TINDAKAN Datuk Peter Pang untuk keluar dari Parti Liberal Demokratik (LDP) dan menawar diri untuk meletakan jawatan timbalan ketua menteri dan menteri kabinet adalah simptom masalah yang wujud di dalam Barisan Nasional (BN) pada hari ini.
Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee berkata tindakan Pang itu adalah punca asas kepada masalah politik yang melanda BN pada hari ini.
“Kita hanya melihat simptom-simptom pada hari ini, tapi ia telah pun menjadi begitu terang di mata umum dan akan terus menambah runcing lagi perbalahan dalaman BN,” kata beliau.
“Maka pada hari ini begitulah bertepatan sekali. Maka itulah sebabnya kita ada ‘Pilihanku SAPP’,” katanya pada pemberita selepas melancarkan buku Pilihanku SAPP hasil pena Emin Madi di Krishna Fish Head Curry Restaurant di Millenium sini, pada rabu.
“Daripada tengahari tadi sehingga sekarang, lebih kurang dalam masa enam jam begitu banyak perkara yang telah terbongkar. Pada hakikatnya kenyataan Perdana Menteri di Seremban bahawa Pang telah memberitahu beliau bahawa dia akan menyertai Gerakan menunjukkan bahawa tindakan beliau bukanlah dibuat secara mengejut dan ini termasuklah hal-hal lain dalam satu dua hari yang lalu,” katanya.
“Sememangnya proses perbincangan telah dibuat sebelum sampai ke hari ini, namun secara peribadi saya tidaklah terkejut dengan pengumuman itu kerana dalam satu masa ada (Timbalan Presiden LDP) Chin Su Phin bersama beberapa orang lagi telah mengumumkan bahawa mereka tidak akan berkerjasama dengan Ketua Menteri.
“Kemudian ada pula Presiden yang seolah-olah tanpa arah dan ada Peter Pang yang telah membuat keputusan untuk keluar dari LDP. Ini bermakna beliau (Pang) akan menyebelahi Ketua Menteri dan bukan parti beliau sendiri,” katanya.
“Memang terlalu banyak perkara yang sedang berlaku di dalam BN,” katanya, sambil menambah perletakan jawatan itu juga boleh dilihat dari sudut kenyataan Timbalan Pengerusi Umno Sabah, Datuk Salleh Tun Said yang telah menimbulkan isu satu rancangan oleh LDP dan pihak lain untuk menjatuhkan Ketua Menteri Sabah.
“Oleh kerana Sabah dianggap sebagai simpanan tetap BN di Malaysia maka bila mereka hilang simpanan tetap ini, mereka akan turut juga kehilangan dan kalah di peringkat persekutuan,” katanya lagi.
Yong berpendapat bahawa kekosongan jawatan dalam kabinet negeri itu akan mencetuskan perebutan hangat diantara komponen parti BN termasuklah dari parti semenanjung.
“Jikalau perletakan jawatan Pang tidak diterima maka ini menunjukkan bahawa semua ini cuma wayang,” katanya.
Ditanya sekiranya parti Cina dari Semenanjung dalam BN akan mengambil sepenuh kesempatan situasi ini untuk menguatkan lagi pengaruh mereka di Sabah, Yong berkata bahawa parti itu, MCA, telah menunggu sekian lama.
“Sudah begitu banyak pusingan pengerusi MCA Sabah, Datuk Edward Khoo menunggu. Semasa penggal kedua beliau sebagai ahli dewan undangan negeri beliau telah di war-warkan untuk menjawatan menteri penuh iaitu pada Mei 2009 selepas Raymond Tan (ketika itu menjawat Timbalan Ketua Menteri untuk kuota kaum Cina di Sabah) ketiadaan parti,” katanya.
“MCA juga di dalam konvensen mereka baru-baru ini juga telah menyatakan hasrat mereka untuk mendapatkan tambahan satu lagi kerusi dewan negeri. Maka sudah tentulah MCA akan melobi jawatan tersebut,” kata beliau.
No comments:
Post a Comment