Friday 23 September 2011

RUANG PAKATAN RAKYAT CIPTA PELUANG DI SABAH




Oleh : SITI SALASIAH SALAMUN

PADA 16 September lalu, bersamaan dengan sambutan Hari Malaysia, Konvensyen Pakatan Rakyat Sabah telah berlangsung dengan jayanya di Convention and Event Center, Star City, Kota Kinabalu Sabah yang dihadiri oleh semua penyokong dan ahli dari Pakatan Rakyat seluruh negeri.

Konvensyen yang bermula dari pukul 1.00 petang hingga 5.00 petang itu bertujuan untuk merasmikan Buku Jingga Pakatan Rakyat Negeri Sabah. Lim Kit Siang, Haji Mohamad Sabu dan Datuk Seri Dr Wan Azizah antara pimpinan Pakatan Rakyat yang turut hadir memberikan ucapan dan sekaligus merasmikan Buku Jingga Pakatan Rakyat.

Tawaran PR

Tawaran baru Pakatan Rakyat (PR) untuk rakyat Sabah meliputi 20 perkara. Antaranya adalah mengenai agama, menjunjung kedaulatan negeri Sabah, menangani pendatang asing tanpa izin (PATI), pemuliharaan tanah Sabah, Borneonisasi, pengambilalihan Blok L dan M, 20 perkara autonomi Sabah, royalti minyak dan gas, dasar kabotaj, pengawalan cukai hasil negeri Sabah, kajian fungsi FELDA dan FELCRA, Yayasan Orang Asal, pembasmian kemiskinan, perumahan rakyat, peranan Yayasan Sabah dan sebagainya.

Penerimaan rakyat Sabah terhadap PR pada masa ini adalah pada tahap yang amat baik. Di sesetengah kawasan, wakil PR sama ada terdiri daripada PAS, DAP atau PKR, dijadikan rujukan utama oleh masyarakat setempat untuk memberitahu masalah dan mendapatkan penyelesaian kepada masalah itu, hal ini menjadi simbolik kepada ketidakcekapan wakil rakyat BN yang ada untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan.

Menurut Ketua Penerangan Pas Sabah, Hisamudin Sulaiman yang juga merupakan Yang Dipertua Pas Kawasan Pensiangan, apabila beliau turun mendengar keluhan dan permasalahan masyarakat di kawasannya, di samping mendedahkan penipuan yang dilakukan oleh BN, pada ketika itulah masyarakat sedar bahawa selama ini mereka hanya ditipu dan tidak diambil berat langsung oleh wakil rakyat yang dipilih oleh mereka dalam PRU lalu.

Beliau juga mendakwa bahawa penduduk kampung memberikan kepada beliau beberapa pucuk surat yang mengandungi berbagai-bagai permintaan daripada penduduk kampung. Beliau menegaskan kepada penduduk kampung bahawa tugas wakil rakyat yang dipilih dalam pilihanraya bukan hanya untuk memberikan beras sekilo dua ataupun memberikan ‘tandas segera’, tetapi ia lebih dari itu, iaitu mendengar dan menyelesaikan permasalahan yang wujud.

PAS mengukuh di Sabah

Di kawasan Sandakan pula, penerimaan masyarakat terhadap PR juga pada tahap yang amat memberangsangkan. Masyarakat di sekitar Batu Sapi sangat teruja apabila mengetahui bahawa Tuan Guru Haji Hadi akan turun ke kawasan mereka, namun harapan mereka untuk bertemu dengan dengan beliau tidak kesampaian apabila beliau tidak dapat hadir atas sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan.

Namun kedatangan beliau di tempat lain seperti di Tawau, amat meriah dan disambut dengan baik. 20 perkara yang ditawarkan oleh PR untuk rakyat Sabah dalam PRU ke 13 yang diurakan-urakan bakal berlangsung dalam masa terdekat ini, merupakan antara isu yang sangat genting dan menjadi satu tuntutan kepada PR untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat Sabah jika PR berjaya menakluki ‘Fixed Deposit’ BN ini.

Antara isu yang cukup sinonim dengan rakyat negeri ini, adalah isu Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR). Di semua kawasan, terutamanya kawasan pedalaman, seperti di kawasan Pensiangan, kawasan Batu Sapi, dan kawasan Beluran serta di Merotai, penduduk kampung meneroka dan mengusahakan tanah-tanah tersebut untuk dijadikan kawasan petempatan dan pertanian atau penternakan. Apabila tanah-tanah tersebut diusahakan, ia sepatutnya menjadi milik penduduk yang mengusahakannya.

Namun, hal yang sebaliknya pula terjadi apabila kerajaan sewenang-wenangnya merampas tanah NCR tersebut. Pampasan yang dijanjikan hanya menjadi ‘pemanis mulut’ sahaja tanpa ada tindakan susulan. Rakyat dibiarkan turun naik ke mahkamah dan akhirnya kes ditutup.

Pembelaan yang sewajarnya dibuat oleh wakil rakyat seperti yang diharapkan oleh penduduk kampung, tidak terjadi. Malahan wakil rakyat pula hilang entah ke mana. Hanya akan muncul apabila ada program nyanyian, kebudayaan dan acara tari menari yang sememangnya sinonim dengan jiwa wakil rakyat BN negeri ini.

Tahun ini, PAS Sabah amat tekun dan gigih untuk memastikan Sabah tidak lagi menjadi ‘Fixed Deposit’ BN pada PRU akan datang. Pada Mei tahun ini, Konvensyen PAS Sabah yang berlangsung di Sabah Hotel, Sandakan yang bermatlamatkan ‘Merakyatkan PAS di Sabah’ telah mengusulkan juga beberapa tindakan lain antaranya untuk menyebarkan isi kandungan Buku Jingga, menarik undi masyarakat bukan Islam, mengenalpasti permasalahan masyarakat setempat, kursus pilihanraya kawasan dan penekanan kualiti ahli.

Pada 17 September yang lalu pula, Konvensyen Pas Negeri Sabah telah berlangsung di Yaho Hotel, Kota Kinabalu. Konvensyen pada kali ini turut dimeriahkan dengan kehadiran semua ahli PAS dari seluruh pelusuk negeri ini. Konvensyen yang berlangsung selama sehari ini turut mengupas mengenai Negara Berkebajikan: Tawaran Pas yang telah disampaikan oleh ahli parlimen Pasir Putih Kelantan, Ustaz Muhammad Husin.

Menariknya, konvensyen kali ini menggunakan buku Menegakkan Perjuangan: Memenangi Pilihanraya Menerusi Persiapan Tarbiyyah yang ditulis oleh Ustaz Datuk Abu Bakar Chik yang turut digunakan ketika Ijtimak Tarbawi DPPP di Rusila Terengganu pada Oktober tahun lalu.

Sebanyak tiga kertas kerja telah dibentangkan iaitu ‘Menegakkan Perjuangan’ yang disampaikan oleh Timbalan Pesuruhjaya Pas 3, ‘Pilihanraya adalah Jihad dan Wasilah Perjuangan’ yang disampaikan oleh Ketua Dewan Ulama Pas Sabah, Ustaz Nuruddin Abdullah dan pembentangan ketiga mengenai ‘Adakah PAS boleh menang dan memerintah Malaysia’ yang disampaikan oleh Ketua Penerangan PAS Sabah, Saudara Hisamudin Sulaiman. Majlis ini diakhiri dengan bacaan doa wehdah oleh Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu.

Jaringan PAS dan NGO

Konvensyen PAS kali ini juga disertai oleh beberapa wakil NGO yang turut serta bersama-sama memperjuangkan isu setempat, antaranya NGO ini bekerjasama dengan PAS Sabah untuk menangani isu alam sekitar yang melibatkan pembukaan lombong arang batu di Felda UMAS.

Hasilnya, mereka berjaya menghentikan pembukaan lombong tersebut. Hal ini secara tidak langsung menampakkan bahawa PAS adalah sebuah parti yang universal, tidak hanya merangkumi hal ehwal keagamaan semata-mata.

Di Sabah, pilihanraya Parlimen Batu Sapi yang diadakan tahun lalu adalah cerminan kepada usaha PR di Sabah, khususnya di Sandakan. Walaupun ketika itu wakil dari PKR yang menjadi calon bertanding, namun usaha untuk memenangkan calon ini turut dibantu oleh jentera dari semua parti PR.

Hasilnya, lebih 3,000 pengundi yang mengundi calon PKR ini. Ia merupakan satu ‘hint’ awal betapa rakyat Sabah mahukan perubahan yang lebih baik dan wakil rakyat dipilih biarlah menjadi mata dan telinga kepada rakyat di parlimen nanti, bukan hanya melihat dan membiarkan rakyat terseksa.

Keberkesanan pendidikan rendah PAS

Penerimaan masyarakat terhadap PAS juga turut dilihat melalui peningkatan murid yang berdaftar di PASTI yang ada di seluruh negeri. Hal ini menunjukkan kepercayaan yang tinggi oleh masyarakat agar anak-anak mereka dapat dididik dengan baik dan berkonsepkan Islam.

Dakwah Islamiyyah turut dapat disebarkan secara ‘bil hikmah’ melalui PASTI. Rata-rata ibu bapa pelajar yang menghantar anak-anak ke sekolah PASTI, berpakaian tidak menepati syariat Islam dan disinilah peranan guru ditonjolkan. Beretika pakaian yang sopan dan menutup aurat merupakan tuntutan wajib untuk semua guru PASTI.

Pada masa ini juga, PASTI beroperasi di seluruh tempat yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi dan tidak hanya tertumpu pada sesuatu kawasan sahaja. PASTI ada di bandar-bandar besar, di flat-flat mewah dan ada juga di kawasan perumahan elit. Hal ini menunjukkan bahawa PAS mampu untuk memberikan pendidikan bukan hanya kepada golongan sasaran tertentu sahaja tetapi merangkumi kepada semua golongan.

Rintangan seteru politik

Namun, kepastian yang nyata adalah pihak BN tidak akan pernah untuk berdiam diri membiarkan Sabah jatuh ke tangan PR. Ternyata pelbagai usaha difokuskan kepada negeri ini untuk memenangkan BN di Sabah pada pilihanraya akan datang.

Ketika syawal baru-baru ini pun, Ketua Menteri turun ke semua masjid yang ada untuk menyampaikan sumbangan dan membuat rumah terbuka menjamu rakyat yang dahagakan janji ketika PRU lalu. Pemberian beras dan barang-barang keperluan lain kepada golongan sasaran seperti ibu tunggal atau orang kurang upaya sudah menjadi kelaziman untuk wakil BN apabila turun bertemu masyarakat.

Malangnya wakil BN menganggap bahawa itu sudah cukup untuk memadamkan janji-janji yang dibuat ketika PRU lalu. Rakyat Sabah sudah bertahun hidup dalam keadaan yang sama, tidak ada perubahan yang drastik walaupun Sabah merupakan negeri yang kaya pada suatu ketika dahulu.

Jalan raya misalnya, hanya dibaiki apabila tiba musim pilihanraya, jambatan di kampung hanya akan dibaiki apabila wakil rakyat BN akan melawat kampung tersebut dan jalan yang berlubang hanya akan ditampal apabila Ketua Menteri melawat kawasan tersebut.

Fenomena yang amat menyedihkan. Adakah rakyat yang tinggal di kawasan itu tidak berhak untuk mendapat kemudahan yang baik? Kenapa perlu tunggu ‘orang besar’ masuk ke kawasan tersebut baru semuanya akan dipulihkan?

Saya menyarankan agar Ketua Menteri dan jemaah menterinya berulang alik dari Sandakan ke Kota Kinabalu, atau dari mana sahaja, dengan menaiki kereta melalui jalan raya yang ada. Biar mereka turut merasai betapa sistem perhubungan jalan raya yang ada di negeri ini berada pada tahap yang amat teruk.

Di kawasan Sandakan, misalnya di kawasan pedalaman Batu 12, sehingga saat ini penduduk masih belum mendapat bekalan air bersih walhal tempat tersebut mempunyai sekolah dan petempatan. Penduduk di kawasan itu juga perlu menunggu 11 tahun untuk mendapatkan sistem perhubungan jalan raya yang lebih baik.

Logik atau tidak rakyat perlu menunggu bertahun lamanya untuk mendapat kemudahan yang lebih baik? Sedangkan BN memerintah Sabah lebih lama daripada tempoh itu. Jika anda berkesempatan ke Sandakan, anda akan melihat sepanjang jalan dari Batu 14 hingga ke Batu 12, jalan raya sedang dalam proses pembesaran.

Hal ini rentetan daripada jumlah kenderaan yang semakin bertambah. Satu langkah yang amat baik dan disambut baik oleh semua penduduk namun persoalan yang timbul, kenapa sekarang usaha itu dibuat?

Kenapa tidak selepas sahaja kemenangan BN di Sabah pada PRU lalu? Bergerak pula ke kawasan bas ekspres Sandakan, anda akan melihat satu kawasan yang amat daif. Kawasan bas ekspress ini hanya terdiri daripada beberapa pondok tiket bas dan tandas serta beberapa gerai jualan makanan dan lebih malang lagi, kawasan bas ekspres ini tidak berbumbung.

Namun, jika anda ke Tawau atau Kota Kinabalu, anda akan dapat merasakan bahawa stesen bas ekspres yang ada setaraf dengan stesen bas ekspres di bandar utama negeri-negeri di Semenanjung Malaysia. Cukup lengkap dan gah. Walhal, Ketua Menteri Sabah adalah anak jati Sandakan, namun mengapa Sandakan seakan-akan dianaktirikan, sedangkan Sandakan merupakan bandar terpenting selain Kota Kinabalu dan Tawau.

Stesen bas harian yang terletak di tengah-tengah bandar Sandakan turut mengalami nasib yang sama, dianaktirikan daripada pembangunan. Stesen bas ini tidak berbumbung, (kecuali stesen bas Labuk yang merupakan stesen bas swasta) dan ia sangat menyukarkan pengguna apabila hujan. Hal ini bertambah sukar apabila terdapat bas sesuatu kawasan yang adakalanya jauh dari tumpuan orang ramai.

Hal ini sudah wujud bertahun lamanya tanpa ada apa-apa tindakan daripada pihak kerajaan negeri. Perkara ini patut dipandang dengan serius kerana kebanyakan penduduk menggunakan bas sebagai pengangkutan utama. Jika hal ini tidak ditangani dengan baik, ia akan membebankan rakyat.

Jika alasan sempit dan tidak ada ruang yang diberikan, ia adalah tidak relevan kerana kemudahan ini adalah lebih penting daripada pembinaan kompleks membeli belah (Harbour Mall) yang semakin pesat dibangunkan di pinggir bandar Sandakan. Jika kompleks ini ada tempatnya di bandar ini, kenapa pula tidak boleh diperuntukkan tempat untuk stesen bas harian?

Masalah setinggan

Isu setinggan juga amat sinonim dengan negeri ini sama ada di Sandakan, Kota Kinabalu dan Tawau. Di Sandakan, kawasan setinggan BDC yang dulunya terletak di Batu 2 dirobohkan tanpa pembelaan yang wajar diberikan kepada penduduk yang terlibat.

Kawasan tersebut kononnya akan digunakan untuk mendirikan Hotel Sri Malaysia namun sehingga ke hari ini, lebih dari 5 tahun kawasan setinggan itu dirobohkan, belum pun ada tanda-tanda pembangunan dilakukan. Semuanya hanya untuk menghapuskan kawasan setinggan agar negeri ini dikatakan ‘zero setinggan’ walhal hakikatnya rakyat merempat dan terpaksa mencari tempat tinggal yang lebih mahal kosnya.

Adakah ini langkah yang betul-betul bijak mengurangkan kemiskinan di Sabah? Penduduk masa kini yang tinggal di kawasan setinggan bagaikan telur di hujung tanduk. Bila-bila masa sahaja tempat mereka akan dirobohkan.

Ketika berkunjung ke Batu Sapi Ramadhan lalu, rumah penduduk di kawasan Kampung Lupak Meluas juga ingin dirobohkan dan tidak ada seorang pun wakil rakyat yang turun menjadi ‘front liner’ mempertahankan penduduk.

Apabila ditanya kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab merobohkan kawasan tersebut, mereka hanya menyatakan bahawa wakil rakyat mereka yang memberikan arahan. Sudah terang lagi bersuluh bahawa wakil rakyat yang dipilih oleh mereka hanya ‘menyayangi’ mereka apabila tiba musim pilihanraya sahaja.

Isu PATI

Kebanjiran PATI di Sabah juga tidak dapat ditangani dengan baik oleh kerajaan Negeri. Tawaran PR untuk PRU akan datang adalah menyempurnakan penubuhan Suruhanjaya Siasatan di-Raja bagi mencari jalan menyelesaikan kemelut pendatang asing tanpa izin di negeri ini. Pendaftaran PATI sebagai penduduk tetap yang dijalankan oleh kerajaan bulan lalu amat membimbangkan.

Penduduk amat takut jika hak yang sepatutnya dimiliki dirampas dan diberikan kepada PATI. Pendaftaran yang dilakukan juga amat merobek hati penduduk, kerana ada antara penduduk tetap negeri ini yang terpaksa berurusan ke Putrajaya semata-mata untuk mendapatkan kad pengenalan penduduk tetap, tetapi kerajaan sewenang-wenangnya memberikan hak tersebut kepada PATI.

Rakyat menghabiskan ribuan ringgit dan perlu menanti bertahun-tahun untuk mendapatkan kad pengenalan, PATI pula mendapat kerakyatan hanya dalam masa beberapa jam. Bukan itu sahaja, kebanjiran PATI di Sabah turut menyebabkan kadar jenayah meningkat. Pecah rumah, mencuri, penyeludupan rokok dan sebagainya turut membimbangkan masyarakat tempatan.

Pelbagai isu yang boleh dicanang untuk menjatuhkan BN di Sabah, point utamanya adalah menyampaikan kepada masyarakat tentang maklumat dan kebenaran yang sepatutnya mereka ketahui.

Meraih kepercayaan penduduk tidak mudah, tapi apabila kita menyampaikan kebenaran insya Allah mereka akan dapat berfikir pilihan yang lebih baik. Jika tempat mereka tidak boleh diakses menggunakan internet, kita perlu turun menyampaikan. Keadaan di Sabah amat berbeza dengan kawasan lain.

Di Sabah ada tempat yang perlu untuk menaiki kereta pacuan empat roda, ada tempat yang hanya boleh menggunakan pengangkutan air, dan ada jalan yang tidak berturap, dan tanah merah.

Namun semua ini bukan halangan untuk kita membantu menyampaikan kepada masyarakat. Saya amat yakin dan percaya bahawa rakyat di bawah bayu ini mahukan perubahan kerana semuanya sudah muak menderita di bawah pemerintahan BN yang tidak mempedulikan rakyat.

Penutup

Bahang pilihanraya semakin terasa samada akan diadakan pada tahun ini atau tidak. Pelbagai usaha harus dijalankan oleh semua jentera pilihanraya kawasan. Penculaan, mengenalpasti permasalahan setempat, mendekati golongan sasaran, menarik undi bukan Islam, memantapkan kualiti ahli dan memperbanyakkan program dan aktiviti bersifat luaran, tidak hanya tertumpu aktiviti dalaman sahaja.

Jika usaha sudah dibuat sebesar Gunung Kinabalu dan sedalam Lautan China Selatan, namun jika kemenangan masih belum diberikan, bersabarlah kerana Allah SWT beserta dengan orang-orang yang sabar.

No comments:

Post a Comment