 2015

RADIN GESA MAJLIS DAERAH TENOM, SUSULI APA-APA CADANGAN KE KEMENTERIAN (KKTP)



Oleh: DARREL MAT SALONG


Gambar RADIN GONG XI FA CAI – Datuk Radin bergambar bersama rombongan sebelum melawat ke premis perniagaan masyarakat Cina disini.


TENOM: Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Radin Malleh menegaskan bahawa surat cadangan mengenai pelupusan tunggakan bayaran cukai pintu para penduduk Kg. Bunut kira kira 1 kilometer dekat sini telahpun dikemukakan kepada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan pada tahun lepas untuk pertimbangan.


Namun setakat ini, mereka masih belum menerima apa-apa jawapan daripada kementerian terbabit. 

Meskipun begitu, pengurusan Majlis Daerah Tenom digesa agar melakukan tindakan susulan dengan kementerian terbabit berhubung dengan status cadangan tersebut katanya.

Tambahnya, isu tunggakan bayaran cukai pintu itu timbul kerana para penduduk kampung terbabit enggan menjelaskan bayaran cukai pintu masing-masing berikutan kegagalan pengurusan pihak majlis menyediakan perkhidmatan pengutipan sampah dan lain-lain sejak kawasan itu diserapkan sebagai kawasan perkadaran majlis.

"Saya berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) disini dapat menyediakan perkhidmatan pengutipan sampah serta lain-lain perkhidmatan demi kesejahteraan hidup penduduk kampung terbabit.

"Saya fikir penduduk kampung terbabit tentunya tidak akan keberatan untuk membayar cukai pintu mereka itu jika pihak berkuasa tempatan dapat melaksanakan penyediaan perkhidmatan yang diperlukan di kawasan itu.

"Tindakan menyelesaikan masalah ini sudah tentu akan dapat meningkatkan kutipan hasil cukai itu selain dapat menambah dana pendapatan Majlis Daerah disini," katanya lagi.

Beliau yang juga merupakan Adun Melalap berkata demikian kepada media selepas menamatkan sesi lawatan dan penyampaian kad-kad ucapan sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina (CNY) kepada para peniaga di sekitar Pekan disini pada minggu lepas.

Selain itu, beliau turut menggesa masyarakat Cina agar terus mengukuhkan hubungan kerjasama di kalangan suku kaum lain di negeri ini untuk membantu mengeratkan perpaduan dan keharmonian kerana dengan adanya perpaduan dan keharmonian, sudah pasti perkembangan sosioekonomi negeri ini akan terus berkembang dengan pesatnya, katanya.


Program itu turut disertai oleh Datin Angeline Tom, Senator Datuk Dr. Lucas Umbul, Pegawai Daerah Madiyem Layappan, Pegawai Pembangunan Masyarakat Dun Melalap Simon Mamat, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Robert Malangking, Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Infrastruktur Sabah Stanis Buandi, para kapitan Cina, Timbalan Ketua Bahagian PBS Melalap Angal Usit, Ketua Wanita PBS Melalap Rosnah Ullap, Ketua Pemuda PBS Melalap Martin Joanis, dan para AJK Bahagian PBS Melalap. 

No comments:

Post a Comment