Monday 6 September 2010

LAGI LAPORAN POLIS DIBUAT TERHADAP CP SABAH




Oleh: ZIELAH A

SATU lagi laporan Polis telah dibuat oleh mantan Ketua Daerah Sandakan, OKK Hassnar Hj Ebrahim terhadap Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim dan Ketua Polis Daerah Kinabatangan, DSP Jaini Abdul Kadir atas dakwaan menyalahgunakan kuasa mereka sebagai Polis.

Dalam laporan Polis yang dibuat di Balai Polis Karamunsing, Kota Kinabalu pada jam 07.00 pagi tadi, OKK Hassnar menuntut supaya PDRM tangkap dan dakwa Datuk Noor Rashid Ibrahim dan DSP Jaini Abd Kadir di bawah Undang-Undang jenayah kerana menyalahgunakan kuasa mereka sebagai Polis dan bersubahat melindungi penjenayah.

Menurut OKK Hassnar, tindakan Noor Rashid yang mengarahkan Ketua Polis Daerah Kinabatangan supaya menangkap pekerjanya, kemudian menyumbat mereka ke dalam lokap Polis adalah satu komplot berniat jahat untuk menakutkan pekerja-pekerjanya supaya berhenti berkhidmat dengannya.

“Tindakan Noor Rashid ini merupakan serangan mental agar saya serahkan tanah saya kepada seorang taukeh berbangsa Cina yang telah diisytihar oleh Mahkamah Tinggi Sandakan sebagai pemegang Sijil Anak Negeri Palsu untuk mengubah status keturunannya daripada suku Cina kepada suku Anak Negeri,” ujar OKK Hassnar yang jengkel dengan tindakan ‘polis berjiwa Iblis’ berkenaan.

Kata OKK Hassnar, kes ini merupakan pertikaian sivil iaitu berkaitan hakmilik tanah yang pihak Polis tidak ada urusan untuk campurtangan. Tiba-tiba saja Polis dengan sepantads kilat menitik berat kes seumpama ini dan mengambil tindakan menangkap pekerja beliau sebagai sesuatu yang tidak menghairankan, kerana kes ini melibatkan seorang taukeh besar daripada Sandakan.

“Saya sedia katakan semua orang Sabah tahu, sebilangan besar Pegawai PDRM adalah jenis ‘musang berbulu ayam’. Kalau rakyat biasa buat aduan, mereka buat-buat tidak tahu. Sebaliknya apabila ada taukeh besar buat aduan, lain pula sandiwara mereka,” tambah OKK Hassnar lagi yang mengalu-alukan perlantikan Ketua Polis Sabah yang baru bagi menggantikan Ketua Polis yang penuh skandal.

Tegas OKK Hassnar, beliau bersedia membuktikan ada banyak laporan kepada Polis melibatkan perkara serupa yang berlaku sekarang, tetapi walau aduan telah dibuat, namun tidak ada tindakan diambil oleh Polis. Ini adalah bukti sikap ‘double standard’ yang diamalkan polis Sabah.

“Saya akan dedahkan bukti ini di Mahkamah kelak. Insah Allah,” tambah OKK Hassnar lagi yang menggesa agar Ketua Polis Negara yang baru melakukan rombakan besar-besaran Kontigen Polis Sabah yang mengamalkan rasuah dan menyalahguna kuasa di era Tan Sri Musa Hassan menjadi ketua mereka.

Ini adalah merupakan laporan Polis kedua pada bulan September 2010 yang dibuat oleh OKK Hassnar yang mendakwa pada 03 September 2010, beberapa puluh anggota Polis daripada Balai Polis Kota Kinabatangan telah datang ke kawasan tanah yang menempatkan dua orang perkerjanya lalu memberkas dan membawa pekerja tersebut ke Balai Polis Kota Kinabatangan dan dilayan sebagai penjenayah.

Siasatan krew Sabahkini.net menunjukkan antara jam 03.00 hingga 05.00 pagi Jumaat, 3 September 2010, dua orang pekerja OKK Hassnar yang ditempatkan dalam kawasan tanah yang dia ada kepentingan, telah ditangkap oleh Polis.

Para pekerja tersebut yang ditugaskan menjaga peralatan dan perkakas pertanian milik OKK Hassnar adalah pekerja yang mengganti pekerja terdahulu yang juga ditangkap. Polis kemudian telah memohon mereman pekerja berkenaan selama empat hari namun Majistret hanya membenarkan tahanan reman selama dua hari sahaja.

Atas perintah Majistret kedua-dua pekerja tersebut telah dibawa ke Mahkamah Majistret Sandakan dan dibebaskan pada pagi Ahad 05 Sept 2010.

“Saya akan terus letak pekerja saya di tapak tanah terbabit dan saya persilakan keturunan Raja Mandaliar dan Sikitul (Noor Rashid Dan Jaini) menunjukkan kehebatan ilmu pembelotan mereka,” kata OKK Hassnar akan sudah menyiapkan draf samannya dan akan memfailkan saman berkenaan bila-bila masa untuk mendakwa dua pegawai polis yang khianat tersebut.

Terdahulu, OKK Hassnar telah memfailkan satu saman sekitar Januari 2009 terhadap Noor Rashid Ibrahim dan DSP Jaini Abd Kadir. Sebagai tindak balas, Polis telah mengheret dan mendakwa OKK Hassnar di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu atas tuduhan melakukan tiga kesalahan remeh yang sengaja direka-reka. Jika sabit kesalahan OKK Hassnar boleh didenda RM25.00, namun setakat ini OKK Hassnar telah memenangi dua daripada tiga kes ‘rekaan’ berkenaan.

No comments:

Post a Comment