Friday, 23 September 2011

SIAPA LEBIH PENTING, HUTAN SIMPAN ATAU RAKYAT?



Saudara Pengarang,

SURAT Terbuka ini saya tujukan kepada Ketua Menteri Sabah, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah bagi mencari jalan penyelesaian berhubung rampasan Tanah Adat di Kawasan Hutan Simpan, sejajar dengan Keputusan Rayuan Mahkamah Tinggi; sekaligus menghentikan pencabulan hak asasi manusia.

Agak malang bagi rakyat Sabah kerana walaupun Ketua Menteri Sabah telah membuat kenyataan terbuka dan menasihati Jabatan Perhutanan tidak sesuka hati menghalau Anak Negeri dari Tanah Adat yang terperangkap di Hutan Simpan, namun Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah tidak langsung mempedulikan nasihat dan mengotakan janji Ketua Menteri.

Persoalan yang ingin saya ketengahkan di sini ialah siapakah yang lebih berkuasa; sama ada Ketua Menteri atau Pengarah Perhutanan Sabah? Siapakah yang lebih penting antara Hutan Simpan dan Masyarakat Pedalaman? Siapakah yang boleh menentukan penubuhan dan pemerintahan sesebuah kerajaan, terutama Kerajaan BN yang ada pada hari ini?

Kampung-kampung tradisi seperti Long Pasia, Long Mio, Pa’ Kemadang, Iburu, Meligan dan Ulu Bole sudah lama wujud, sebelum dan selepas pemerintahan Jepun dan British iaitu antara 1942 sehingga 1963.

Pengarah Perhutanan Sabah sudah semestinya tahu bilakah Hutan Simpan ini diwujudkan? Sebelum 1963, tidak ada negara Malaysia; melainkan Malaya, Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak.

Ini bererti, Hutan Simpan tidak ada apabila Suruhanjaya Lord Cobbold datang dari England kerana Ketua-Ketua masyarakat yang dipanggil dan bukannya Hutan Simpan atau Pengarang Jabatan Perhutanan untuk merealisasikan penubuhan Malaysia.

Kenapa pula Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah, Datuk Sam Mannan tidak langsung menghormati rakyat Sabah sehinggakan tanah-tanah adat orang asal dijadikan Hutan Simpan?

Bukti-bukti nyata yang ada menunjukkan, kawasan tanah adat yang terperangkap di dalam Hutan Simpan telah lama didiami dan penduduk kampung telah menanam pokok getah, kopi, nangka, durian, bambangan, mangga dan sebagainya; serta rumah usang yang berusia lebih setengah abad; apatah lagi tanah perkuburan adalah katalis sejarah yang tidak boleh dinafikan begitu sahaja.

Mengikut aduan yang diterima Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), sejumlah 800 Kes telah diterima sebelum Inquiri dan jumlah berkenaan bertambah lebih 200 kes lagi mnejadikan kesemuanya 1,000 kes.

Berbanding Sarawak pula hanya 229 kes pencabulan tanah yang dilaporkan secara rasmi kepada Suhakam. Namun angka tidak penting, tetapi penyelesaian masalah ini lebih penting daripada siapa yang akan memerintah Malaysia selepas Pilihanraya Umum ke 13 kelak!

Salam Hormat,

YAKUB BURUNG

No comments:

Post a comment