Saturday, 24 September 2011

3 PEGAWAI SPRM ‘PENYAMUN’ DILUCUT TUGAS



TIGA pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditahan polis dipercayai terlibat dengan kes samun ke atas seorang pengurup wang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah dikecualikan dan dilucutkan daripada sebarang tugasan siasatan.

Ketiga-tiga mereka dilucutkan daripada sebarang tugasan sementara menunggu hasil siasatan polis, menurut kenyataan SPRM yang dikeluarkan baru-baru ini.

Menurut SPRM ketiga-tiga pegawai itu bukan terdiri daripada pegawai kanan tertinggi suruhanjaya itu seperti yang dilaporkan dalam sebuah akhbar tempatan, dan menganggap dakwaan yang dibuat oleh akhbar itu adalah sesuatu yang serius.

SPRM berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah akhbar tempatan baru-baru ini yang mendakwa tiga pegawai kanan tertinggi SPRM ditahan polis Selangor kerana dipercayai terbabit melakukan samun ke atas seorang pengurup wang di KLIA pada 15 September lepas.

Menurut suruhanjaya itu, pihaknya sedang membantu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam siasatan yang dijalankan berkaitan kes berkenaan.

"Memandangkan siasatan ini adalah di bawah bidang tugas pihak polis, SPRM berkeyakinan dan percaya bahawa pihak polis akan menjalankan siasatan secara menyeluruh dan telus mengenai dakwaan tersebut," menurut Suruhanjaya itu.

Media sebelum ini melaporkan tiga pegawai SPRM ditahan selepas dipercayai menyamun pengurup wang membabitkan wang berjumlah US$300,000 (RM938,085) di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA). (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment