Oleh: MUTALIB M.D
KETUA Umno Bahagian Labuan yang dilucutkan jawatan mengikut Fasal 10.10 yang dibaca bersama Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO, Datuk Suhaili Abdul Rahman terkejut dengan dakwaan 14 Ketua Cawangan UMNO Labuan yang memberi kata dua kepada Presiden UMNO dan mengesahkan kenyataan mereka tidak ada kena mengena dengan dirinya.
“Saya baru balik dari luar negara dan sungguh terkejut apabila diberitahu bahawa Arif Buang yang mendakwa mewakili 14 cawangan UMNO Labuan telah membuat persidangan video di Kuala Lumpur baru-baru ini sehingga saya menerima beratus miscall dan mesej daripada pucuk pimpinan UMNO untuk mendapatkan komen saya,” kata Suhaili yang masih tercengang ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu petang tadi.
Tegas Suhaili, beliau tidak dapat memberikan apa-apa komen buat masa ini kerana belum berjumpa dengan 14 cawangan berkenaan dan apa motif mereka membuat kenyataan terbuka tersebut dan belum menonton sempat Youtube yang dimaksudkan.
Lagipun kata Suhaili, beliau tidak ada kena mengena dengan ‘Geng 14’ yang mendakwa mereka adalah penyokong kuatnya; kerana beliau yakin hampir kesemua 29 cawangan UMNO Labuan adalah penyokong kuat beliau, namun tidak menyangka Arif dan 13 rakannya begitu nekad menyuarakan pandangan terbuka dan memberi kata dua kepada Presiden Parti.
“Sebagai ahli UMNO, saya akur dengan apa juga hukuman yang dikenakan ke atas saya mengikut Perlembagaan Parti. Saya akan terus berkhidmat kepada parti selagi khidmat saya diperlukan dan akan meninggalkan parti jika parti tidak memerlukan saya lagi. Buat masa ini belum terdetik di hati saya untuk meninggalkan UMNO,” ujar Suhaili yang menafikan mempunyai sebarang hubungan atau agenda dengan Geng 14.
Tegas Suhaili, beliau menghormati pandangan dan luahan hati Geng 14, tetapi sebagai sebuah parti yang mempunyai Perlembagaan dan Maruah, isu ini harus diselesaikan secara muafakat dan dengan restu Majlis Tertinggi UMNO.
“Mereka masih menggantung atau menggugurkan saya (apa sahajalah istilah) kerana pendakwaraya sudah memfailkan rayuan setelah mahkamah membebaskan saya. Jadi kita tunggulah apa keputusan mahkamah kelak,” ujar Suhaili yang belum terfikir untuk berkerat rotan dan berpatah arang dengan UMNO.
Walaupun Geng 14 memberikan kata dua kepada Presiden UMNO; sama ada menarik penggantungan Suhaili atau mereka berpaling tadah dan keluar daripada UMNO pada pilihanraya umum akan datang; Suhaili berkata itu adalah hak mereka sebagaimana kebebasan bersuara yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.
Bagi Suhaili, sekalipun dilamar beberapa parti politik sejak digugurkan daripada jawatannya pada 2008, namun beliau tetap bersama UMNO sekalipun ‘dicincang lumat’ oleh pemimpin tertentu dan tangan rahsia di dalam UMNO yang selama ini berniat untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri dan para penyokongnya.
“UMNO telah mendewasakan saya dalam sepak terajang politik dan jiwa saya lebih damai dalam UMNO dan belum tersirat di hati saya untuk menderhakai UMNO sekalipun saya mempunyai sebab untuk berbuat demikian,” kata Suhaili yang menyatakan bahawa surat kebenaran Pendaftar Pertubuhan adalah bukti kukuh beliau boleh kembali memegang jawatan di dalam UMNO, tetapi dinafikan Majlis Tertinggi.
Bagaimanapun, Suhaili mengalu-alukan siasatan Majlis Tertinggi UMNO terhadap punca tindakan drastik Geng 14 kerana senario politik Labuan semakin bahaya bagi UMNO jika isu ini tidak diselesaikan dengan baik; terutama kekuatan UMNO semakin rapuh akibat pembelotan dalaman yang menebalkan kebencian mereka kerana agihan kek ekonomi tidak seimbang.
Bekas Ahli Parlimen Labuan ini turut menggesa agar semua ahli Labuan bertenang dan menyerahkan kepada pucuk pimpinan UMNO untuk mengatasi isu ketidak puasan hati Geng 14 dan banyak cawangan lain yang diberitakan turut menuntut agar beliau kembali menerajui UMNO Labuan.
Dalam pada itu, Suhaili berkata, memandangkan jawatan beliau sebagai Ketua Bahagian telah digugurkan, maka beliau teragak-agak untuk mencampuri urusan UMNO kerana belum mengetahui statusnya buat masa ini.
“Saya akan menemui Presiden UMNO setelah mendapat keputusan mahkamah sama ada menerima atau menolak rayuan pendakwaraya. Oleh itu, buat masa ini saya tidak ingin mencampuri urusan dalam UMNO,” ujar Suhaili yang mengelak ketika ditanya tangan rahsia yang cuba menjatuhkan Presiden UMNO.
No comments:
Post a Comment