Saudara Pengarang,
SEBAGAI seorang penduduk jati Sandakan, saya ingin meminta jasa baik Wakil-Wakil Rakyat dari Sandakan seperti Ketua Menteri Sabah (Adun Sungai Sibuga), Datuk Musa Aman; Datuk VK Liew (MP Sandakan); Datuk Peter Pang (Adun Karamunting); Datuk Raymond Tan (Adun Tanjung Papat), Au Kam Wah (ADUN Elopura); Datuk Juslie Ajirol (MP Libaran); Datin Linda Tsen (MP Batu Sapi) dan juga Presiden MPS iaitu Datuk James Wong supaya dapat menjawab beberapa persoalan yang sudah lama terpendam di dalam hati saya ini:
1) Lapangan Terbang Sandakan;
Apakah status projek menaiktaraf Lapangan Terbang Sandakan kepada sebuah Lapangan Terbang Bertaraf Antarabangsa seperti yang pernah dijanjikan oleh Datuk Musa Aman semasa pilihanraya umum yang lalu dan projek ini juga disentuh kembali semasa kempen pilihanraya kecil Batu Sapi yang lalu? Walaupun sudah beberapa tahun pilihanraya umum berlalu, tetapi tiada satu inci pun lapangan terbang Sandakan diperbesarkan!
2) Sandakan Integrated Trade Exchange Terminal(SITExT)
Apakah sudah jadi dengan projek Sandakan Integrated Trade Exchange Terminal (SITExT) yang diusahakan oleh Windsor Trade Sdn Bhd di kawasan seluas 33.55 ekar di Batu Sapi? Projek yang dilaporkan bernilai RM315 juta ini sudah beberapa tahun terbengkalai. Papan tanda projek masih kelihatan di kawasan projek pembinaan. Projek yang dilaporkan (seperti yang terkandung dalam laman web Windsor Trade Sdn Bhd) mempunyai hotel, pusat kastam dan sebagainya; tetapi masih belum dibangunkan walaupun kawasan projek sudah dilitupi oleh semak samun.
3) Kolej TAR
Adakah TAR College akan membuka cawangannya di kawasan Education Hub di Sungai Batang, Batu 10 seperti yang pernah digembar gemburkan sebelum ini?
4) Terminal Bas Sandakan
Mendiang Datuk Edmund Chong, selaku bekas Pengerusi LPKP Sabah yang lalu pernah mengatakan bahawa sebuah terminal bas baru yang lebih selesa dan teratur akan dibina di kawasan terminal bas di Batu 2 sekarang? Keadaaan terminal bas sekarang adalah amat memalukan kerana jalan yang berlubang-lubang yang akan ditakungi oleh air kalau hujan dan jalan akan berhabuk pula kalau semasa musim kemarau! Keadaan terminal bas sekarang adalah amat tenat dan memberi 'culture shock' kepada pelancong asing yang menggunakan terminal bas ini!
5) Jejantas Bandar Kim Fung
Manakala Au Kam Wah pula pernah menjanjikan sebuah jejantas akan dibina merentangi bandar Kim Fung ke seberang jalan? Projek ini dilaporkan usahasama oleh sebuah syarikat swasta tetapi sampai sekarang projek ini masih belum kelihatan.
6) Libaran By Pass
Cadangan pembinaan Libaran ByPass masih belum menjadi kenyataan dan rakyat masih menunggu dengan penuh debar disebabkan kepentingan projek ini.
Oleh itu, saya benar-benar berharap agar wakil rakyat dari Sandakan dapat menjawab persoalan saya ini kerana selaku pengundi yang memilih anda menjadi seorang YB berhak mengetahui perkembangan pembangunan di Sandakan ini.
Sekiranya anda keberatan memberi jawapan di laman Sabahkini.net ini, saya berharap anda semua memberi jawapan di suratkhabar tempatan. Sekiranya anda enggan memberi respon terhadap persoalan saya ini, saya terpaksa berharap wakil rakyat pembangkang seperti Jimmy Wong ataupun Dr Hiew dapat menolong saya mendapat jawapan di persidangan DUN ataupun di parlimen.
Saya betul-betul berharap mendapat jawapan dan penjelasan yang jelas sebelum saya membuat pemilihan wakil rakyat di dalam pilihanraya umum yang akan datang.
Terima kasih.
STEVE.
No comments:
Post a Comment