Friday 3 September 2010

EDMUND SOKONG PANG KELUAR LDP



BAIKPULIH…..Kelihatan Chong menyertai gotong royong membaik pulih jambatan bersama-sama penduduk Kg Tronglit.

Oleh: SHAIMON S JUMADI

AHLI Parlimen Batu Sapi, Datuk Edmund Chong Ket Wah menyokong penuh tindakan Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Peter Pang En Ying yang keluar daripada LDP ketika BN Sabah mengalami saat genting akibat tindakan songsang prinsip parti berkenaan yang ‘Anti-Musa Aman’ tetapi Pro-Najib.

“Pang melakukan satu tindakan yang bijak kerana 40 peratus pemimpin LDP tidak mahu bekerjasama dengan Pengerusi Barisan Nasional Sabah, yang juga Ketua Menteri Sabah, kenapa Pang harus tunggu lagi; kerana LDP ibarat duri dalam daging parti komponen BN,” kata Edmund ketika ditemui selepas selesai acara gotong royong di Kg Tronglit, Sandakan.

Namun Edmund enggan mengulas lanjut kerana bimbang disalah tafsir oleh rakan di dalam BN dan menyerahkan isu ini kepada kebijaksanaan Perdana Menteri.

Dalam pada iti, Edmund menegaskan kerajaan BN sentiasa mengambil berat masalah yang dihadapi oleh setiap penduduk kampung bagi mendapatkan pelbagai kemudahan asas kerana walaupun tidak secara mendadak, tetapi tetap dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

“Oleh itu. rakyat di kawasan Batu Sapi haruslah memberikan sokongan padu yang tidak berbelah bagi terhadap dasar kerajaan BN yang memerintah pada masa ini,” kata Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Edmund Chong Ket Wah di hadapan seramai 70 orang penduduk kampung Tronglit ketika beliau memberi taklimat kepada penduduk berkenaan sebelum memulakan projek gotong-royong membaik pulih beberapa batang jambatan dan projek membina tangga simen.

“Sebagai Ahli Parlimen di kawasan ini, yang dipilih oleh rakyat melalui proses pilihanraya umum, saya akan terus berkhidmat kepada semua rakyat di seluruh kawasan Batu Sapi dalam usaha menaiktaraf pelbagai kemudahan asas,” ujarnya.

Sejajar dengan Gagasan 1Malaysia, kata Chong, beliau akan terus membangunkan parlimen tersebut dengan pelbagai pembangunan infrastruktur di setiap kawasan yang diwakilinya.

“Kita tidak mahu macam parti pembangkang seperti PKR dan SAPP. Masuk kampung keluar kampung, cakap banyak sampai beliur-liur. Cakap pasal kemajuan, tetapi habukpun tak ada. Cakap bukan main lagi besar, tapi kosong,” katanya.

Oleh itu kata Chong lagi, beliau merayu kepada penduduk-penduduk kampung Upak dan kampung-kampung yang ada di kawasan Batu Sapi agar berwaspada terhadap taktik kotor pihak pembangkang yang cukup bijak memutarbelitkan pelbagai propaganda kepada rakyat.

No comments:

Post a Comment