Tuesday 27 September 2011

JABATAN ALAM SEKITAR SABAH DIMANSUHKAN?


SEDUT....Pam digunakan untuk menyedut pasir daripada sungai sebelum ditapis.

Oleh : MUTALIB M.D

BENARKAH Jabatan Alam Sekitar Sabah sudah dimansuhkan? Mungkin tidak benar kerana terdapat dua pihak berkuasa alam sekitar di Sabah iaitu Jabatan Alam Sekitar Sabah (Persekutuan) yang bertanggung jawab terhadap penguatkuasaan undang-undang dan Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (Negeri) yang bertanggung jawab terhadap permohonan lesen dan EIA.

Namun bagi seorang pemilik tanah, Chin Vui Khee, kedua-dua Jabatan berkenaan seolah-olah tidak pernah wujud kerana berpucuk surat aduan rasmi beliau tidak pernah diambil perhatian, malah dipersendakan pemilik kuari pasir haram yang menjalankan operasi di Sungai Limbahau, berdekatan tanahnya.

“Saya sudah adukan kepada Jabatan Alam Sekitar dan pihak berkuasa lain termasuk Jabatan Tanah dan Ukur, Pegawai Daerah Papar, SPRM, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran; tetapi tidak ada sebarang tindakan diambil,” kata Chin yang kecewa dengan akauntabiliti dan pentadbiran institusi berkenaan.

Tegas Chin, beliau sering ditertawakan dan dipersendakan oleh pekerja dan pemilik kuari haram berkenaan setiap kali beliau menegur mereka agar menghentikan operasi; kerana mencemar alam sekitar dan boleh menyebabkan kerosakan harta benda awam.

Chin yang menghubungi ibu pejabat Sabahkini.net di Kuala Lumpur dan menghantar gambar melalui email kesal kerana rasuah semakin menjadi budaya di Sabah dan semua jabatan penguatkuasa terlibat; terutama dalam sektor kuari haram yang mendatangkan keuntungan segera.

DEKAT....Operasi kuari pasir haram berkenaan hanya bersebelahan tanah milik keluarga Chin. Dram disambung sebagai pembetung untuk saluran pasir yang disedut daripada sungai.

“Jika mereka tidak mengamalkan rasuah, kenapa biarkan pencemaran alam sekitar ini berlaku? Kenapa tidak siasat? Tidak patut kalau mereka suruh saya tulis surat sama Tuhan untuk berhentikan jenayah ini?,” kata Chin yang agak berang kerana aduannya juga tidak mendapat perhatian media tempatan.

Menurut Chin, akibat daripada operasi kuari haram berkenaan di Sungai Limbahau, beliau bimbang tinggal di dalam rumah separa kekal beliau kerana gegaran kuat berlaku setiap kali jengkaut memunggah pasir dan lori memuat pasir melalui jalan milik JKR yang berdekatan rumah beliau di Kampung Kapintingan, Batu 3, Jalan Papar Lama, Papar.

“Gegaran berkenaan bukan sahaja dirasai di rumah saya, malah Dewan Besar orang ramai di sebelah sungai juga turut berlaku. Macam mana kalau dewan itu runtuh ketika ramai orang semasa operasi mengorek pasir ini berterusan?,” tanya Chin yang mendesak agar Kerajaan Negeri Sabah menubuhkan jawatankuasa khas mengatasi kegiatan kuari pasir haram di seluruh Sabah.

Chin tidak menolak kemungkinan, terlalui banyak pihak terlibat dalam pemantauan operasi pasir menyebabkan mereka sering bertolak-tolak untuk menguatkuasa undang-undang, terutama dua Jabatan Alam Sekitar di Sabah.

“Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah tidak luluskan EIA, tetapi mereka tidak dibekalkan dengan kuasa pendakwaan. Jabatan Alam Sekitar (Persekutuan) tidak ambil tindakan sekalipun mereka mempunyai kuasa. Sampai bila perkara ini harus berlaku?,” tanya Chin yang menyatakan kebimbangan ada nyawa terkorban akibat tebing runtuh dan banjir jika aktiviti haram ini tidak disekat.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Haji Abdul Razak Manaf tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasan berhubung insiden ini.

No comments:

Post a Comment