Saudara Pengarang,
AMAT mendukacitakan apabila terdengar rakan-rakan kontraktor bercakap mengenai perkara ini. Rata-rata dijanjikan projek kecil membaiki sekolah-sekolah di Sabah oleh BPPA, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang bernilai RM80,000 untuk sebuah sekolah.
Namun di sebalik RM80,000 ini; 20% perlu dibayar kepada orang tertentu di KPM dan mereka menjamin kos sebenar projek tidak melebihi RM20,000 (atau dengan kata lain kontraktor untung antara RM40,000 hingga RM44,000).
Menakjubkan itulah yang saya boleh katakan. Tetapi jika kontraktor sebenar yang ikhlas tidak akan mengaut keuntungan 200% seperti itu. Saya juga tertanya-tanya adakah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran tahu perkara ini?
Ketirisan dalam pengurusan atau lebih tepat lagi manipulasi Putrajaya kepada penduduk Sabah, khususnya para pelajar anak Sabah. Sekiranya setiap sekolah diberi RM50,000 untuk melaksanakan sendiri, sudah pasti Guru Besar @ Pengetua lebih tahu mana yang lebih kritikal dan perlu dibaiki di sekolah tersebut.
Di samping penjimatan RM30,000, setiap sekolah dan impak pembaikan/skop kerja lebih dua kali ganda daripada apa yang dilaksanakan oleh BPPA, KPM.
Saya meminta SPRM menyiasat perkara ini dan membuat tapisan kepada setiap pegawai KPM yang datang ke Sabah untuk membuat penilaian; sebelum bayaran dibuat. Saya juga menyeru menteri-menteri Sabah jangan membutakan mata atau menulikan telinga kepada perkara ini. Kalau mahu menyokong kerajaan pun, biarlah bermaruah; jangan sampai menggadai diri dan menjadi ‘Pak Turut’ sahaja.
Sampai bilakah kita mahu dimanipulasi dan diperbodohkan oleh Little Napoleon BPPA, KPM ini? Bangunlah, sedarlah! Jangan jadi ‘Bumiputera Sabah’ yang mudah lupa!
Salam Hormat,
ANAK JATI SABAH
No comments:
Post a Comment