Monday, 23 May 2011

ZAHID UMPAMA PELURU SESAT DALAM UMNO


Saudara Pengarang,

SAYA merujuk kepada laporan muka depan akhbar tempatan di Sabah bahawa Presiden Parti Berstau Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup mengugut untuk mengeluarkan partinya daripada Barisan Nasional (BN) sekiranya kerusi Parlimen Pensiangan ditandingi oleh parti lain dalam BN.

Saya memahami perasaan Kurup. Kebimbangannya adalah benar. Baru-baru ini Naib Presiden Umno, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, menyatakan hasratnya untuk melihat kerusi Pensiangan ditandingi oleh partinya.

Oleh itu, kekecewaan Kurup adalah difahami. Untuk rakan seperjuangan dalam BN datang dari seberang Laut China Selatan untuk menuntut kerusi yang dimiliki oleh rakannya adalah biadap dan satu penghinaan.

Bagaimanapun, diharapkan Kurup tidak ingin mengajukan kekecewaannya terhadap kepimpinan BN dan BN secara keseluruhannya.

Ahmad Zahidi terkenal dengan mulut becok dan tidak sensitif. Ini bukan kali pertama beliau melukai hati rakyat. Pada tahun 2008, apabila Majlis Peguam Malaysia mengadakan forum untuk membantu ibu-ibu tunggal yang mana bekas suami mereka menukar agama kepada Islam, Zahid merupakan orang yang paling lantang bersuara menentang forum tersebut.

Tanpa mempedulikan masalah yang dihadapi oleh ibu-ibu tunggal ini yang tidak mempunyai ruang untuk dituju, Zahid muncul di televisyen mengugut bahawa ribuan orang akan membantah forum itu.

Akibatnya apa yang sepatutnya adalah sebuah forum perundangan sivil bertukar wajah. Peserta forum, termasuk ibu-ibu yang miskin, berasa takut dengan himpunan orang yang menganggu forum itu. Tetapi Zahid sendiri tidak hadir bersama mereka.

Sebagai seorang Menteri yang bertanggungjawab beliau menyuarakan rasa tidak setujunya melalui perbincangan sivil atau menyertai forum tersebut untuk menyuarakan bantahannya. Sebaliknya, beliau memutuskan untuk menghasut orang ramai menentang forum itu.

Kedua, Zahid jugalah yang mengapi-apikan isu apabila beliau menentang sekerasnya penggunaan Alkitab (bible berbahasa Melayu) dan penggunaan perkataan Allah di kalangan penganut Kristian apabila isu yang melibatkan akhbar Katolik, The Herald, timbul.

Tanpa mengkaji sejarah agama Kristian di Sabah dan Sarawak, beliau mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan ramai orang. Beliau bercakap seolah-olah beliau tahu segalanya.

Beliau juga menghentam rakan Menteri Kabinet, Tan Sri Bernard Dompok dalam sebuah akhbar harian berbahasa Melayu mengenai isu ini. Sebagai Menteri di dalam kabinet yang sama, sudah pasti Zahid sepatutnya mendekati Dompok untuk membincangkannya dalam keadaan yang lebih sesuai.

Ini menunjukkan bahawa Zahid kurang menghormati Presiden-Presiden parti BN lain. Oleh itu, Kurup bukanlah orang pertama yang berdepan dengan perkara ini.

Ketiga, pada 2009, satu kontroversi timbul mengenai persembahan tarian yang melibatkan wanita-wanita seksi yang dihadiri oleh Zahid sendiri. Apabila persembahan tersebut dikritik, Zahid berkata tarian seksi adalah sebahagian daripada budaya masyarakat Cina!

Kenyataan ini menghina kaum Cina. Tidak mungkin wanita yang menari-nari dengan mengenakan seluar yang amat pendek dianggap sebagai sebahagian daripada budaya Cina.

Keempat, Zahid jugalah yang berkata bahwa rusuhan pada 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur adalah disebabkan oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP). Ini adalah kenyataan yang amat tidak bertanggungjawab. Ini dilaporkan dalam akhbar tempatan Jumaat lepas. Ini ternyata satu cubaan untuk membuat rakyat membenci DAP.

Sebagai seorang ahli politik dan Menteri Kabinet yang matang, Kejadian 13 Mei sepatutnya digunakan untuk memupuk perpaduan yang lebih kukuh di kalangan rakyat Malaysia. Sebaliknya Zahid menghidupkan bara lama. Saya pasti Datuk Seri Najib turut menyedari perkara ini dan kesannya terhadap Gagasan 1Malaysia.

Kelima Zahid adalah orang yang berkata bahawa kaum bukan Melayu tidak bersikap patriotik. Dakwaannya dikritik oleh banyak pihak. Bagaimana seorang Menteri Kabinet kanan boleh membuat kenyataan dangkal yang boleh melukai perasaan banyak komuniti adalah tidak difahami.

Terdapat banyak lagi senarai kenyataan lain yang dibuat oleh Zahid yang tidak menyenangkan ramai orang.

Bandingkan Zahid dengan Perdana Menteri kita yang mengilhamkan Gagasan 1Malaysia dan anda akan melihat Zahid sebagai seorang ahli politik yang amat tidak matang. Hakikatnya, beliau juga langsung tidak boleh dibandingkan dengan Ketua Menteri kita, Datuk Seri Musa.

Oleh itu, diharap Kurup tidak mengajukan kekecewaannya terhadap BN secara keseluruhan. Tetapi, Kurup perlu berbincang dengan kepimpinan BN sebelum Zahid menjadi tidak terkawal dan menjejaskan peluang BN dalam pilihanraya yang akan datang.

Mungkin disebabkan oleh orang seperti Zahid, ramai rakyat Malaysia mulai hilang minat dengan Umno. Bukannya kerana mereka hilang kepercayaan kepada kepimpinan Umno.

Zahid gagal untuk menyedari bahawa beliau sebenarnya memberi ‘Peluru Sesat’ kepada pembangkang untuk digunakan terhadap partinya sendiri. Kenyataan-kenyataannya yang tidak bijak digunakan oleh pembangkang untuk meraih mata menentang Umno dan BN.

Disebabkan Umno Sabah banyak menyumbang kepada kejayaan BN pada tahun 2008, adalah sesuai sekiranya lebih ramai anggota Umno Sabah berada dalam Kabinet Persekutuan, untuk menjamin kewarasan pada peringkat tertinggi.

Salam Hormat,

UHUN BUNSIHOU

1 comment:

  1. Zahid tu dulu sekolah di mana ah??? Mungkin dia tiada belajar sejarah...Memalukan orang Melayu dan Partinya...Janganlah ada rasa tamak. Sudahlah menjajah Sabah..nak peha pula..Rakyat Sabah tahu apa yang baik untok Sabah...Saya ni Orang Islam..mentua Kristian..Meraka Sambahyang didepan saya dan mengunakan Perkataan Allah sekian lama...Bagi saya Islam itu indah kerana sudah di nyatakan di dalam Al-Quran. Baca surah Al-ikhlas....Saya dan anak-anak serta isteri masih Islam dan mentua dan ipar duai masih dengan agama Kristian meraka....Zahid ada problem!!!!

    ReplyDelete