Friday 13 May 2011

APA MANFAATNYA KEPADA PENDUDUK SANDAKAN?



Oleh: CHANG SHAK HUNG

KENAIKAN demi kenaikan dari segi harga barang keperluan yang dikawal oleh kerajaan, tanpa mengira nasib dan keperluan rakyat, begitu mendukacita dan langsung tidak munasabah serta membebankan rakyat di kemudian hari.

Apa yang dimaksudkan adalah kenaikan 20 sen sekilogram harga gula di Malaysia pada minggu lalu. Apakah rasionalnya kerajaan menaikkan harga barang kawalan ini dengan alasan yang sama sejak dua kenaikan sebelum ini yakni pada bulan Julai dan Disember 2010.

Kenaikan ini adalah demi untuk kebaikan kesihatan iaitu menghidari penyakit kencing manis dan obesiti. Sekiranya apa yang diwar-warkan oleh pihak kerajaan berhubung dengan penjagaan kesihatan melalui kenaikan harga gula, mereka sepatutnya tidak mengeluarkan kenyataan pada masa yang sama mengenai pengurangan subsidi kerajaan secara berperingkat-peringkat.

Adakah ini boleh ditaksirkan sebagai kerajaan mahu penduduk menjaga kesihatan dan pada masa yang sama hendak mengurangkan subsidi kerajaan? Atau kerajaan mahu mengurangkan subsidi terhadap rakyat dengan memberi alasan untuk menjaga kesihatan? Yang mana anda pilih untuk kenaikan tersebut?

Kerajaan telahpun menaikkan harga gula kepada RM2.30 sekilogram dan ini secara tidak langsung akan menaikkan harga barangan secara mendadak. Walaupun kerajaan telah memberi amaran kepada peniaga supaya tidak menaikkan harga secara tidak munasabah, kenapa mereka tidak mencerminkan diri sendiri bagaimana mereka melayan rakyat dengan menaikkan harga gula sehingga ke tahap yang langsung tidak munasabah? Tiga kali kenaikan dalam masa setahun?

Kenapa beban kewangan negara perlu ditanggung oleh rakyat sedangkan kerajaan yang dipilih adalah untuk membantu rakyat dan bukannya memberi satu tanggungan yang tidak kena tempatnya terutamanya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana?

Kebanyakan penduduk di Sandakan ini mencari nafkah hidup seperti ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ dan langsung tidak mempunyai kemampuan untuk mencapai impian seperti membeli sebuah rumah melalui Skim Rumah Pertamaku?

Adakah beberapa projek mega seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada tahun lalu berhubung dengan perbelanjaan yang memakan berbillion dan berpuluh billion ringgit memberi manfaat secara lansung kepada penduduk di Sandakan khususnya dan di Sabah pada amnya?

Contohnya pembinaan sebuah bangunan 100 tingkat di Kuala Lumpur dan diberikan nama Warisan Merdeka, lebih tinggi daripada bangunan tertinggi di Malaysia, iaitu Menara Berkembar Petronas setinggi 88 tingkat. Bangunan 100 tingkat ini dibina dengan kos RM5 billion yang dibina bersebelahan Stadium Merdeka dan Stadium Negara, dijangka siap pada tahun 2015. Apakah penduduk Sandakan mendapat manfaatnya?

Perdana Menteri juga mengumumkan satu lagi projek berimpak tinggi iaitu Pembangunan Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD), bermula tahun ini dengan nilai anggaran kos perbelanjaan sebanyak RM26 billion. Projek ini dilaksanakan oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan kerjasama Mubadala Development Company, syarikat pelaburan kerajaan Abu Dhabi dan akan menempatkan secara bersepadu, bank utama antarabangsa dan firma perkhidmatan kewangan profesional. Penduduk Sandakan akan dapat manfaatnya?

Selain itu juga, pembangunan tanah Lembaga Getah Malaysia di Sungai Buloh, Selangor yang berkeluasan 1,072 hektar oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengandungi kediaman mampu milik, perdagangan, industri serta kemudahan prasarana dengan kos bernilai RM10 billion.

Turut diumumkan adalah projek Transit Aliran Ringan (MRT) di Greater Kuala Lumpur bernilai RM40 billion yang akan dilaksanakan pada tahun ini dan dijangka siap menjelang tahun 2020 dengan kos pelaburan swasta. Sekali lagi persoalannya adalah ‘Apakah Manfaatnya kepada Penduduk Sandakan?’

Adakah ini dikatakan telah menjaga penduduk di Malaysia khususnya di Sandakan ini kerana pembangunan mega langsung tidak memberi keuntungan kepada penduduk di sini dan hanya tertumpu di Kuala Lumpur sahaja?

Bagaimana penduduk di Sandakan dan di Sabah ini hendak menampung kos sara hidup yang begitu tinggi sedangkan pembangunan yang mampu membela rakyat hanya tertumpu di Kuala Lumpur.

Menjadi hakikat dan kenyataan, Sabah merupakan sebuah negeri yang termiskin di Malaysia, ini pula ditambah beban kos sara hidup tinggi yang disebabkan oleh kenaikan gula sebanyak 65 sen sekilogram dalam masa setahun!

No comments:

Post a Comment