Saturday 24 September 2011

MURUT DAPAT RM3 JUTA BINA DEWAN BESAR



MASYARAKAT Murut di Sabah hari ini mendapat hadiah istimewa iaitu peruntukan RM3 juta bagi membina sebuah dewan besar untuk kegiatan keagamaan dan kemasyarakatan anjuran Pelayanan Persekutuan Murut Sidang Injil Borneo (SIB) Sabah.

Ketika mengumumkan peruntukan itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata peruntukan itu adalah sebagai menghargai sumbangan kaum Murut dalam pembangunan negara, terutama dari segi sosial.

Beliau berkata ia juga komitmen kerajaan dalam memupuk persefahaman antara masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

"Penting juga bagi semua pihak, terutama sekali badan-badan sosial dan agama mengambil peranan yang lebih besar dalam mewujudkan persefahaman antara masyarakat berlainan agama," katanya ketika merasmikan Majlis Pelayanan Persekutuan Murut SIB, kelmarin.

Menurut Muhyiddin, kerajaan menyedari tanggungjawab dalam memberi pembelaan kepada rakyat tanpa mengira kaum dan agama agar tidak ada yang ketinggalan dalam menikmati pembangunan negara.

Katanya, biarpun terdapat golongan minoriti, kerajaan sedar akan hak setiap rakyat Malaysia kerana realitinya pembentukan negara adalah daripada masyarakat berbagai kaum dan agama yang berperanan besar dalam kemajuan dan kesejahteraan negara.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, turut menasihati rakyat supaya mensyukuri nikmat yang ada dan jangan terperdaya dengan hasutan golongan tidak bertanggung jawab untuk menghancurkan usaha pembangunan untuk rakyat.

Terdahulu, Muhyiddin menghadiri Majlis Ramah Mesra Aidilfitri anjuran UMNO Keningau dan Pensiangan yang turut dihadiri oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment