Thursday 23 September 2010

BENARKAH AH LONG BAYAR GAJI POLIS?


PUKUL....Maria menunjukkan gambar samseng yang memukul beliau dan suaminya sehingg cedera parah.


Oleh: KAPTEN (B) YAZID J

MUNGKINKAH kisah layar perak filem Bollywood dan Hollywood berhubung polis bersubahat dengan penjenayah yang berleluasa di India dan Amerika benar-benar terjadi di Malaysia?

Itulah hakikat yang terpaksa dilalui oleh Maria Liang dan suaminya, William Joseph yang hidup dalam ketakutan dan sentiasa diburu Ah Long yang begitu berpengaruh di Penampang; sedangkan mereka tidak pernah berhutang walau satu sen pun dengan ‘Taiko’ Ah Long yang bernama Alex Soo Chi Pin.

Menurut Maria, pada 1 Jun 2010, kira-kira jam 11 pagi, di rumah mertuanya, tempat mereka sekeluarga tinggal, telah didatangi oleh sekumpulan enam orang yang memberitahu untuk berjumpa dengan Maria.

“Saya bertanya kenapa cari saya? Mereka memperkenalkan diri sebagai pegawai ‘polis’ daripada ‘commercial crime’ dan mahu mencari William kerana mahu menjalankan siasatan berhubung satu laporan polis yang dibuat terhadapnya. Seksyen 420 kata mereka,” kata Maria yang menyatakan bahawa William ialah suaminya yang kebetulan tiada di rumah ketika itu.

Menurut Maria, beliau curiga dengan tuduhan suaminya di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan untuk kesalahan menipu dan bertanya kenapa polis berkenaan tidak menggunakan uniform; namun kata seorang ‘polis’ tersebut mereka CID.

“Mereka tidak percaya saya kata William tiada di rumah dan memaksa saya untuk menggeledah rumah termasuk bilik tidur kami. Saya tanya sama ada mereka ada bawa waran atau surat mahkamah. Mereka kata tidak perlu surat atau waran kerana mereka ada kuasa dan akan tuduh saya bersubahat dengan penjenayah,” ujar Maria yang kemudiannya mencabar mereka menunjukkan kad kuasa polis.

Mujur kata Maria, sebelum sempat mereka melangkah masuk, setelah menunjukkan sesuatu kad dari jauh; abang ipar beliau, Boniventure Chen dan beberapa saudara mara datang ke rumah lalu ‘polis’ tersebut membatalkan niat memasuki rumah.

Tegas Maria, beliau terpaksa mendesak ‘Polis’ berkenaan menunjukkan surat kebenaran atau waran geledah daripada mahkamah kerana sebelum ini beliau dan suaminya telah membuat laporan polis terhadap seorang Ah Long bernama Alex Soo Chi Pin dan sekumpulan samseng yang telah memukul dan mencederakan beliau dan suaminya.

“Kejadian serangan itu disaksikan sendiri oleh wakil Peguam Alex yang bernama Kenneth yang turut cuba menghalang Alex memukul kami laki bini,” ujar Maria yang masih trauma dengan kejadian ngeri tersebut yang mengakibatkan suaminya cedera parah.

Kata Maria lagi, beliau bertambah gelisah dan gementar kerana di antara ‘Polis’ tersebut termasuk batang tubuh Alex Soo sendiri.

“Ketika mereka datang hanya saya, mertua saya yang sudah uzur dan empat anak saya sahaja yang berada di rumah dan saya terpaksa berwaspada kerana bimbang Alex akan bertindak menyerang kami,” kata Maria yang curiga dengan perangai ‘Polis’ berkenaan.

Menurut Maria, beliau bertanya ‘polis’ berkenaan kenapa Alex bersama mereka namun ‘polis’ menafikan mereka datang bersama Alex dan tidak mengenali Alex yang ketika itu berada di belakang dapur rumah meninjau sekeliling.

Ketika itu kata Maria, beliau cuba memberi tahu ‘Polis’ yang datang ke rumah mereka bahawa Alex Soo yang memukul beliau dan suaminya; namun ‘polis’ berkenaan langsung tidak mempedulikan aduannya.

“Saya tidak tahu apakah Alex Soo datang bersama polis atau mereka datang berasingan atau mereka bekerja sama mahu mengugut saya,” kata Maria sambil mengimbau kejadian seorang ‘polis’ lain yang bernama Muhyiddin datang mencari beliau di pejabatnya di Alam Mesra bersama beberapa lelaki lain ketika beliau bercuti di Sarawak.

Akibat lawatan polis yang tidak diundang itu, Maria mengambil keputusan untuk berhenti kerja setelah dinasihatkan oleh majikannya walaupun prestasi kerjanya amat baik sebelum ini.

Kesan daripada itu, Maria bimbang Alex mengupah ‘polis’ berkenaan melalui konspirasi pihak atasan polis kerana Alex pernah menggertak beliau membuat laporan polis kalau berani sambil memperlekehkan bahawa semua polis berada di dalam ‘payroll’nya dan tidak akan berani melakukan apa-apa.

“Saya amat takut kerana Alex melakukan pelbagai gangguan termasuk membunuh anjing kesayangan saya dengan kejam dan meletakkan di bawah kereta saya, semata-mata untuk menakutkan saya,” kata Maria yang kesal dengan persekongkolan ‘polis’ berkenaan bersama Alex.

Sehubungan itu, Maria telah membuat laporan polis PPG/RPT/4373/2010 pada 4 Jun 2010 di Balai Polis penampang.

Dalam pada itu, Boniventure Chen juga turut membuat polis PPG/RPT/4296/2010 pada 3 Jun 2010 sebagai tambahan kepada laporan polis yang dibuatnya pada 1 Disember 2008 melalui laporan PPG/RPT/181/2008 di Balai Polis Penampang, yang memaklumkan bahawa Alex Soo, Ling Chee Kee dan beberapa orangnya telah memukul William dan Maria, namun sehingga ke hari ini tidak ada sebarang tindakan diambil terhadap penjenayah tersebut.

Sehubungan itu, Maria dan suaminya mendesak agar Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim mengarahkan anggota polis menjalankan siasatan dan mendakwa Alex Soo dan kumpulan samsengnya ke mahkamah kerana menjalankan perniagaan haram dan secara niat mencederakan beliau dan suaminya.

“Jika Alex Soo tidak membayar gaji ‘polis’, buktikan dengan penangkapan mereka,” cabar Maria yang kesal dengan keengganan Polis melayan laporan polis yang beliau dan iparnya buat sebelum ini.

No comments:

Post a Comment