Wednesday, 28 September 2011

OBOR PATRIOTISME MENYALA DI LUAR BANDAR



LAUNGAN …Lajim mengetuai peserta dan orang ramai melaungkan gema merdeka sebanyak 7 kali di akhir ucapannya ketika merasmikan sambutan tersebut.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

PENYERTAAN 38 kontinjen yang merangkumi lebih dari 2,000 peserta yang mewakili pelbagai jabatan, agensi, NGO, Politik dan pelajar sekolah dalam acara perbarisan sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Ke 54 dan Hari Malaysia ke 48 Peringkat Parlimen Beaufort, kelmarin, menggambarkan Obor Semangat Kemerdekaan turut menyala di kawasan luar Bandar.

Semangat yang ditunjukkan oleh para peserta termasuk orang ramai yang menyaksikan upacara tersebut membuktikan semangat patriotik kini meresapi jiwa rakyat, meskipun mereka berada di kawasan luar bandar kerana semangat ini adalah bukti mereka menghargai makna sebuah kemerdekaan negara setelah menikmati pelbagai pembangunan sepanjang tempoh negara mencapai kemerdekaan.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin yang merasmikan sambutan tersebut di Padang Pekan Kuala Penyu berkata, tahun ini sambutan mencatat momen tersendiri apabila sambutan Hari Kemerdekaan Ke-54 dan Hari Malaysia dirai serentak buat julung kalinya; menjadikan edisi kemerdekaan kali ini sesuatu yang istimewa; perlu dihayati dan difahami oleh rakyat secara keseluruhan, tentang sejarah serta perjuangan pemimpin masa lampau yang memperjuangkan serta membebaskan negara dari belenggu penjajah.

Menurut Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort, meskipun telah banyak nikmat dan rahmat yang diperolehi oleh rakyat sepanjang negara mencapai kemerdekaan, namun masih ada suara-suara sumbang kedengaran mempertikaikan dan tidak mengakui apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan dalam pembangunan negara demi kemajuan dan kesejehteraan rakyat.

Katanya, sejak kebelakangan ini, begitu ketara gerakan provokasi untuk menggugat sensitiviti agama dengan niat supaya pihak satu lagi bangkit membalas tindakan itu sehingga tercetus ketegangan.

ANUGERAH …Lajim turut menyampaikan anugerah kepada salah seorang tokoh kemerdekaan.

Menurutnya, provokasi seperti ini perlu dibendung secara tegas sebelum ia menular menjadi konflik kerana bakal menghancurkan segala nikmat kebaikan yang dikecapi selama ini dan rakyat pula perlu menolak dan tidak terpengaruh dengan segala provokasi yang dimainkan oleh pihak yang berkepentingan dan mempunyai agendanya tersendiri.

“Segala yang kita capai, bina dan hargai boleh hancur berkecai serta musnah dalam sekelip mata jika masyarakat dirosakkan dengan budaya jumud dan melampau menerusi isu perkauman serta agama," katanya.

Tambah Lajim lagi, Peristiwa 13 Mei 1969 perlu menjadi panduan dan teladan malah menurut beliau, kehancuran beberapa negara akibat rakyatnya diheret ke kancah konflik kaum atau agama sehingga telah mencetuskan perang saudara dan mengakibatkan kemusnahan negara.

Sehubungan itu, Lajim yang juga Ketua Umno Bahagian Beaufort mengajak rakyat agar terus memperkukuhkan perpaduan bagi mempastikan kemajuan, keamanan dan kemakmuran negara dapat dipertahankan.

Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak selaku pemimpin utama Negara, membuktikan komitmen dan keupayaannnya menerajui pentadbiran negara dengan adil; mengamalkan sifat sederhana; sentiasa mendengar suara dan jerih perit masyarakat di peringkat akar umbi serta mencambahkan iltizam dalam membela bangsa.

Hadir sama di majlis tersebut Wakil Rakyat Kuala Penyu John Teo Mau Sing; Pegawai Daerah Kuala Penyu yang juga Pengerusi Penganjur Edmond Teo; Pegawai Daerah Beaufort Wong Foo Then dan Timbalan Ketua Umno Bahagian Beaufort Isnin Haji Aliasnih.

No comments:

Post a Comment