Thursday, 29 September 2011

PEMUDA PELAWA BELIA JADI RAKAN STRATEGIK



CETUSAN….. cetusan idea dan cadangan belia dalam perbincangan tersebut juga boleh dijadikan sebagai alat penggubal dasar apatah lagi mereka dilihat mempunyai daya pemikiran yang kritis untuk dicernakan dalam bentuk tindakan.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

PERGERAKAN Pemuda Umno Bahagian Tenom mempelawa golongan belia menjadi rakan strategik dalam pembinaan masa depan negara kerana suara dan cadangan menerusi resolusi yang disampaikan mereka amat penting untuk tujuan berkenaan.

Ketuanya, Jamawi Jaafar berkata, pergerakan itu akan menganjurkan Program Percambahan Minda (PPM) di kalangan para belia dan beliawanis bertempat di Balairaya Kampung Jawa, Melalap pada 1 Oktober (Sabtu) bermula jam 8.00 malam.

Menurut beliau, program tersebut sudah pasti akan menjadi medan bagi mencari resolusi dan cadangan yang bernas dikemukakan oleh belia, untuk diguna pakai dalam apa jua bentuk pelaksanaan sesuatu dasar oleh kerajaan bagi memberi kepuasan kepada mereka dalam membangunkan belia di kawasan tersebut.

Tambahnya, resolusi PPM akan dijadikan flatfrom bagi Pergerakan Pemuda Umno memberikan info terkini tentang dasar serta program pembangunan yang disediakan oleh kerajaan khusus untuk membangunkan golongan belia.

Dijangkakan lebih dari 200 orang belia akan menghadiri program tersebut yang akan dipengerusikan oleh Jamawi sendiri sebagai panel khas dan seterusnya akan merasmikan program tersebut.

“Apabila kita berusaha melaksanakan program ini ianya mendapat maklum balas yang positif dari kalangan belia di daerah ini dan nyata sekali mereka mempunyai semangat untuk memajukan diri dan bersama-sama dengan kerajaan untuk membina sebuah negara yang maju,” katanya ketika dihubungi kelmarin.

Menurutnya, segala bentuk cadangan dan resolusi dalam program tersebut akan tetap diambil kira dan ini akan dikemukakan di peringkat tertinggi, khususnya pihak yang berkaitan dengan hasil perbincangan tersebut.

Tambah Jamawi yang juga Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Pergerakan Pemuda Umno Tenom dan juga pihak berkenaan yang terlibat dalam perbincangan tersebut, akan meneliti cara bagi mempastikan agar golongan belia dijadikan sebagai rakan kongsi untuk tujuan pembinaan negara.

Dalam pada itu, Jamawi memberitahu, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk menarik lebih ramai belia menyertai persatuan agar kehadiran mereka menjadi pemangkin dalam mengatur gerak kerja sesebuah organisasi.

Malah katanya, cetusan idea dan cadangan belia dalam perbincangan tersebut juga boleh dijadikan sebagai alat penggubal dasar, apatah lagi mereka dilihat mempunyai daya pemikiran yang kritis untuk dicernakan dalam bentuk tindakan.

"Belia pada hari ini, tidak mahu lagi dilihat sebagai golongan yang hanya menjadi orang suruhan, malah mereka mahu menjadi golongan yang bebas untuk menggerakkan sebarang bentuk aktiviti yang dilakukan,” jelas Jamawi.

No comments:

Post a Comment