Oleh: KREW SABAHKINI.NET
“Kenapa salahkan Anwar?“
Itulah antara soalan dalam nada agak panas diajukan kepada beberapa orang krew Sabahkini.net yang kebetulan terserampak Suffian Pillai, seorang ahli PKR daripada Cabang Tuaran, di Gerai Ramadan Bandaraya Kota Kinabalu pada petang 29 Ogos lalu.
“Kenapa Sabahkini.net asyik siar berita seolah-olah Dr. Jeffrey Kitingan adalah Malaikat dan Anwar Ibrahim sebagai Syaitan Penjahat?” tanya Suffian Pillai dengan nada agak berang.
Krew Sabahkini.net yang pada mulanya berniat mahu menghabiskan petang itu meronda gerai-gerai menjual juadah berbuka puasa di Gerai Ramadan Bandaraya Kota Kinabalu itu rasa terpanggil hendak mendengar sepenuhnya kandungan maklumat baru yang cuba disampaikan, lantas melapangkan masa melayan ‘serangan’ Suffian Pillai tentang apa yang diandaikan olehnya sebagai berita Sabahkini.net yang berat sebelah.
“Semua ahli PKR tahu penubuhan Parti Cinta Sabah telahpun diusahakan sejak Anwar Ibrahim mengambil alih Majlis kepimpinan Perhubungan PKR Negeri Sabah daripada Hj Ansari Abdullah tetapi tidak sempat diumum kerana Anwar tiba-tiba berundur. Usaha menubuhkan Parti itu bertambah rancak setelah Pengerusi MPN PKR Negeri Sabah diambil alih Azmin Ali,” kata Suffian dengan nada yang mula mengendur setelah Krew Sabahkini.net sudi mendengar keluhannya.
Menurut Suffian, perkara ini patut disiasat Sabahkini.net dan diterangkan kepada semua ahli PKR supaya mereka mengetahui siapa dalang sebenar menubuhkan Parti Cinta Sabah yang niatnya adalah merosakkan PKR dari dalam.
“Maaf saya sudah lambat temu janji, nanti kita sembang lagi,“ kata Suffian yang sambil terus berjalan meninggalkan krew Sabahkini.net dengan wajah yang agak ceria.
Oleh kerana waktu berbuka telah hampir tiba, krew Sabahkini.net tidak dapat terus mengambil nota mengenai maklumat yang baru diterima mengenai Parti Cinta Sabah itu.
Ekoran penggantungan Geng 12 yang nama mereka dikaitkan dengan Dr. Jeffrey Kitingan berhubung isu penubuhan Parti Cinta Sabah telah menjadi topik hangat di kalangan ahli PKR Sabah.
Selesai saja solat maghrib, beberapa krew Sabahkini.net rasa terpanggil dengan cabaran Suffian Pillai terutama mengenai tohmahannya bahawa berita di laman web Sabahkini.net berat sebelah. Lebih mencabar, soalan siapa sebenarnya dalang di sebalik penubuhan Parti Cinta Sabah?
Apakah benar penubuhan Parti Cinta Sabah telah dicadangkan ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih MPN Negeri Sabah?
Kalau benar apa tujuannya dan kenapa hanya setelah Azmin Ali berundur daripada jawatan Pengerusi MPN barulah maklumat mengenai penubuhannya terdedah? Itulah persoalaan yang terus berkisar di benak fikiran beberapa krew Sabahkini.net kesan pertemuan singkat mereka dengan Suffian Pillai.
Mengimbau beberapa siaran berita melalui laman web Sabahkini.net sememangnya suasana terjana sekarang telah menjadi ibarat “Dr. Jeffrey Kitingan ‘is the angel, while Anwar the villian’.
Tanpa berlengah lagi, krew Sabahkini.net terpaksa berpecah dan membahagikan tugas untuk memulakan kerja menyiasat dan daripada sumber maklumat yang boleh dipercayai, krew Sabahkini.net dimaklumkan Dr. Jeffrey Kitingan adalah pemimpin PKR Sabah yang bertanggungjawab di sebalik penubuhan Parti Cinta Sabah.
Kenyataan beberapa penulis yang menyebut bahawa Dr. Jeffrey Kitinganlah yang memberi nasihat kepada Geng 12 supaya pendaftaran parti itu ditarik balik sehari selepas permohonannya difailkan, adalah satu pembohongan.
Kandungan surat daripada Pendaftar Pertubuhan di Kota Kinabalu menyatakan tarikh pada surat penarikan balik telah di’back date’ kepada 06 Disember 2009. Surat penarikan balik permohonan Parti Cinta Sabah diterima oleh Pendaftar Pertubuhan pada 04 Januari 2010.
Daripada maklumat yang diperolehi beberapa ahli Geng 12 orang yang telah digantung keahlian mereka telah memaklumkan kepada Ahli Jawatankuasa Disiplin Parti bahawa mereka, selaku penyokong kuat kepada Dr. Jeffrey Kitingan hanya menandatangani borang yang disediakan setelah mesyuarat penubuhan Parti Cinta Sabah selesai diadakan.
Mesyuarat yang diadakan dengan berselindung atas nama Yayasan Warisan Borneo (BHF) dengan kerjasama Common Interest Group Malaysia (CigMa) telah berlangsung di kediaman Dr. Jeffrey Kitingan di Tambunan. Semua borang yang ditandatangani diketahui dan adalah atas restu Dr. Jeffrey Kitingan.
Tindakan mendaftar Parti Cinta Sabah berakar umbi apabila agenda di sebalik menyampaikan satu memorandum, kononnya ditandatangani oleh 18 daripada 25 Pengerusi Cabang PKR di Sabah, telah diserah kepada Presiden Parti.
Kandungan memorandum antara lain, kononnya menuntut supaya Presiden PKR menggantikan jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Sabah, ketika itu disandang Azmin Ali dan melantik Dr. Jeffrey Kitingan sebagai pengganti.
Dengan bantuan seorang penulis upahan Dr. Jeffrey Kitingan, kisah memorandum ini kemudian telah sengaja dibesar-besarkan di portal Malaysiakini.net. Tanpa usul periksa beberapa ahli MPT PKR telah termakan propaganda murahan itu dan berjaya diperdaya.
Mereka percaya bahawa 18 Ketua Cabang yang tandatangani memorandum tersebut tidak akan teragak-agak mengambil tindakan yang dianggap boleh menyebabkan PKR di Sabah tutup kedai.
Sebagai jalan keluar yang bijaksana pucuk pimpinan PKR Pusat telah menggantikan Azmin Ali dengan Thamrin Hj Jaini. Keputusan MPT PKR itu telah mengecewakan Dr. Jeffrey Kitingan. Disebabkan gagal menjinakkan pucuk pimpinan PKR Pusat, Dr. Jeffry Kitingan segera membuka tirai baru dalam siri lakonannya menggoncang PKR dari dalam dengan mengancam keluar parti.
“I have burnt my bridges,” itulah kenyataannya membawa maksud saya telah tinggalkan PKR.
Tindakannya segera disokong oleh Christina Liew yang juga salah seorang ahli MPT PKR. Tanpa berlengah, satu mesyuarat telah diadakan di Tambunan, kononnya lebih 300 penyokong Dr. Jeffrey Kitingan hadir; seterusnya berikrar akan berdiri teguh di belakang Dr. Jeffrey Kitingan.
Daripada sumber yang boleh dipercayai jumlah ‘ratusan penyokong Dr. Jeffrey Kitingan’ yang hadir itu adalah angka yang sengaja ditokok tambah. Jumlah sebenar yang hadir tidak sampai 30 orang.
Perjumpaan di Tambunan telah menambah kekecewaan Dr. Jeffrey Kitingan. Bukan sahaja kerana agenda di sebalik penyerahan memorandum kepada Presiden Parti tidak berjaya mengenai sasaran tetapi juga mendapat sambutan dingin daripada parti lawan.
Pemimpin Umno langsung tidak memberi reaksi positif. Sebahagian besar ahli-ahli UMNO mengejek ahli PKR dengan berkata ‘kami tolak permohonannya, kenapa kamu ambil dia’. PBRS pula secara ringkas berkata menjadi tabiat Dr. Jeffrey Kitingan merosakakan Parti yang dianggotainya.
Sementara itu PBS, yang diketuai oleh abang kandungnya sendiri, pun tidak memberi kata membersangkan. Mesej yang disampaikan sekadar memberitahu Dr. Jeffrey bahawa dia perlu bermula sebagai ahli biasa jika hendak menyertai semula PBS.
Sebagai usaha menyelamatkan maruah diri, maka penubuhan Parti Cinta Sabah yang di ‘KIV’ sejak Anwar Ibrahim meletak jawatan sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Sabah segera digerakkan.
Bagaimanapun, sekali lagi Dr. Jeffrey Kitingan hampa apabila sebilangan besar daripada penyokong setia PKR dari bahagian pedalaman secara terang-terangan membantah niatnya membawa mereka keluar PKR. Mereka juga sama sekali tidak bersetuju menyertai dan menyokongnya dalam Parti Cinta Sabah .
Kedudukan Dr. Jeffrey Kitingan terselamat seketika daripada terus terikat dalam perangkapnya sendiri setelah beberapa pemimpin PKR pusat yang langsung tidak tahu adegan yang berlaku di Negeri Sabah datang, kononnya menawarkan diri menjadi orang tengah bagi meredakan suasana.
Namun mereka tidak mengetahui bahawa permohonan Pendaftaran Parti Cinta Sabah telahpun dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan Sabah. Pengkhianatan ini masih rahsia dan bukti mengenainya hanya terbongkar beberapa bulan selepasnya.
Sebilangan penyokong setia PKR berpendapat, menggantung keahlian Geng 12 selama satu tahun adalah satu kelemahan PKR jika dibandingkan dengan tindakan khianat melampau yang dilakukan, rata-rata ahli yang selama ini setia kepada perjuangan PKR menuntut supaya hukuman lebih berat diambil.
Daripada maklumat yang boleh dipercayai, krew Sabahkini.net dimaklumkan Ahli Jawatankuasa Disiplin PKR telahpun mencadangkan supaya Geng 12 dipecat dari Parti dan keputusan ini disokong oleh majoriti ahli PKR di Sabah.
Dikhabarkan juga kepada krew Sabahkini.net, bahawa Ahli Biro Politik PKR turut membuat keputusan serupa supaya kumpulan Geng 12 ini dipecat. Malangnya terdapat segelintir pemimpin PKR Pusat mahu memelihara dan mengekalkan pengkhianat PKR ini dengan memberi mereka ruang untuk aktif semula selepas pemilihan pada bulan September 2010 akan datang.
Penggantungan yang dimulakan pada tarikh dikebelakangkan menimbulkan rasa curiga beberapa ahli PKR di Negeri Sabah dengan soalan apa agenda di sebalik mengekalkan dan melindungi Geng 12? Sebilangan berpendapat PKR juga amalkan politik ‘pecah dan perintah’ di barisan kepimpinan PKR Sabah.
Apa pun tujuannya kelak, ramai penyokong setia PKR Sabah berpendapat pemimpin PKR Sabah hanya akan menghabiskan masa bercakaran sesama sendiri sementara UMNO-BN meraih nikmat sepenuhnya. Sabah akan kekal menjadi ‘Fixed Deposit ‘ BN.
Bye-bye harapan PKR ke Putrajaya dan kepada Anwar Ibrahim, “Teruslah bermimpi.”
No comments:
Post a Comment