Monday, 9 May 2011

KENAPA HARUS KORBANKAN RUMAH SAYA?



Oleh: MUTALIB M.D

PEMBINAAN jalan dua hala di Bandar Lahad Datu, (Pakej 1A, Bulatan Mahkamah-Bulatan Sri Perdana) oleh Kerajaan Persekutuan dengan kos RM37.53 juta amat dialu-alukan oleh seluruh penduduk Lahad Datu bagi mengatasi masalah kesesakan yang semakin meruncing; termasuk seorang anggota polis, Danial Haji Akmad.

“Tetapi kenapa harus mangsakan rumah saya? Kini kami tidak dapat tidur lena kerana bimbang runtuh pada bila-bila masa disebabkan kerosakan ketara pada dinding dan lantai ekoran pembinaan jalan berkenaan,” kata Danial ketika menghubungi Sabahkini.net daripada Lahad Datu, Sabah.

Menurut Danial, 40, beliau telah bersusah payah selama dua puluh tahun mengumpul wang dengan bantuan adik beradik agar dapat mengubahsuai rumah warisan keluarga sebagai tempat beliau dan adik beradiknya berteduh.

Namun Danial tidak menyangka akibat daripada kecuaian kontraktor yang membina jalan berkenaan Borneo Era Sdn.Bhd melaksanakan kerja sambil lewa sehingga gagal menjaga faundasi jalan ketika melakukan kerja-kerja mengorek dan memampatkan tanah menyebabkan rumahnya menjadi mangsa pembangunan.

“Saya sudah mengadu kepada mereka termasuk menulis surat kepada Jabatan Kerjaraya dan Biro Pengaduan Awam, namun belum ada sebarang tindakan diambil oleh pihak terbabit,” ujar Danial yang mentaksirkan kerugiannya lebih RM100,000 jika ingin memperbaiki kerosakan rumah tersebut.

Bagaimanapun Danial masih menunggu taksiran sebenar yang dijalankan oleh konsultan yang dilantik bagi memudahkan beliau memfailkan saman terhadap kontraktor berkenaan jika tuntutan pampasannya tidak dilayan kontraktor yang beribu pejabat di Wisma TP, Jalan Tuaran, Kota Kinabalu.

LOKASI....Hamdan menunjukkan gambar rumah dan lokasi rumah keluarga mereka.

Danial turut menggesa agar Jabatan Kerjaraya dan Juruperunding yang dilantik sentiasa memantau kerja-kerja yang dilaksanakan oleh kontraktor utama atau subkontraktor agar tidak menjahanamkan harta awam dan persendirian.

Dalam pada itu, adik Danial, Hamdan turut kesal dengan sikap Jabatan Kerjaraya dan kontraktor berkenaan yang langsung tidak mahu berunding dengan mereka berhubung kerosakan menyebabkan pihaknya bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Kerajaan.

"Mereka tidak boleh lepas tangan kerana sebelum ini rumah keluarga kami tidak pernah bermasalah, tetapi sebaik sahaja kontraktor mula membina jalan, semakin hari semakin retak dan kami rasa tidak selamat," ujar Hamdan yang kesal dengan konsep Jabatan Kerjaraya yang tidak mendahulukan rakyat.

Rumah keluarga Danial tersebut terletak MDLD 2865, Lot C175, Taman Pertama Satu, KM 3, Jalan Silam, Lahad Datu mengalami kerosakan dan keretakan serius, mungkin kerana terletak terlalu dekat dengan jalan berkenaan dan kontraktor gagal melakukan kerja-kerja pengukuhan faundasi tanah ketika mereka melaksanakan pembinaan.

Pengarah Urusan Borneo Era Sdn.Bhd, Datuk Aripen Bin Datuk Hj. Ampong tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasan berhubung kejadian berkenaan.

No comments:

Post a Comment