Monday, 6 September 2010

GIANT DAN NESTLE RAI ANAK YATIM



TERIMA KASIH…..Razali sedang menerima cenderahati berupa hamper daripada M Dawat

Oleh : SHAIMON S JUMADI

MAJLIS Berbuka Puasa Sempena Bulan Ramadan Almubarak anjuran gabungan bersama antara Pasaraya Giant, Nestle dan Sandakan FM di Sandakan kelmarin mendapat sambutan luar biasa.

Majlis yang diadakan di perkarangan Pusat Membeli belah Giants telah dihadiri lebih 150 anak-anak yatim dari Libaran, Karamunting, Kinabatangan dan Sekolah Menengah Kerajaan Bestari (MSK) Sandakan; turut hadir sama ialah Ketua Pegawai Khas Parlimen Kinabatangan, Basri Hj Osman Awang Besar dan para jemputan lainnya seramai 50 orang.

Program tersebut dirasmikan oleh Pengurus Penyiaran Sandakan FM, Razali Hj Baba yang dalam ucapannya antara lain merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pihak Giant dan Nestle kerana sudi dan prihatin terhadap kebajikan anak-anak yang bakal menyambut hari lebaran beberapa hari sahaja lagi.

Katanya sumbangan sebegini terhadap anak-anak yatim penuh bermakna bagi mereka yang tidak mempunyai keluarga mahupun ibu bapa kerana sedikit sebanyak, apabila mereka mendapat sumbangan sedemikian, ia dapat menggembira dan menceriakan mereka di suasana menjelangnya hari raya nanti.

“Saya harap peranan yang dimainkan oleh Giant dan Nestle bagi memberikan sumbangan tersebut kepada golongan anak-anak yatim akan menjadi contoh kepada badan-badan NGO lainnya agar dapat mengikut jejak langkah mereka,” ujar Razali.

Terdahulu, dalam ucapan alu-aluannya, Pengurus Besar Giant, Michael Dawat antara lain berkata ini memang sudah menjadi satu tanggungjawab kepada para peniaga selain mementingkan keuntungan dalam urus niaga, tetapi daripada amal jariah dan kebajikan tidak pernah dilupakan.

Selain bertujuan untuk berbuka puasa bersama insan yang sama-sama memerlukan antara satu sama lain kata Dawat, majlis ini juga dapat mengeratkan siratulrahim dengan pelanggan setia Giant.

“Kami memang mengambil berat terhadap nasib anak-anak yatim yang kehilangan orang tua. Sejak kecil lagi mereka diasuh dan dibesarkan di rumah anak-anak yatim tanpa mengenal siapa kedua ibubapa mereka yang sebenarnya,” tegas Dawat.

Dalam kesempatan ini, sempena hari baik dan bulan baik yang penuh berkat ini kata Dawat “maka kita turut membantu kepada golongan ini agar mereka rasa gembira seperti anak-anak lain yang mempunyai kedua ibubapa bila menyambut hari lebaran nanti.”

No comments:

Post a Comment