Tuesday 27 September 2011

PEMBANGUNAN HOLISTIK PERLU KERJASAMA ULAMA



RASMI...Azizah memotong riben sebelum menandatangani plak perasmian Balai Raya Hj Mustapha Kg Kebidang, Beaufort.

Oleh : ABU BAKAR ESAH

KERJASAMA antara umarak dan ulama mampu mempercepat proses pembangunan secara holistik di sesebuah kawasan.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Azizah Mohd Dun kedua-dua pihak adalah saling memerlukan dan merupakan satu kerugian besar sekiranya kerjasama tersebut tidak dapat diwujudkan.

“Kesediaan pemimpin dan ulamak untuk bekerjasama dalam satu pasukan memberi impak yang sangat positif terhadap pembangunan secara menyeluruh dan kita perlu mengambil manfaat ini,” katanya pada majlis perasmian Balairaya Hj Mustapha dan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri di Kg Kebidang, Beaufort.

Hadir sama, Pemimpin Kemajuan Rakyat Dun Klias Saidin Museh; Pegawai Pembangunan Masyarakat, Amsir Dani; Ketua Kampung Kebidang, Hussein Alip dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg Kebidang merangkap pengerusi penganjur, Jimblan Mokti.

Azizah berharap agar semangat persaudaraan antara rakyat dengan rakyat, pemimpin dengan pemimpin dan rakyat dengan pemimpin perlu dipertingkatkan bagi memastikan segala program pembangunan secara menyeluruh dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Beliau berkata, semangat persaudaraan akan mewujudkan hubungan akrab yang sekali gus melahirkan satu suasana lebih selesa kepada setiap individu samada peminpin atau rakyat.

“Apabila keadaan ini dapat kita wujudkan sudah tentu kerjasama erat terjalin. Melalui jalinan inilah kita akan dapat membangun kawsan dan kampung kita dengan lebih sistematik dan berkesan.

“Saya juga ingin menekankan bahawa perpaduan yang jitu di kalangan penduduk merupakan asas yang kukuh untuk mencapai kejayaan dan mampu mengangkat martabat sesebuah kampung dalam mencapai matlamat pelan tranformasi negara masa kini,” katanya.

Azizah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klias itu turut memuji usaha dan komitmen penduduk untuk melakar ingatan terhadap jasa pemimpin terdahulu melalui penamaan balai raya itu.

“Tahniah atas komitmen penduduk di sini kerana menghargai, menghormati dan mengenang jasa pemimpin terdahulu dengan menamakan balai raya ini sempena nama Ketua Kampung yang pertama di sini iaitu Hj Mustapha,” katanya.

Azizah yang menyempurnakan upacara menandatangani plak perasmian balai raya itu turut menyampaikan hadiah pengunjung bertuah dan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir pada majlis itu.

Penduduk yang hadir pada majlis itu turut dihiburkan dengan persembahan nasyid oleh Kumpulan Nasyid Al-Thoutunissa Pekan Beaufort dengan dua lagu berjodol Ke Puncak Citra dan Insan Berilmu.

Sementara itu Jimblan berkata pelabagi acara diadakan sempena program dua dalam satu itu antaranya acara sukaneka, pameran produk peserta pendidikan kesejahteraan keluarga (PKK). Pertandingan lagu raya, pertunjukan bunga api dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment