Saturday, 24 September 2011

AKHIRNYA IMPIAN WATY MENJADI REALITI




ALBUM...Waty menunjukkan album sulungnya terbitan Sabah Music Production.

Oleh : SHAIMON S JUMADI

BIDANG apa saja yang diceburi jika dibuat bersungguh-sungguh, pastinya mencapai kejayaan; samalah juga seseorang yang mengejar cita-citanya jika dilaksanakan tidak pernah mengenal kekecewaan, tabah hati, cekal dan tidak mudah putus asa; pastinya akan tercapai juga akhirnya.

Begitulah yang ada pada diri seorang Gadis Cilik, Mariyatie Antoni @ Waty atau dalam Fbnya ‘Wulan Poi’ yang kini telah menggapai impiannya untuk menjadi seorang penyanyi dan bergelar artis setelah berjaya merakamkan 11 buah lagu etnik tempatan.

Waty mula berjinak-jinak dalam bidang seni suara, khususnya dalam bidang nyanyian pada tahun 2004 lagi kerana sering diundang menyanyi di majlis-majlis kahwin bersama kumpulan pancaragam (Band) The Kristal; tempat Waty mula mengasah bakatnya.

Beberapa tahun kemudian, Waty keluar daripada band Kristal di bawah pimpinan Omar dan menyertai kumpulan band ‘Melody Group’ milik SSJ Melody Music Show Promoter di bawah pimpinan Shaimon S Jumadi sebagai Pengurus Band, merangkap vokalis bermula pada tahun 2008 sehingga 2010.

Namun kesibukan tugas barunya sebagai Pegawai Tadbir di Pejabat UMNO Bahagian Beluran menyebabkan Waty terpaksa berehat buat seketika dan hanya sekali sekala bersama Melody Group.

Bakatnya semakin terserlah apabila sering muncul sebagai Johan dalam setiap pertandingan nyanyian di peringkat Daerah Beluran yang disertainya; sehinggalah menarik minat beberapa produser rekording tempatan untuk merakam album.

Jun lalu, Waty telah dipelawa membuat penggambaran untuk videoklip atas tajaan Sabah Music Production di Kota Belud.

KENANGAN...Waty semasa bersama kumpulan Band Melody Group.

Pada 18 September lalu, bersempena Pesta Tagungguk yang telah dilangsungkan di Daerah Kecil Paitan, Sugut, album pertama Waty dalam etnik Suku Sungai telah dilancarkan sebagai acara kemuncak pada pesta tersebut.

Timbalan Menteri Penerangan, Multimedia dan Kebudayaan Malaysia, Dato’ Joseph Salang Gandum ketika berucap melancarkan album tersebut antara lain memuji golongan muda agar dapat mengetengahkan lagu-lagu etnik suku kaum masing-masing; khususnya lagu-lagu bangsa Sungai untuk menjadi santapan telinga peminat tempatan dan luar Negara.

Katanya lagi, di Sabah mempunyai 32 etnik dan selain suku Kadazan, Murut dan Bajau sudah berjaya merakam lagu-lagu mereka hampir 40 tahun dan sering kedengaran di corong-corong radio dan Televisyen; maka lagu-lagu daripada suku kaum Sungai juga harus diketengahkan agar tidak terpinggir di persada muzik tanah air.

Dalam temubual eksklusif dengan Sabahkini.Net, Waty mengucapkan terima kasih kepada penerbit Sabah Music Production kerana memberi peluang kepadanya menjadi artis rakaman syarikat tersebut.

“Dalam kesempatan ini juga saya mengucapkan terima kasih terhadap jasa The Melody Group di bawah pimpinan SSJ kerana sejak saya menjadi vokalis selama 2 tahun, bakat saya semakin menyerlah terus popular di kalangan peminat-peminat saya; selain dapat menimba ilmu dalam aspek seni suara dengan lebih mendalam,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment