Oleh: FAIZAL OKADAU
BENARLAH Sabda Rasulullah bahawa ‘Kepapaan’ itu hampir-hampir membawa kepada kekufuran, bila golongan miskin sering dijadikan alat untuk mempertahankan kuasa dengan cara mengula-gulakan dan memperbodohkan mereka.
"Malaysia ini seolah-olah UMNO itu pembangunan dan pembangunan itulah UMNO. Tanpa UMNO rakyat tidak akan menikmati semua pembangunan yang ada ini. Singapura pun maju kerana adanya UMNO," sindir Hj Mohamad Sabu, AJK PAS pusat ketika berceramah di Hotel Sandakan.
Menurut beliau, UMNO masih tergamak bertanya kepada pengundi isu lapok yang dicanang sejak tahun 70-an, mana sekolah yang dibina oleh PAS, mana jalanraya yang dibuat oleh DAP dan mana hospital yang disediakan PKR dan penceramah UMNO dengan bangga mengatakan semuanya itu dibuat dan disediakan oleh UMNO dan BN.
Isu yang nampak bodoh ini ditelan oleh masyarakat miskin dan pedalaman kerana bimbang masa depan mereka; sedangkan pada hakikatnya, pembangunan mesti dilakukan oleh parti yang memerintah kerana cukai rakyat dibayar kepada Kerajaan.
Bukan UMNO yang membuat pembangunan tetapi kerajaan. Bahkan jika kerajaan Pakatan Rakyat memerintah, PR akan tetap membuat pembangunan kerana itu tanggungjawab kerajaan yang memerintah yang mengurus dana awam.
"Bukan pembangunan yang PR persoalkan tetapi ketirisan yang besar dalam mengurus wang rakyat melalui projek-projek pembangunan yang dilakukan oleh kuncu-kuncu UMNO BN," jelas Mohamed Sabu lagi.
"BN akan terus berkubu di kawasan orang Melayu miskin dengan mengumpan tangki biru, zink-zink dan pelbagai habuan yang menambahparah kemiskinan dan hakikatnya menghina maruah masyarakat Melayu. UMNO BN sudah tidak laku lagi di kawasan bandar dan tempat golongan terpelajar," tambah Mohamad Sabu yang akan merasmikan mesyuarat Agung PAS Batu Sapi.
Mohamed Sabu menjangkakan UMNO BN akan memperhebatkan isu perkauman, hatta isu keagamaan untuk menarik undi Melayu dalam pilihanraya yang akan datang.
Turut berceramah bersama beliau Timbalan pesuruhjaya PAS Sabah, Hj Hamzah Abdullah; Ketua bahagian DAP Sandakan Geoger Hiew dan Pemangku Timbalan ketua Cabang Batu Sapi, Zainuddin Hassan.
No comments:
Post a Comment