Thursday 12 March 2015

ZAKARIA SAMPAIKAN BAJU SERAGAM SEKOLAH KAWASAN DUN GUM-GUM


OLEH: SHAIMON S JUMADI



Kelihatan….Zakaria menyampaikan pakaian seragam sekolah kepada pelajar dari sekolah bagi DUN Gum Gum kelmarin



GUM GUM : Kerajaan  Barisan Nasional Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri dan Ketua Bahagian UMNO Libaran telah mentransformasikan kawasan Libaran.


“Beberapa projek mega telahpun dilaksanakan di kawasan Libaran. Banyak pembangunan dibawa oleh Kerajaan Barisan Nasiona Negeri yang dipimpin oleh Datuk Musa,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Gum Gum Datuk Zakaria Haji Mohd Edris ketika menyempurnakan Majlis Penyampaian Pakaian Seragam Sekolah bagi DUN Gum Gum di Dewan Gum Gum kelmarin.

Datuk Musa sentiasa memikirkan bagaimana cara untuk terus membawa pembangunan kepada Sabah termasuklah pendidikan anak-anak, kata beliau yang juga Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

“Salah satu projek mega yang berjaya dilaksanakan ialah Hab Pendidikan di Batu 12 iaitu kini terdapat beberapa institusi pengajian tinggi telah diwujudkan di situ. Ini memberikan peluang anak-anak muda untuk melanjutkan pelajaran mereka tanpa perlu pergi ke tempat jauh sekaligus dapat meringan beban ibubapa yang ingin menghantar anak-anak mereka belajar ke menara gading,” tambah Zakaria.

Anak-anak adalah aset yang penting dan oleh itu ibubapa hendaklah terus memberikan pendidikan yang terbaik kepada mereka dan senantiasa memantau pergerakan mereka agar tidak terlibat dalam gejala yang tidak sihat, katanya lagi.

Zakaria turut memberitahu bahawa sebuah Klinik 1Malaysia akan diwujudkan di PPR Gum Gum demi kemudahan penduduk di Gum Gum serta kawasan-kawasan berdekatan.


Dengan adanya Klinik 1Malaysia ini para penduduk boleh mendapatkan rawatan perubatan dengan bayaran yang murah dan tidak perlu pergi jauh sehingga ke Hospital Duchess of Kent.

Menyentuh majlis penyampaian pakaian seragam sekolah, Zakaria berkata sumbangan pakaian seragam dan alat-alat tulis dari KOSAN merupakan salah satu program yang diilhamkan Kerajaan Barisan Nasional dalam membantu pelajar-pelajar.

“Program ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban para ibubapa untuk mendapat pakaian seragam dan sebagainya,” katanya lagi.

Program Bantuan Sosial ini merupakan bantuan dan amalan yang amat diharapkan masyarakat yang memerlukan. Seperti yang kita semua sedia maklum, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah besar, semata-mata bagi menyampaikan Program Bantuan Sosial kepada murid-murid seluruh negeri yang difahamkan seramai 271,696 murid yang mendapat kemudahan ini, kata Zakaria.

Pelajar-pelajar dari 10 buah Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Kebangsaan Jenis Cina di DUN Gum Gum  menerima sumbangan pakaian seragam sekolah dan alat-alat tulis dari KOSAN dalam majlis berkenaan.

Hadir bersama ialah Timbalan Pengerusi Koperasi Serbaguna Sanya Berhad (KOSAN) Datuk Arsad Idris, Pengurus Besar KOSAN Salmah Tiah, Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Datuk Armani Mahiruddin, Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Gum Gum Kamal M Said, Pegawai Pembangunan Masyarakat DUN Gum Gum Rosly Aziz serta wakil Pejabat Pelajaran Daerah dan para gurubesar sekolah-sekolah yang menerima sumbangan berkenaan.

No comments:

Post a Comment