PENJELASAN...Jamawi (tengah) ketika diberikan penjelasan oleh anggota keluarga mendiang bagaimana kejadian tersebut semasa beliau melawat mangsa yang dibedah siasat di Hospital Daerah Tenom.
Oleh: JAAFAR ABDUL WAHID
PERGERAKAN Pemuda UMNO Tenom akan menghantar nota bantahan dan menggesa Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) meningkatkan langkah keselamatan bagi menjaga harta benda dan jiwa para penggunanya yang semakin terancam akibat kecuaian pengendali tunggal keretapi di Sabah.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar berkata, pihaknya sudah beberapa kali menegur JKNS untuk menaiktaraf gerabak, landasan dan mengadakan lebih banyak pagar keselamatan, namun JKNS masih gagal mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia.
“Tahap keselamatan pengguna dan orang awam begitu membimbangkan disebabkan mutu kawalan keselamatan berada pada tahap paling minima sehingga kecuaian mereka meragut jiwa seorang anggota kami,” kata jamawi dengan nada kesal dan berjanji akan menghantar nota bantahan kepada JKNS dalam kadar segera.
Jamawi berharap Jabatan Keretapi Negeri Sabah dapat melakukan siasatan rapi bagi mempastikan bagaimana kejadian tersebut boleh berlaku dan membantu keluarga mangsa, terutama menyelesaikan tuntutan insuran yang wajib dibayar kepada pihak ketiga (waris mangsa).
Dalam kejadian malam jumaat lalu, kata Jamawi, seorang anggota Pergerakan Pemuda Umno cawangan Pangie, Tenom, Andamas Ahumba mati digilis kereta api dalam satu kejadian di kampung Pangie.
Difahamkan kereta api tersebut dalam perjalanan dari Tenom ke Beaufort dan mangsa mati di tempat kejadian.
Sebaik sahaja dimaklumkan tentang kejadian tersebut, Jamawi terus bergegas ke Hospital Daerah Tenom untuk melawat jenazah mangsa yang di bawa ke Hospital Daerah Tenom untuk proses besah siasat.
“Mendiang merupakan salah seorang anggota Pergerakan Pemuda Umno cawangan yang aktif, komited dan sering memberikan kerjasama serta sokongan terhadap aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh Pemuda baik di peringkat cawangan mahupun di peringkat bahagian. Kehilangan beliau amat dirasai,” kata Jamawi sambil menahan sebak kerana mengimbau kenangan pahit manis bersama mendiang.
Kata Jamawi lagi, sesungguhnya Pergerakan Pemuda Umno Tenom merasakan satu kehilangan besar atas kepergian mendiang dan berharap anggota keluarga mendiang bersabar dan tabah menerima dugaan tersebut
No comments:
Post a Comment