Saturday 24 September 2011

BUMBURING TETAP SETIA BERSAMA UPKO



TIMBALAN Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Bersatu (UPKO), Datuk Wilfred Bumburing menegaskan beliau tetap setia dan terus berpegang kepada prinsip perjuangan parti itu yang ditubuhkan hampir 17 tahun yang lepas.

Sambil menjernihkan kekeliruan yang timbul berikutan penyertaannya dalam Angkatan Amanah Merdeka (Amanah), pimpinan anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, beliau berkata perkara itu sepatutnya tidak timbul kerana Amanah hanya sebuah badan bukan kerajaan yang membawa suara rakyat menuntut kebenaran dan keadilan dalam menangani masalah rasuah, kronisme dan perpaduan antara kaum di negara ini.

"Ia tiada kaitan dengan perjuangan politik saya dalam Upko dan saya akan terus bersama Upko malah saya menyokong penuh gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri kita," katanya ketika berucap pada majlis perasmian mesyuarat agung tahunan Pemuda, Wanita dan Komulakan (sayap Putera dan Puteri) Upko di Pusat Kebudayaan Sabah di sini hari ini.

Mesyuarat agung induk parti itu dijadual dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Tan Sri Muhyiddin Yassin di tempat yang sama esok.

Sehubungan itu, Bumburing meminta anggota parti supaya terus memberi sokongan padu kepada presiden Upko Tan Sri Bernard Dompok yang begitu konsisten dan berani memperjuangkan kepentingan rakyat terutama masyarakat Kadazandusun Murut.

Anggota Parlimen Tuaran itu berkata beliau tidak mempertahankan jawatan ketua bahagian Upko Tuaran baru-baru ini bagi memberi laluan kepada pemimpin muda untuk memimpin bahagian itu dan bukan kerana ‘kecil hati’ dengan kepimpinan Upko.

Mengenai memorandum masalah pendatang tanpa izin di Sabah yang dikemukakannya di Dewan Rakyat baru-baru ini, beliau berharap kerajaan Pusat akan menyegerakan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi meneliti punca dan mencari penyelesaian terbaik kepada masalah yang tidak berkesudahan itu.

Bumburing berkata ini penting bagi memberi keyakinan kepada rakyat tentang kesungguhan kerajaan dalam menangani isu pendatang tanpa izin di negeri ini.

"Mungkin pihak pembangkang akan menggunakan isu pendatang tanpa izin untuk meraih sokongan rakyat pada pilihan raya umum yang datang dan sebab itu, Upko tetap dengan pendirian agar Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan," katanya.

Beliau meramalkan pilihan raya umum ke-13 akan datang pasti ‘luar biasa’ berbanding pilihan raya umum yang lepas kerana Barisan Nasional akan berhadapan dengan pakatan pembangkang yang lebih tersusun.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat Sabah terutama anggota parti itu supaya bersiap sedia menghadapi cabaran besar itu. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment