Friday 2 September 2011

10,000 SERBU RUMAH TERBUKA LAJIM



BANTU…Kelihatan isteri Lajim Datin Seri Normilah diperhatikan Timbalan Ketua Umno bahagian Beaufort membetulkan butang baju Melayunya semasa menunggu ketibaan orang ramai ke majlis rumah terbuka tersebut.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

RUMAH Terbuka Aidilfitri, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin bersama Umno Bahagian Beaufort yang diadakan di kediaman beliau, di Kampung Kaundo, Kebatu semalam disambut meriah dengan kehadiran mencecah 10,000 masyarakat pelbagai kaum.

Sambutan yang bermula pada pukul 10 pagi dan berakhir jam 3.00 petang itu turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Musa Haji Aman; Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Haji Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri Lumadan Kamarlin Haji Ombi.

Menurut Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort, kehadiran masyarakat pelbagai kaum membuktikan keutuhan serta semangat muhibbah dan perpaduan yang telah lama wujud antara masyarakat pelbagai kaum di negeri itu.

Tambah Lajim, amalan rumah terbuka sesuatu perayaan landasan terbaik untuk kelangsungan perpaduan yang sedia terjalin di kalangan rakyat negara ini.

KEMESRAAN…Lajim bersama isteri Datin Seri Normilah ketika bersalaman dan melayani tetamu yang hadir ke majlis rumah terbuka mereka.

DUIT RAYA…..Lajim bersama isteri Datin Normilah Siong dan kepimpinan Umno bahagian Beaufort ketika menyampaikan duit raya kepada 30 orang anak-anak yatim di majlis tersebut.

PERSEMBAHAN…Persembahan puppet antara yang menarik minat orang ramai yang berkunjung ke majlis rumah terbuka ini.

“Menerusi amalan rumah terbuka, rakyat saling kunjung mengunjungi, berinteraksi dan beramah mesra, serta mengenali budaya dan perbezaan antara kaum,” katanya ketika ditemui di majlis tersebut.

Menurut Lajim lagi, suasana muhibbah yang terus wujud hasil perpaduan yang jitu menjadi kunci kejayaan terhadap apa jua program yang dirancang kerajaan.

Beliau berharap, rakyat tanpa mengira perbezaan agama dan budaya terus bersatu serta memanfaatkan sebaik mungkin amalan yang baik seperti rumah terbuka Aidilifitri untuk mengenali satu sama lain.

"Bukan sahaja yang datang orang-orang Islam tetapi ramai yang datang daripada penganut agama, budaya berlainan untuk bersama-sama merayakan Hari Raya Aidilfitri," katanya.

1 comment: