Sunday, 5 September 2010

‘ROYAL RUMBLE 2010’ DALAM USIA




LAPORAN POLIS….Perais menunjukkan salinan laporan polis yang dibuatnya di Balai Polis Karamunsing.

Oleh : KREW SABAHKINI.NET

SEORANG pemimpin Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia) membuat laporan polis KARAMUNSING/016524/10 di Ibu Pejabat Polis Kota Kinabalu di Karamunsing, Sabah berhubung dakwaan perbuatan pecah amanah oleh pemimpin kanan badan agama itu membabitkan ratusan ribu ringgit.

Ketua Usia cawangan Kampung Muhibah, Penampang, Perais Sharif Baba, 58, membuat laporan itu jam 9.40 pagi jumaat lalu dengan mengemukakan beberapa dokumen termasuk salinan transaksi bank bagi memudahkan penyiasatan dilakukan pihak polis.

Perais berkata, beliau membuat laporan itu setelah mendapat maklumat serta memperoleh beberapa salinan dokumen termasuk salinan cek pembayaran yang sepatutnya dibayar kepada USIA, tetapi dinamakan kepada individu tertentu dalam pertubuhan tersebut.

Antara salinan dokumen yang diserahkan kepada polis termasuk baucer pembayaran sebuah syarikat kepada USIA bertarikh 3 Oktober 2007 bernilai RM500,000; baucer pembayaran syarikat yang sama bertarikh 9 Januari 2008 berjumlah RM100,000 dan salinan baucer pembayaran syarikat itu kepada USIA bertarikh 7 April 2009 berjumlah RM5,000.

"Setelah menyemak dan meneliti semua dokumen tersebut, saya dapati ia berkaitan dengan pembayaran yang dilakukan syarikat terbabit menerusi satu projek usahasama dengan Usia bertarikh 17 September 2004."

"Semua baucer pembayaran tersebut telah diterima oleh seorang pemimpin kanan USIA. Semua cek tersebut adalah cek tunai iaitu tidak menamakan USIA sebagai penerimanya, sebaliknya menggunakan nama individu tertentu dan ini menimbulkan keraguan malah ia menyalahi peraturan yang biasa dipraktikkan USIA.

"Semua cek tersebut telah ditunaikan dan seperti dalam satu surat Bendahari Agung USIA kepada pihak bank terbabit bahawa wang tersebut telah TIDAK dimasukkan ke dalam akaun USIA," katanya dalam laporan kepada pihak polis.

Menurutnya, walaupun cek tersebut dicatatkan sebagai ‘tunai’ tetapi dalam perenggan butirannya disebutkan ia sebagai "Being payment of USIA's cash entitlement schedule as per Supplemental Joint Venture Agreement dated 17 September 2004," dakwa Perais.

Beliau berkata, wang tersebut adalah miliki USIA dan hanya badan agama itu sahaja yang layak menerimanya dan bukan sebaliknya.

Menurut Perais, tiada desakan dari mana-mana pihak untuk beliau bertindak membuat laporan polis. Bagaimanapun oleh kerana ianya melibat kepentingan USIA maka sebagai ahli USIA adalah menjadi tanggungjawab beliau agar perkara ini dapat disiasat dan seterusnya diambil tindakan sewajarnya kepada individu berkenaan sekiranya didapati melakukan perbuatan pecah amanah.

Katanya, pihaknya juga difahamkan USIA kini dalam proses penyiasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan berharap proses penyiasatan itu akan dipercepatkan bagi mengheret mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

"Siapa yang terbabit melakukan penyelewengan wang tersebut seharusnya disiasat dengan kadar yang segera," katanya sambil menegaskan perbuatan penyelewengan yang membabitkan kewangan badan itu seharusnya dibiarkan berlarutan dan tindakan tegas perlu diambil.

Justeru itu, dengan laporan polis yang dibuatnya, Perais berharap pihak polis akan menjalankan siasatan secepat mungkin supaya dakwaan peyelewengan yang wujud dalam Usia dapat dirungkai.

"Kita tidak sanggup melihat badan agama ini dicemari oleh individu-individu yang tidak bertanggungjawab dan jika mereka ini didapati melakukan kesalahan, mereka hendaklah segera disingkirkan dari badan ini," tegas beliau.

No comments:

Post a Comment