Oleh : YEO CHEE THIAM (Universiti Malaya)
KETIKA Musa Aman menjadi Ketua Menteri Sabah dan Pengerusi Barisan Nasional Sabah pada 2003, beliau melantik Mantan Ketua Menteri Sabah, Datuk Chong Kah Kiat (Tan Sri) sebagai Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar dan Timbalan Ketua Menteri Sabah; tetapi Chong meletakkan jawatan pada 2007.
Musa kemudiannya melantik Naib Presiden LDP, Datuk Seri Liew Yun Fah sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Menteri Belia dan Sukan tetapi Liew kemudiannya meninggalkan LDP dan meletakkan jawatan kerana tidak dicalonkan pada 2008 lalu menyertai Gerakan.
Timbalan Ketua Menteri bagi kuota Cina kemudiannya diberikan kepada Datuk Raymond Tan Shu Khiah daripada SAPP sebelum beliau juga terpaksa meletakkan jawatan setelah SAPP meninggalkan BN dan menyertai Gerakan.
Jawatan Timbalan Ketua Menteri Sabah kemudiannya diberikan kepada Naib Presiden LDP, Datuk Peter Pang; tetapi akibat tindakan Timbalan Presiden LDP, Datuk Chin Su Phin bersengketa dengan Ketua Menteri Sabah, Pang terpaksa meninggalkan LDP.
Bagaimanapun nasib malang LDP berterusan kerana setelah mendapat persetujuan Perdana Menteri, Musa melantik Datuk Yee Moh Chai sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah kerana tidak ada pemimpin yang sesuai di dalam LDP.
Sebelum kerusi tersebut ditawarkan kepada Yee, Presiden LDP, Datuk V.K.Liew telah dipelawa memegang jawatan berkenaan melalui kaedah ‘Adun Lantikan’ tetapi Liew menolak; menyebabkan Musa terpaksa melantik Yee sebagai Timbalan Ketua Menteri yang baru.
Walaupun jawatan Timbalan Ketua Menteri tidak ada di dalam Perlembagaan Negeri Sabah, namun diterima secara ad-hoc sebagai ‘jawatan penting’ tanpa legislasi untuk menyeimbangkan kuasa dan pengaruh politik; sama seperti jawatan Timbalan Perdana Menteri yang tidak disebut di dalam Perlembagaan Persekutuan; tetapi menjadi rebutan banyak pihak.
Memandangkan BN dan parti komponen lain sudah terlalu banyak bersabar dengan karenah dan sikap gunting dalam lipatan LDP, maka ramai masyarakat Cina mula mencurigai LDP yang kelihatan dinakhodai Chin Su Phin; sehingga V.K.Liew kelihatan sebagai ‘Presiden Boneka’.
Alasan Chin bahawa masyarakat Cina menolak BN di kawasan bandar di Sarawak pada pilihanraya umum 16 April lalu akan menjangkiti Sabah kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak berani memecat Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri Sarawak dan Musa Aman sebagai Ketua Menteri Sabah; adalah alasan yang dangkal dan tidak berasas.
Masyarakat Cina Sarawak terus menyokong BN tetapi mereka benci kepada Presiden SUPP, Tan Sri George Chan (bukan Foo Chow) kali ini kerana mereka (Foo Chow) sukar menerima pemimpin bukan daripada kalangan mereka.
Sampai bilakah Musa Aman mampu bertahan dengan karenah dan penderhakaan berterusan Chin dan pemimpin LDP yang kelihatan bacul untuk menyatakan pendirian parti kerana secara en-block bersetuju dengan teguran Chin demi survival parti; apatah lagi LDP kini bersifat sebagai gunting dalam lipatan kain BN?
Tidakkah pemimpin LDP sedar bahawa parti mereka bagaikan ‘air mineral’ di dalam botol yang dijenamakan Chong Kah Kiat tidak mampu bertahan lama kerana majoriti pengundi di kerusi yang diberikan kepada mereka ialah ahli UMNO!
No comments:
Post a Comment