Oleh : HAJI GHULABDIN ENJIH
SESUNGGUHNYA tindakan nekad Mantan Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Sabah, Datuk Peter Pang En Yin keluar daripada parti itu dan menawarkan untuk melepaskan jawatan Timbalan Ketua Menteri Sabah bagi kuota Masyarakat Cina yang disandangnya sejak 13 Mei 2009; serta portfolio Menteri Belia dan Sukan Negeri, merupakan satu tindakan membela maruah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman yang tercalar akibat secara jelas dan nyata telah kehilangan sokongan daripada LDP yang disuarakan oleh Timbalannya, Datuk Chin Su Phin.
Dengan tindakan berani Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting itu, yang merelakan dirinya tersisih dari berpatah arang dengan rakan-rakan dalam pimpinan LDP, atas harapan akan dapat memberikan kekuatan semula kepada Musa, selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) di Sabah untuk mengemudi memimpin gabungan parti memerintah di Sabah sehingga menjelang tempoh pilihanraya Umum yang ke 13 nanti.
Sebenarnya perlakuan Peter Pang itu amat memeritkan dirinya, namun sekurang-kurangnya ia mengekalkan kewarasanya yang percaya dan yakin bahawa BN atas pimpinan Musa telah memberikan banyak perkhidmatan terbaik serta pembelaan kepada rakyat pelbagai kaum Sabah.
Peter Pang menyatakan, keputusan meninggalkan LDP bukanlah mudah kerana akan memberikan kesan terhadap kedudukan dan percaturan politik beliau di negeri yang nampak tenang di permukaan tapi berkocak di dalaman. Namun dia menyatakan ikrar setianya bersama BN Sabah dan akan terus memberikan khidmatnya kepada rakyat khususnya para pengundi dan rakyat di Kawasan Karamunting yang wakilinya.
Yang menariknya dalam episod terbaru politik di Sabah, akibat keputusan drastik Peter Pang itu yang dengan secepatnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat ulasan dengan menyatakan bahawa mantan pemimpin LDP ini akan menyertai Parti Gerakan.
Apakah ini merupakan satu langkah secara tidak langsung ke arah menghakis kedudukan LDP dalam gabungan BN di Negeri Di Bawah Bayu ini? Apakah akan berlaku rombakan kabinet Kerajaan Negeri Sabah untuk membolehkan Peter Pang mendapat kedudukan lebih baik dalam kementerian kanan dan bukan terus menjadi Menteri Belia dan Sukan yang diumumkan oleh Musa apabila mengekalkannya dalam jawatannya seperti sediakala meskipun tidak menjadi ahli mana-mana parti setakat ini.
Kemungkinan jika rombakan kabinet berlaku di Sabah, apakah Peter Pang yang sekurang-kurangnya ingin menarik sokongan dan keyakinan masyarakat Cina yang longar terhadap BN di negeri ini, akan diberikan peluang di Kementerian yang lebih kanan?
Jika Pemimpin berasal dari Sandakan ini diberikan jawatan ke kementerian lebih kanan yang boleh merubah kedudukan penjawat dalam kabinet sekarang ini khususnya dari UMNO?.
Persoalannya Menteri manakah yang akan terjejas kedudukannya akibat rombakan ini?.Seperti yang disedari pada ketika ini Menteri Kanan Kabinet Sabah adalah terdiri daripada Timbalan Ketua menteri, Datuk Yahya Husin (UMNO) selaku Menteri pembangunan Pertanian dan Perikanan Sabah; Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan (PBS) merupakan juga Menteri pembangunan Infrastruktur dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang disandang oleh Datuk Hajiji Haji Noor (UMNO). Sanggupkah menteri-menteri kanan yang dinyatakan itu melepaskan kedudukan mereka untuk memberikan laluan kepada Peter Pang?.
Seandainya pemimpin-pemimpin kanan yang berada di kementerian kanan sekarang tidak sanggup memberikan laluan kepada Peter Pang ke kementerian penting itu, apakah penghargaan yang dapat diberikan oleh Musa kepada Peter Pang yang telah sanggup mengorbankan keahliannya dari LDP demi mempertahankan digniti dan kredibiliti Musa dari kacamata rakyat negeri Sabah?
Apakah masyarakat Cina ingin melihat pemimpin berani ini berada di Kementerian Belia dan Sukan sekarang ini yang hanya bertanggungjawab dan berperanan boleh memberikan biji bola dan kursus belia yang tidak memberi apa-apa kebanggaan kepada Masyarakat Cina?
Sememangnya pergolakan politik yang melibatkan pemimpin masyarakat Cina di Sabah sungguh menarik diperhatikan, apa tidaknya setelah Parti Maju Sabah (SAPP) yang diketuai oleh pemimpin Cina, Datuk Yong Teck Lee, Mantan Ketua Menteri Sabah meninggalkan BN beberapa tahun lalu.
Kini disusuli oleh LDP bersuara lantang mengkritik dan mempersoalkan kepimpinan Musa yang dikatakan tidak mahu mendengar keinginan parti itu untuk membawa beberapa kes dalam mesyuarat BN negeri baru-baru ini.
Soalnya beranikah Musa memohon kebenaran kepada Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN Pusat untuk membuat rombakan Kabinet Sabah demi menghargai tindakan membela maruah yang telah dilakukan oleh Peter Pang terhadapnya?
Meskipun demikian, apakah kedudukan BN pada keseluruhannya di Malaysia yang kurang stabil akan diizinkan oleh Najib melakukan rombakan kabinet di Sabah dalam masa terdekat ini?
No comments:
Post a Comment