Wednesday 28 September 2011

100 KES KANSER: 31 KES KANSER PAYUDARA!



BARISAN....Gambar beramai-ramai barisan jawatankuasa pelaksana program tersebut.

Oleh : SHAIMON S JUMADI

JAWATANKUASA Kesedaran Kesihatan Payudara Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan akan menganjurkan majlis Makan Malam Amal pada 8 Oktober depan bertemakan 'Pink Oktober Early Detection of Breast Cancer Can Save Lives'.

Majlis berkenaan akan disempurnakan oleh isteri Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Sabah (BAKISA), Datin Seri Hajah Faridah Haji Tussin bermula jam 6.30 petang di Ballroom, Sabah Hotel.

Pengerusi Jawatankuasa berkenaan, Mary Alex Mansiw, antara lain menjelaskan majlis ini yang julung kali diadakan bertujuan untuk mengumpul dana, selaras dengan objektif jawatankuasa iaitu memberi sokongan dan juga bantuan kepada pesakit-pesakit yang menghidap kanser payudara bagi menjalani rawatan susulan.

Di samping itu, beliau berkata dana tersebut akan digunakan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan pengesanan awal kanser payudara.

"Antara pengisian program sepanjang malam itu termasuklah persembahan hiburan daripada orang persendirian dan juga persatuan serta cabutan tiket bertuah," katanya kepada wartawan dalam sidang akhbar di Bilik Mesyuarat, Klinik Pakar HDOK, di Sandakan, kelmarin.

Turut menjadi tunjang utama kepada majlis ini ialah Pengarah HDOK, Dr.Zorina Khalid; Penaung Jawatankuasa, Datin Junaidah Aji dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa, Datin Winnie Khoo.

Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai program ini, sila berhubung dengan Mary yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur di talian 016-2320555.

Sementara itu, Mary berkata pihaknya giat melaksanakan program bagi memberikan pendidikan kepada orang awam tentang bahaya kanser payudara.

Antara program itu, katanya, penganjuran forum dan ceramah yang bukan sahaja kepada orang awam tetapi pelajar-pelajar sekolah kerana mereka mengundang penceramah khas dari Kuala Lumpur.

"Statistik menunjukkan bahawa, dalam 100 kes kanser, 31 kes daripadanya adalah kanser payudara yang dicatatkan di seluruh negara. Oleh sebab itulah, kami komited untuk memberikan pendidikan tentang hal ini menerusi penganjuran pelbagai program termasuk makan malam amal itu," jelasnya.

No comments:

Post a Comment