Sunday, 5 September 2010

DUA KIRT KOTA BELUD AKAN DIBANTU


TINJAU….. Abdul Rahman (tiga dari kiri) meninjau keadaan rumah Soto dalam sesi lawatan Ahli Parlimen ke Kampung Kuala Abai, Kota Belud.

Disediakan Oleh : ISMAIL MOHD ROSLI

AHLI Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Datuk Dahlan telah mengadakan lawatan mengejut ke rumah dua keluarga miskin Soto Gundah, 49 dan Marika Unsin, 43 yang terpaksa hidup dalam kedaifan di Kampung Kuala Abai, Kota Belud, baru-baru ini.

Dalam sesi lawatan itu, Abdul Rahman turut menyampaikan bantuan berupa wang ringgit dan keperluan dapur kepada penduduk yang tinggal di kampung itu termasuklah kedua-dua keluarga daif berkenaan.

Penderitaan kedua-dua keluarga itu bakal berakhir apabila Ahli Parlimen kawasan berkenaan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berjanji untuk membantu mereka.

Bukan sahaja kediaman mereka, tetapi Abdul Rahman akan berusaha memastikan kedua-dua ibu berkenaan diberikan bantuan modal untuk menjalankan perniagaan kecil-kecilan.

Abdul Rahman berkata, bantuan berbentuk pembangunan ekonomi itu penting bagi mengelak mereka terus hidup dalam kemiskinan.

“Saya akan menugaskan seorang pegawai untuk berkerjasama dengan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) mengurus segala bantuan kepada keluarga berkenaan,'' katanya kepada Sabahkini.net selepas melawat kedua-dua keluarga berkenaan semalam.

Penderitaan Soto yang terpaksa hidup bersama sembilan anaknya di dalam pondok usang dan Marika yang dihimpit kemiskinan disiarkan Utusan Malaysia minggu lalu.

Soto, ibu tunggal yang kematian suami hanya bergantung kepada tanaman sayur dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk meneruskan hidup bersama anak-anaknya.



BANTUAN……Abdul Rahman (tiga dari kiri) berbual dengan Marika (lima dari kiri) di luar rumah kediaman Marika dalam sesi lawatan Ahli Parlimen ke Kampung Kuala Abai, Kota Belud.

Sementara Marika dan keluarganya pula terpaksa hidup dalam keadaan serba daif selepas rumah asal mereka di tebing sungai Kampung Kuala Abai, Kota Belud musnah akibat air pasang besar empat tahun lalu.

Lebih menyedihkan, Marika mendakwa dia tidak pernah mendapat bantuan kebajikan walaupun hidup dalam serba kekurangan.

Abdul Rahman yang juga Setiausaha Barisan Nasional Sabah berkata, beliau akan memastikan Soto mendapat bantuan rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

“Bagi Marika pula kita akan membantu membaiki rumah dan mendaftar keluarga tersebut di bawah JKM bagi membolehkan mereka menerima bantuan kebajikan,'' ujarnya.

Sementara itu Soto yang terharu dengan kunjungan Abdul Rahman, berterima kasih kepada semua pihak yang sudi mengambil berat terhadap nasib keluarganya.

Dia berharap bantuan rumah tersebut akan dapat membantu anak-anaknya meningkatkan pelajaran masing-masing.

Dalam pada itu, Abdul Rahman menggesa JKKK supaya proaktif mengesan dan membawa masalah keluarga miskin ke pihak kerajaan bagi membolehkan bantuan disalurkan.

“Kita tidak boleh menunggu dan melihat sahaja kerana bantuan sememangnya ada,”' ujarnya.

No comments:

Post a Comment