Saturday 24 September 2011

JALAN KOTOR Vs MPS PENGOTOR?



Oleh : CHANG SHAK HUNG

MUNGKINKAH Unit Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) terpaksa menutup mata selepas mengenakan kompaun ala kadar dan dalam masa yang sama menerima ‘pengkeras’ sehingga jalan raya kotor dengan tanah dan batu-batu kecil di atas jalan, sehingga sering menyulitkan para pengguna jalan berkenaan?

Jalan yang dimaksudkan ialah Jalan Datuk Tay, Batu 8, Sandakan. Projek perumahan yang sedang giat dijalankan oleh pemaju perumahan, membina rumah rakyat di bawah peruntukan kerajaan, merupakan satu penghinaan kepada pihak pembayar cukai yang menggunakan jalan tersebut untuk berulang-alik ke tempat kerja.

Sehingga gambar ini diambil pada 22 September 2011, tidak ada apa-apa langkah proaktif yang dilakukan oleh pihak berwajib!

Sungguhpun aduan berkenaan isu yang sama telah diajukan kepada pihak Majlis Perbandaran Sandakan beberapa kali sejak tahun lalu, namun apa yang dapat kita lihat pada hari ini, merupakan permasalahan yang sama dan pemaju tidak serik-serik melakukan kesalahan ini.

Apa yang menghairankan adalah penguatkuasaan undang-undang terhadap pihak pemaju yang sepatutnya dilakukan oleh pihak MPS, daripada hanya membazirkan duit rakyat dengan melakukan kempen kebersihan tetapi pada masa yang sama, tidak menguatkuasakan undang-undang dalam menghukum pihak yang melakukan kesalahan.

Dalam satu maklum-balas email yang diterima daripada Presiden MPS kepada Sabahkini.net pada 29 April 2011, Presiden MPS memberitahu bahawa saman telah dikeluarkan kepada pihak pemaju.

Apa yang terjadi selepas itu? Kenapa kejadian ini masih berulang dan berulang sehingga ke hari ini? Apabila hujan turun, bekas tanah ini akan menjadi becak dan membahayakan pemandu; apabila cuaca baik, ia akan meninggalkan habuk yang teruk!

Di manakah pihak penguatkuasa MPS? Di manakah pihak Jawatankuasa Kecil Kebersihan yang kononnya memperjuangkan kebersihan di Sandakan? Di manakah tanggungjawab pihak MPS itu sendiri dalam memantau perkara ini daripada berulang?

Kenapa pihak pemaju tidak menyediakan ‘wash bay’ untuk lori yang keluar masuk supaya mencuci kotoron tanah dan batu-batu kecil sebelum mereka menggunakan jalan tersebut?

Persoalan yang menarik, di manakah Jabatan Alam Sekitar yang selama ini sering mendenda petani miskin membuat pembakaran terbuka kerana tidak mampu menyewa jentolak membersihkan kebun, tetapi membiarkan penjenayah alam sekitar lepas bebas melakukan kesalahan?

No comments:

Post a Comment