Tuesday 17 May 2011

MUSA INGATKAN BAHAYA MUSUH DALAM SELIMUT



Oleh: JARINA JAAFAR

KETUA Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman mengingatkan bahawa UMNO Sabah harus berwaspada kerana ada musuh dalam selimut yang akan menyebabkan mereka berhadapan tugas berat menghadapi ‘Perang Saudara’ sehingga akan menyebabkan UMNO dalam bahaya.

Musa membuat ingatan demikian ketika merasmikan Persidangan UMNO Bahagian Sepanggar di Dewan Resital, Universiti Malaysia Sabah, baru-baru ini.

Dalam ucaputamanya, Musa berpesan agar ahli UMNO tidak memperbesarkan perkara kecil seperti wujudnya puak-puak tertentu kerana ia boleh diselesaikan melalui permuafakatan dan percambahan fikiran dan bukan menjadi masalah utama kepada UMNO Sabah.

“Yang bermasalah bukan musuh kita. Yang bermasalah adalah dalam parti kita. Kalau musuh di luar kita tahu. PAS musuh kita. DAP musuh kita. PKR musuh kita. Tapi yang amat bahaya ialah musuh dalam selimut, api dalam sekam, duri dalam daging. Lempar batu sembunyikan tangan, ini bahaya,” pesan Musa agar ahli UMNO tidak lalai atau alpa sehingga terbawa-bawa dalam kancah sengketa, kerana ramai di luar sana berasa iri hati dengan kejayaan dan kekuatan UMNO Sabah.

Tegas Musa, UMNO Sabah masih menjadi ‘The Last Frontier’ atau Benteng Terakhir BN kerana memenangi kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri dan 13 Kerusi Parlimen yang ditandingi UMNO pada pilihanraya umum 2008, berkat kejituan perpaduan ahli UMNO yang bimbang pisang akan berbuah dua kali.

Sehubungan itu kata Musa, belum pernah ada dalam sejarah pemerintahan BN di Sabah, kerajaan memberi peruntukan RM1juta bagi setiap ADUN kerana sebelum ini setiap ADUN hanya mendapat peruntukan sebanyak RM200,000 sehingga RM250,000 sahaja sehingga menyebabkan parti lain irihati dan berusaha untuk menumpaskan UMNO Sabah dengan apa juga cara, termasuk meracun dari dalam.

“Pimpinan negara, iaitu Perdana Menteri kita, ketika melancarkan ‘1Malaysia’, beliau mengatakan Sabah merupakan ‘Role Model’ untuk 1 Malaysia. Bila menyebut tentang ‘Fixed-Deposit’, maka Sabahlah sebuah negeri yang menjadi ‘Fixed-Deposit’ dalam BN,” kata Musa yang mengakui terlalu banyak puji-pujian yang diberikan oleh ramai pemimpin kepada Sabah, tetapi beliau sentiasa berhati-hati kerana puji-pujian ini boleh memakan diri.

No comments:

Post a Comment