Monday 2 February 2015

WAHAI JKR, BILA JAMBATAN NALUYAN DIBAIKPULIH?



Oleh: DARREL MAT SALONG


Kelihatan gelagar beruti jambatan sudah rosak dan patah mematah.



KIRA KIRA seribu orang penduduk di sekitar kawasan Kg Batu 90, Kg Baab dan Kg Naluyan dalam daerah Tenom kesal dan kecewa terhadap pihak agensi kerajaan khususnya Jabatan Kerja Raya (JKR) yang tidak menitikberatkan kebajikan masyarakat penduduk di situ apabila mereka mengalih perjalanan jauh untuk ke pekan selepas JKR menutup laluan antara Simpangan ke Kalang kerana kerosakan jambatan Naluyan.

Malahan pemilik kenderaan atau pengguna di situ mengeluh kerana terpaksa menanggung beban kos minyak yang meningkat berbanding pada sebelumnya kerana terpaksa membuat lencongan melalui jalan kampung sebelum sampai ke jalan utama untuk sampai ke pekan di sini.

“Kita tidak cerewet soal itu, jika kerja kerja membaikpulih jambatan itu sedang berjalan. Malangnya sejak ianya ditutup pada tahun lepas (2014), sehingga sekarang tiada tanda tanda kerja pembaikan dimulakan.


Simen tempat meletakkan besi jambatan telah roboh dan hampir jatuh.

“Penduduk yang juga pengguna jalan raya mahu jambatan di situ siap dalam tempoh beberapa bulan kerana laluan di situ merupakan jalan pintas yang mengambil masa cuma beberapa minit sahaja boleh sampai ke jalanraya utama dan seterusnya menghantar anak anak sekolah ke SK Kalang,” kata Haji Wahab Timpai, seorang bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan Datuk Kadoh Agundong ketika memberitahu wartawan Sabahkini.net pada Ahad.

Ketika ditanya pandangannya berhubung halangan menutup jalan dialihkan oleh para pengguna jalanraya, malahan notis pemberitahuan penutupan jalan di situ tidak dihiraukan pengguna.

Beliau berkata, “Saya tidak memikirkan langsung bahawa tindakan para pengguna itu boleh diterima dengan sewajarnya, namun pihak JKR juga seharusnya mengambil berat perkara itu dengan berfikiran dua hala bahawa mungkin para pengguna sudah bosan menunggu tindakan pihak JKR dan sebaliknya pula, JKR perlu mempercepatkan tindakan mereka kerana jika dibiarkan ianya akan mengundang masalah kepada JKR dan sudah tentulah kutukan masyarakat terarah kepada JKR,” tegasnya.

Selain itu, isu tersebut turut dimuat turun di laman sosial Facebook yakni ramai yang berpendapat bahawa tindakan JKR meletakkan notis penutupan jalan di situ belum cukup usahanya untuk meyakinkan pengguna supaya tidak menggunakan jalanraya berkenaan.

Antara lain yang turut dimuatkan di laman sosial Facebook itu, mengingatkan pihak agensi kerajaan itu supaya tidak mengambil sikap acuh tak acuh, sebaliknya harus mengambil sikap serius dengan cara melobi kepada kerajaan untuk mendapatkan peruntukkan dengan kadar segera sambil menyingkap peristiwa jambatan Mandahan beberapa tahun lalu apabila jambatan itu roboh sehingga mengakibatkan ramai mangsa yang telah terkorban.

No comments:

Post a Comment