JOHAN....Syabas! Wati sedang menerima piala Johan yang disampaikan oleh Ewon
Oleh : SHAIMON S JUMADI
LAGU ‘Sopirosi’ yang didendangkan oleh Wati @Maryati Antony dari Beluran telah membawa tuah dan dinobatkan sebagai johan dalam pertandingan nyanyian Sugandoi sempena majlis sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Sandakan 2011, anjuran Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) yang dilansungkan di Dewan Masyarakat Sandakan baru-baru ini.
Naib Johan dan tempat ketiga masing-masing disandang oleh Cherill Itchell Henry dari Keningau dan Dicollyn Bobby Dumianus dari Paitan Sugut. Johan, Naib Johan dan tempat ketiga mereka masing-masing menerima sebuah piala dan sijil penghargaan.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Ebin telah menyempurnakan majlis tersebut dan dalam ucapannya antara lain menjelaskan melalui pesta sebegini seperti perayaan Hari Raya Adilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas yang disambut di negara ini; menjurus kepada jalinan mesra dan semangat setia kawan antara satu sama lain.
“Kita di negara ini, amat beruntung walaupun terdapat penduduknya berbilang kaum berlainan budaya dan anutan kepercayaan agama tetapi kita hidup dalam suasana yang aman,” jelasnya.
Katanya lagi, melalui konsep kongsi kuasa dalam menerajui pentadbiran pemerintahan negara dan negeri yang didukung oleh kaum Melayu, Cina, India termasuk Kadazan, ia jelas telah membawa pelbagai kemajuan dicapai dalam era pembangunan yang pesat.
Turut hadir pada majlis tersebut Presiden MPS, Datuk James Wong, Timbalan Presiden MPS Hj Mohd Hamsan Hj Ag Hj Supain dan pegawai-pegawai kanan kerajaan persekutuan dan negeri.
No comments:
Post a Comment