PRESIDEN Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Tan Sri Bernard Dompok mendakwa bahawa Sabah mencatatkan peningkatan jumlah penduduk yang mendadak, khususnya antara tahun 1990 dan 2000.
Katanya, ini mewajarkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kehadiran pendatang tanpa izin (PATI) yang dikatakan menyumbang kepada peningkatan yang mendadak itu.
Dompok, yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, berkata demikian dalam ucapan dasarnya sempena Persidangan Perwakilan tiga tahun sekali UPKO ke-13 di Pusat Kebudayaan Penampang, di sini Sabtu.
Persidangan itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Turut hadir Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk SeriMusa Aman.
Dompok mendakwa Jabatan Pendaftaran Negara tidak dapat memberikan data penduduk kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen Mengenai Integriti pada tahun 2007 dan sehingga kini, persepsi awam ialah pihak berkuasa tidak tahu, berapakah sebenarnya jumlah rakyat Malaysia di Sabah?
Katanya, pada tahun 1960 jumlah keseluruhan penduduk Sabah ialah 454,561 orang di mana 42 peratus daripadanya adalah suku kaum Kadazandusun.
Pada tahun 2005, Sabah dikatakan mempunyai 3,313,000 penduduk, katanya.
Katanya, pada tahun itu, Sabah juga mencatat peratusan pertumbuhan penduduk paling tinggi dalam negara iaitu 3.1 peratus berbanding purata kebangsaan yang hanya berjumlah 2.3 peratus. (BERNAMA)
No comments:
Post a Comment