Monday 2 May 2011

EMAIL 1MALAYSIA, ROMPAKAN DI SIANG HARI



Oleh: CHANG SHAK HUNG

PENGUMUMAN kerajaan untuk menggunakan khidmat Tricubes Berhad dalam meneruskan agenda kerajaan dalam memberi maklumat melalui email 1Malaysia, merupakan satu keputusan yang tidak bijak serta taksub untuk memperdayakan duit rakyat demi untuk mencapai impian yang rakus dan tidak menguntungkan mana-mana pihak selain syarikat Tricubes Berhad itu sendiri, bagaikan rompakan di siang hari.

Tricubes Berhad merupakan sebuah syarikat IT dan telah disenaraikan di Bursa Malaysia namun telah mendapat Guidance Note 3 (GN3) yang mana ia menitikberatkan dan perlu mengetengahkan program penstrukturan kewangan atau berdepan dengan nasib ‘delist’ dari senarai Bursa Malaysia menjelangnya 29 Oktober 2011 atas sebab kewangan yang lemah di dalam syarikat berkenaan.

Melalui email 1Malaysia, rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas akan diberikan satu email percuma bagi memberikan perkhidmatan seperti rangkaian sosial dan pembayaran bil atas talian, penerimaan notis kerajaan seperti penerimaan notis saman, penerimaan statement untuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (EPF), memperbaharui lesen memandu dan penaksiran cukai pendapatan.

Untuk kesemua ini, adakah perlu diadakan semula perkhidmatan-perkhidmatan sedemikian memandangkan kesemua agensi kerajaan telahpun mengadakan laman sesawang (website) masing-masing untuk memudahkan pelanggan melayari laman sesawang untuk urusan rasmi?

Projek Emel 1Malaysia yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai satu antara tujuh projek baharu di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP), telah ditentang dan dibantah hebat oleh kebanyakan rakyat Malaysia memandangkan ia tidak perlu diadakan. Syarikat Tricubes akan mengenakan RM0.50 untuk setiap email kepada pelanggannya.

Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berkenaan, Khairun Zainal Mokhtar memberitahu bahawa kepada sesiapa yang ingin mendapatkan kemudahan keselamatan yang lebih selamat, mereka bolehlah mendapatkannya dengan kemudahan ‘encryption’ dan perlu dikenakan bayaran tambahan seperti menyimpan dokumen; maka caj tambahan perlu dibayar oleh pengguna sekali lagi.

Bukan itu sahaja, mereka yang ingin mendapat kemudahan email 1Malaysia perlu membuat pendaftaran di Jabatan Pendaftaran Negara! Langsung tidak munasabah memandangkan JPN merupakan tempat untuk urusan kad pengenalan diri, mendaftar perkahwinan, isu-isu pendaftaran yang berkaitan dengan taraf kewarganegaraan, ini pula dijadikan tempat mendaftar email 1Malaysia!

Dengan kos projek sebanyak RM50 juta, syarikat ini mensasarkan purata 900,000 pengguna setiap bulan dan mendapatkan semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun menyertainya menjelang tahun 2015.

Cuba bayangkan berapa perbelanjaan yang perlu dibayar oleh kerajaan setiap bulan. Contohnya terdapat 20 agensi kerajaan yang menyertai perkhidmatan ini; 900,000 pengguna X 20 agensi kerajaan, ini bersamaan dengan RM18 juta setiap bulan yang perlu dibayar oleh kerajaan kepada syarikat Tricubes Berhad!

RM18 juta setiap bulan hanya untuk menyalurkan maklumat kerajaan serta menyediakan perkhidmatan yang tersedia ada oleh agensi kerajaan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta agensi yang lain?

Persoalan pokok yang perlu dijawab adalah mengapa kerajaan yang diterajui oleh Barisan Nasional ini langsung tidak memikirkan kewangan yang perlu dibelanjakan mengikut keperluan sedangkan keadaan yang begiru teruk dan sengsaranya penduduk di Sabah amnya dan Sandakan khususnya, begitu mengharapkan peruntukan daripada kerajaan persekutuan untuk menyediakan kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, kemudahan air dan elektrik, kemudahan bilik darjah yang selesa kepada pelajar untuk menimba ilmu dan lain-lain lagi.

Kenapa ADUN mahupun Ahli Parlimen dari Sandakan langsung tidak membantah projek email 1Malaysia memandangkan peruntukan yang dapat ‘diselamatkan’ ini akan disalurkan kepada penduduk di Sandakan ini?

Inilah masa untuk membuktikan bahawa anda sebagai ADUN mahupun Ahli Parlimen betul-betul berkhidmat untuk Sandakan dan anda dipilih oleh penduduk Sandakan adalah bagi membangunkan Sandakan dan bukannya langsung mengikut telunjuk sesetengah pihak yang menyalahgunakan duit rakyat demi kepentingan politik diri sendiri!

No comments:

Post a Comment